HANYA kerana taksub dengan gajet, seorang cucu yang juga seorang remaja sanggup mengacukan pisau kepada datuknya sendiri gara-gara enggan membayar caj permainan video dalam telefon pintarnya.

Dalam satu rakaman video yang tular dalam media sosial Facebook baru-baru  ini, remaja berkenaan dilihat memegang pisau pemotong daging dan mengamuk kerana permintaannya tidak dipenuhi orang tua itu.

Sampai begitu sekali penangan obsesi terhadap gajet. Sepatutnya,  kecanggihan teknologi membantu memudahkan urusan manusia sejagat.

Namun, sejak  kebelakangan ini, ia telah disalahgunakan hingga ke tahap sanggup menjadi pembunuh.

Berdasarkan penyelidikan Akademi Pediatrik Amerika dan Persatuan Pediatrik Kanada, kanak-kanak berusia dua tahun tidak sepatutnya didedahkan dengan gajet.

Pakar terapi pediatrik, Cris Zone juga menyarankan larangan penggunaan gajet ke atas kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun.

Ujar Zone, pada usia itu,  kanak-kanak akan sentiasa mencari cara mengembangkan kemampuan otak untuk mempelajari perkara baharu dan penggunaan gajet dalam tempoh lama akan memberi kesan buruk terhadap perkembangan otak.

"Penggunaan gajet tanpa kawalan akan memberi kesan kepada urat saraf kanak-kanak kerana terdedah kepada cahaya berterusan.

"Saraf yang rosak akan mengakibatkan kesihatan mereka terganggu. Malah terdapat beberapa bukti pendedahan gajet terlalu awal  menyebabkan pelbagai kesan sampingan seperti pembelajaran terjejas dan perubahan perlakuan," katanya seperti dipetik menerusi media antarabangsa.

Sakit saraf

Membuktikan kata pakar itu benar, isteri kepada penyanyi popular tanah air  iaitu Lan Solo memberitahu, anaknya turut berdepan implikasi negatif akibat penggunaan gajet.

Nur Sheila Hassim berkata, zuriatnya hampir berdepan gangguan saraf. 

Menerusi satu hantaran di Instagram, Nur Shiela berkongsi simptom anak lelakinya, Muhammad Akid Qassyaff yang sama dengan video seorang kanak-kanak di Filipina.

"Punca daripada perkara sama, gajet. Sama kejadiannya. Mata tidak berhenti berkedip-kedip, bangun tidur nangis sebab mata sakit. Selepas itu pening kepala.

"Nasib baik kami cepat perasan. Kami terus simpan semua gajet dan ya, Akid mengamuk sepanjang hari sebab tak dapat gajet. Tapi kami kentalkan hati, biar
sampai dia lupa gajet. Alhamdulillah, seminggu saja dia lupa semuanya. Terus hilang sakit kepala dan mata berkedip-kedip dia itu," katanya.

Mata juling, miopia

Lain pula kisah yang dikongsikan pakar mata, Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah yang menerima banyak kes  mata juling daripada pesakit ciliknya hanya disebabkan gajet.

"Hari ini, hari juling di klinik saya. Beberapa orang pesakit anak-anak  datang sebab mata juling, sebab sehari main gajet sampai berjam-jam.

"Bila ditanya, si mak tuding jari ke ayah, ayah tuding jari ke mak," katanya menerusi Medical Mythbusters Malaysia.

Ujar Dr Azlindarita, anak yang berusia bawah tujuh tahun jika dibenarkan bermain gajet lebih dari dua jam seminggu, boleh berisiko tinggi rabun jauh.

"Apabila mata kabur akibat rabun, ada potensi jadi mata malas dan juling. Nanti apabila juling, diejek di sekolah dan anak-anak boleh jadi rasa rendah diri.

"Ajak anak-anak bermain di bawah cahaya matahari untuk galakkan penghasilan dopamin dalam bola mata dan elakkan rabun jauh. Kalau nak tengok televisyen, pastikan jarak adalah dua meter atau lebih,” katanya.

Tumbuh tanduk

Sememangnya, bahana gajet bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Dalam satu penemuan mengejutkan di Queensland, Australia, tulang ‘tajam’ telah didapati tumbuh pada belakang tengkorak atau 'tanduk' seorang individu yang asyik melihat telefon pintar atau tablet.

Imej bonjolan tulang pada seorang responden berumur 28 tahun dilaporkan lebih besar berbanding tengkorak  manusia yang berusia 58 tahun sekali gus telah mengemparkan ramai pihak.

 

Melihat situasi itu, pasukan penyelidik Universiti Sunshine Coast itu  merumuskan, 'tanduk' di belakang tengkorak itu berpunca gara-gara asyik bermain atau   menumpukan perhatian kepada telefon pintas atau tablet.

Ketua penyelidiknya, Dr David Shahar berkata, para penyelidik telah membuat imbasan lebih 1,000 tengkorak orang ramai yang berusia antara 18 tahun sehingga 86 tahun.

"Bilangan mereka yang mengalami pembesaran tulang yang dinamakan occipital protuberance itu semakin bertambah terutamanya dalam kalangan golongan belia.

"Penemuan ‘tanduk’ tersebut biasa dilihat dalam  kalangan mereka yang berusia  antara 18 tahun hingga 30 tahun," katanya.

Ujar Shahar, masa berjam-jam yang diperuntukkan untuk melihat telefon  pintar, tablet dan komputer ribabarangkali menyebabkan tekanan pada bahagian tubuh  khususnya pada leher.

"Tubuh yang jarang digunakan mengakibatkan ia berubah sedikit demi  sedikit. 

"Dalam kes itu, otot bahagian leher yang bersambung pada belakang kepala kerap digunakan apabila seseorang tunduk untuk melihat telefon pintar.

"Kepala orang dewasa secara umumnya memiliki berat 5 kilogram. Sebagai tindak balas, otot berkenaan menjadi semakin besar dan kuat.

"Tengkorak pula akan menghasilkan lapisan tulang baharu untuk  mengukuhkan bahagian tersebut bagi menyokong otot terbabit,” kata Shahar.

Salah postur badan beri kesan jangka panjang

PRESIDEN Persatuan Fisioterapi Malaysia, Yew Su Fen yang  berpengalaman lebih 35 tahun berkata, penggunaan gajet dalam tempoh lama boleh mengubah
keadaan postur leher dan bahagian atas tulang belakang dengan begitu drastik sekali.

Ujar Su Fen, lazimnya ketika menggunakan  peranti, manusia akan sering membongkok dengan  keadaan leher dipaksa ke hadapan dengan kecondongan antara 45
hingga 60 darjah atau adakalanya lebih.

 

"Apabila dilakukan dengan begitu kerap dan dalam tempoh masa yang  begitu lama, keadaan postur akan mengakibatkan tekanan kepada tulang serviks pada bahagian
belakang.

"Keadaan itu akan turut mengakibatkan keadaan  tulang belakang lebih cepat haus dan rapuh dan akhirnya menyebabkan kesakitan yang amat ketara sekali,” katanya.

Su Fen menjelaskan, kecederaan akibat tekanan yang berulang disertai  kesakitan pada bahagian leher disebabkan  penggunaan gajet yang berlebihan dikenali sebagai simptom Text Neck.

"Dalam mengurangkan fenomena kecederaan Text Neck itu, terdapat beberapa cara dan amalan yang diamalkan seperti memegang telefon pintar antara 14 sehingga 16 inci jauh dari pelarasan mata iaitu jarak membaca yang disyorkan.

"Kita juga harus menggunakan gajet pada  paras mata dengan keadaan kepala menegak, dagu  terselip dan keadaan bahu pada kedudukan yang neutral dan santai.

Dinasihatkan juga agar digunakan huruf serta abjad cetak (font) yang lebih besar apabila menggunakan peranti mudah alih,” katanya kepada e-Trend baru-baru ini.

Su Fen menjelaskan, bukan sahaja sakit leher, ketegangan pada bahagian bawah pinggang juga sering berlaku disebabkan postur badan dalam keadaan duduk dalam
tempoh masa yang lama.

"Kajian menunjukkan kira-kira 70 hingga 80 peratus populasi global akan mengalami kesakitan  pada bahagian pinggang belakang.

"Kesakitan itu telah menduduki tempat teratas  dari segi ketidakupayaan  dan keenam tertinggi dari segi beban kesihatan secara keseluruhannya oleh Kajian Beban Penyakit Global 2010," katanya.

BAHANA lain akibat kekerapan menggunakan gajet:

  1. Ada satu kajian melaporkan, penggunaan internet yang berlebihan boleh menjejaskan kualiti tidur kanak-kanak dan remaja.
  2. Kajian juga menunjukkan remaja yang mengalami tidur terganggu lebih berisiko untuk mengalami masalah kesihatan mental, berat badan berlebihan dan penurunan prestasi akademik.
  3. Penggunaan skrin termasuk telefon pintar, tablet atau televisyen yang berlebihan atau berterusan boleh mengakibatkan gejala hampir sama seperti dialami individu ketagihan dadah.
  4. Kelakuan mereka akan lebih agresif, pernafasan laju, kelenjar adrenalin dan dopamine meningkat, kesannya sama seperti ketagihan kokain.
  5. Ketagihan skrin boleh menyebabkan kerosakan otak terutama pada kanak-kanak di bawah usia lima tahun kerana mereka tidak memiliki keseimbangan yang sihat antara masa bermain telefon dan masa melakukan kegiatan lain.
  6. Seorang doktor di Harvard, John Ratey menjelaskan dalam bukunya, Spark: The New Revolutionary Science of Exercise and the Brain bahawa kelebihan bermain walaupun selama 10 minit aktiviti fizikal mampu mengubah cara fungsi otak.
  7. Kajian National Institutes of Health, United States mendapati peningkatan  penggunaan teknologi moden boleh memecahkan sempadan keluarga, nilai moral, masalah tingkah laku dan kesejahteraan kanak-kanak.
  8. Kanak-kanak yang menghabiskan lebih 32 jam di depan skrin atau media lain lebih cenderung mengalami masalah psikologi.
  9. Wujud terma baharu seperti ringxiety (aduan mengenai masalah terhadap deringan telefon), nomophobia atau no mobile phone phobia (fobia tiada telefon bimbit) dan fear of missing out atau FoMo (ketakutan merasa terputus daripada dunia) mula muncul dan sangat berkait rapat dengan penggunaan telefon pintar yang berlebihan.

Artikel lain:

Lima murid Kedah sertai Kejohanan Bola Sepak MILO Champions Cup di Barcelona

'Pengetua tak marah pun. Itu yang buat kami segan nak ponteng' - Pelajar luah peribadi pengetua