Universiti Malaya (UM) melalui Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed) kini menawarkan program penempatan kerjaya kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma dan ijazah sarjana muda.

Pengurus Bahagian Pembangunan Kemahiran dan Pendidikan UMCCed, Mohd. Zaki Mohd Yaacob berkata, program itu diperkenalkan bagi mengawal kadar pengangguran lepasan universiti dan pusat latihan setiap tahun.

Melalui program itu katanya, lepasan  SPM, diploma dan ijazah sarjana muda  atau mana-mana kelulusan yang masih belum mendapatkan pekerjaan boleh memohon mengikuti program latihan dan praktikal selama tujuh bulan bersama pihak industri.

"Program meliputi bidang peruncitan, kecantikan, kesihatan dan spa, pemakanan, hospitaliti dan pengurusan acara. Pada bulan  pertama pelajar akan jalani latihan teori di UMMCCed dan enam bulan lagi penempatan industri di syarikat dan hotel terkemuka di Malaysia dan Singapura.

"Sepanjang jalani latihan industri di Singapura, mereka diberi elaun sebanyak RM1,490 (SGD$500), tempat tinggal dan  makanan ketika bertugas," kata
beliau yang hadir meraikan 150 graduan pada majlis konvokesyen program penempatan kerjaya, baru-baru ini.

Menurut Mohd Zaki, program penempatan kerjaya yang dijayakan bersama DHS Hospitality Academy Sdn Bhd dan Yayasan Septronic itu bermatlamat menyediakan pelajar dengan kemahiran pekerjaan mengikut kehendak pasaran dan industri.

“Interaksi berterusan antara pihak institusi pendidikan dan  latihan serta pihak industri sangat diperlukan bagi memastikan percambahan idea dalam penawaran kursus baharu atau penggubalan kursus sedia ada bakal memenuhi keperluan pasaran pekerjaan yang dimaksudkan.

“Selepas tamat latihan industri, pelajar akan mendapat sijil pentauliahan dan sekiranya mempamerkan prestasi kerja yang baik tidak mustahil mereka diserapkan terus bekerja di tempat mereka menjalani latihan,” katanya.

Mohd Zaki berkata, program yang telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu bakal mengambil pelajar untuk program seterusnya pada 14 Ogos depan dan mereka yang berminat menyertainya boleh mendaftar di laman sesawang www. umcced.edu.my.

“Mereka juga boleh menghubungi UMCCed di  talian 0322463374/3604 atau terus hubungi DHAS Hospitality Academy di talian 0193420988 atau 0169797279 untuk sebarang pertanyaan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Sumber Manusia dan Latihan DHS  Hospitality Academy, Dr. Sri Kumar Sivakumaran berkata, pihaknya memberi panduan, bimbingan serta khidmat nasihat kerjaya secara percuma mengikut keperluan dan kepentingan industri perhotelan pada masa kini.

Katanya, melalui program ini, para pelajar berpeluang jalani  latihan praktikal bersama rakan industri yang terlibat bagi menimba pengalaman di alam  pekerjaan sebenar dalam bidang yang bakal diceburi kelak.

“Latihan secara langsung  ini membolehkan setiap pelajar memperoleh tahap kompetensi  mengikut keperluan semasa industri.

“Bagi pelajar yang mengikuti program hospitaliti, selain menjalani latihan praktikal di Malaysia, mereka juga berpeluang mengikuti latihan  praktikal di hotel-hotel ternama di luar negara khususnya Singapura. Lebih menarik lagi, berpeluang ditawarkan pekerjaan di negara terbabit selepas menamatkan
latihan selama enam bulan.

“Kelebihan ini memberikan pandangan dan keyakinan berbeza kepada bakal majikan terhadap lulusan Program Penempatan Kerjaya UMCCed dan   seterusnya menjadikan mereka pekerja pilihan majikan,” katanya.