Bagi mendepani era cabaran Revolusi Perindustrian Ke-4 (Industri 4.0), pihak UniMAP akan terus memperkasakan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan memberi penekanan dan fokus terhadap melengkapkan mahasiswa yang mengambil program diploma kejuruteraan, sarjana muda teknologi kejuruteraan, sarjana muda teknologi dan program 'soft' TVET berkaitan supaya lahir sebagai tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, UniMAP sebenarnya telah mengorak langkah lebih awal melalui penawaran program berasaskan TVET.

"Program yang kami tawarkan merangkumi pelbagai inisiatif pemerkasaan TVET, penyediaan laluan pelajar lulusan Kolej Vokasional (KV) dan penambahbaikan berterusan hala tuju UniMAP supaya sentiasa mendepani misi dan visi TVET di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.

UniMAP fokus lahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan soft TVET.

Menurut beliau, Graduan TVET pastinya berkebolehan untuk merekabentuk, membina, menguji dan menyelenggara pelbagai peralatan dan sistem di samping berupaya mencari penyelesaian kreatif dan inovatif supaya mampu bersaing dan kompeten selain mencari peluang keusahawanan setelah bergraduasi.

Prof Badlishah memberitahu, pihak UniMAP juga akan sentiasa menambahbaik sistem pengurusan kualiti akademik melalui pelbagai inovasi kurikulum pengajian dari masa ke masa sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi berdasarkan kehendak pasaran dan industri semasa.

"Pada masa hadapan, lebih banyak pendedahan kepada teknologi dan peralatan sebenar di industri dan ini pasti akan membantu kebolehpasaran serta kebersediaan graduan di pasaran kerja tanpa perlu latihan tambahan selepas bergraduasi.

"Dengan adanya saluran kemasukan melalui Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL A dan C), semua bakal mahasiswa yang pernah berhenti atau tercicir daripada alam pembelajaran dan telah bekerja dengan pengalaman serta kemahiran yang tinggi tanpa sebarang sijil juga akan mampu melayakkan diri untuk meneruskan pengajian di UniMAP," katanya.

Tambah beliau, halatuju pemerkasaan TVET di UniMAP menjurus untuk terus mendukung kukuh dasar TVET nasional dengan jalinan program kerjasama bersama penyedia TVET nasional yang lain.

UniMAP membuka laluan untuk pelajar DVM melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Keutamaan semasa adalah bertumpu kepada kerjasama dengan penyedia TVET di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu politeknik, kolej vokasional (KV) dan kolej komuniti (KK).

"Selain promosi berterusan tentang program TVET UniMAP di politeknik, KV dan KK, kerjasama strategik merangkumi pembangunan kurikulum di politeknik, KV dan KK secara bersama akan diadakan melalui pemadanan dan pensetaraan kurikulum bagi membolehkan pemindahan kredit atau unit dengan lancar.

"Satu siri berkala tentang sistem TVET Tahap 6 juga bakal diadakan kepada politeknik, KV dan KK yang berkaitan. Tidak terhad dengan itu, satu program integrasi latihan teknikal untuk staf politeknik, KV dan KK akan dilaksanakan bagi merealisasikan satu perkongsian ilmu dan kepakaran secara menang-menang akan terhasil," katanya.

Beliau berkata lagi, sebagai kesinambungan ilmu dan kepakaran, pihak UniMAP juga akan memeterai satu kerjasama pintar untuk tenaga pengajar politeknik, KV dan KK melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam bidang kepakaran masing-masing.

Ini pastinya akan menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran di politeknik, KV dan KK termasuk peluang kajian yang berorientasikan industri 4.0.

"Secara rumusan, UniMAP telah berada di landasan yang terbaik bagi pembangunan dan pelestarian program TVET terutama bagi memberi laluan graduan politeknik, KV dan KK serta memberi peluang sama rata kepada penyedia TVET lain untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di UniMAP.

"Dengan kepelbagaian program TVET, ruang dan peluang pilihan pembelajaran di UniMAP kepada graduan politeknik, KV dan KK amat terbuka," katanya.

Pelajar akan diberi lebih banyak pendedahan kepada teknologi dan peralatan sebenar di industri dan ini membantu kebolehpasaran serta kebersediaan graduan di pasaran kerja
tanpa perlu latihan tambahan selepas bergraduat.

Tawar 14 program

UniMAP melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan telah mewujudkan laluan kemasukan kepada lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) untuk memohon ke program akademik Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan bagi pengambilan September 2019.

Prof Badlishah berkata, sebanyak 14 kursus ditawarkan bagi lepasan DVM dan DKM di Fakulti Teknologi Kejuruteraan.

"Data permohonan UPU 2019 menyatakan UniMAP telah menerima 1,204 permohonan daripada pelajar lepasan DVM untuk 14 program yang ditawarkan.

"Bilangan ini menunjukkan terdapat sambutan yang menggalakkan daripada graduan DVM yang berminat untuk menyambung pengajian peringkat Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan," katanya.

UniMAP turut mengadakan kerjasama strategik merangkumi pembangunan kurikulum di politeknik, KV dan KK secara bersama melalui pemadanan dan pensetaraan kurikulum bagi
membolehkan pemindahan kredit atau unit dengan lancar.

Namun begitu, untuk kemasukan ke program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan, graduan DVM masih memerlukan asas pengetahuan kejuruteraan yang baik.

Kata beliau, walaupun sesi temuduga diadakan namun sesi ujian pengukuhan masih diperlukan untuk menilai sekiranya pemohon dari lepasan DVM mencapai standard kurikulum bidang Teknologi Kejuruteraan dan mencerahkan peluang mereka untuk dipertimbangkan bagi menerima tawaran masuk ke program Teknologi Kejuruteraan.

UniMAP berada di landasan yang terbaik bagi pembangunan dan pelestarian program TVET.

Program Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu

Sejajar dengan penubuhan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu RA72 mula ditawarkan secara sepenuh masa bermula pada kohort 2014/2015 dan telahpun mendapat pengiktirafan Akreditasi Penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bermula pada 11 Mei 2018.

Prof Badlishah berkata, program itu dianggap berasaskan soft TVET kerana mengandungi elemen teknologi digital dan multimedia bagi memenuhi keperluan industri multimedia kreatif negara. Sehingga ke kohort terkini iaitu kohort ke-5 (ambilan 2018/2019).

"Permintaan pelajar terhadap program ini sangat memberangsangkan, di mana setiap tahun iKOM mendapat unjuran sebanyak 150 hingga 180 pelajar bagi setiap kohort, dan setakat ini telahpun berjaya mencapai 100 peratus pelajar prajaya bagi ambilan setiap tahun.

"Ia membuka ruang pilihan kepada pelajar lepasan DVM dalam bidang berkaitan melanjutkan pelajaran diperingkat sarjana muda," katanya.

Beliau berkata, kadar kebolehpasaran graduan bagi program itu secara puratanya adalah 95 peratus.

"Kebanyakan graduan iKOM telah diterima kerja di syarikat yang merupakan pemain utama dalam industri kreatif negara seperti ASTRO, RTM, Media Prima, dan syarikat produksi serta pengurusan acara," katanya.

Tambah beliau, iKOM juga aktif menjalankan kerjasama dengan industri kreatif seperti MAGIC, ASTRO AWANi, RTM, FINAS dan Antartica.

Di samping itu tenaga pengajar iKOM telah dilatih untuk menjadi mentor untuk projek keusahawanan UniMAP, ToT untuk pekerjaan dan kebolehpasaran, Coach Digital Economy bagi pelajar IPTA.

Dalam usaha memperkasakan tenaga pengajar, iKOM juga menjalankan aktiviti reskilling dan upskilling secara berkala.

Struktur program tersebut dibangunkan berdasarkan korpus Ilmu Komunikasi dalam media baharu (hybrid).

Terdapat tiga elemen utama dalam struktur kurikulum yang merangkumi 37 subjek/kursus (teras dan elektif) iaitu elemen media baharu (56.7%), komunikasi (24.3%) dan keusahawanan (19 %).

Prof Ts Dr R Badlishah

Prof Badlishah berkata, elemen media baharu yang berteraskan aplikasi teknologi media baharu seperti Internet of Things, digital dan multimedia kreatif merupakan bidang tujahan utama dalam program RA72.

"Antara subjek teras adalah Script Writing & Digital Storyboard, Digital Photography, Graphic Design for New Media, Digital Video Production, Animation for Integrated Media dan 3D Modelling yang mementingkan elemen hands-on kepada pelajar," katanya.

Menurut beliau, pihak iKOM juga sentiasa menjalankan promosi yang strategik kesemua kolej vokasional yang terpilih di seluruh negara dalam memperkenalkan program pengajian Komunikasi media baharu.

Selari dengan penubuhan pusat pengajian yang berasaskan teknologi komunikasi, iKOM juga akan menawarkan program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Media Interaktif yang merupakan tunjang kepada industri multimedia kreatif dan menyokong dasar Teknikal serta Pendidikan Vokasional dan Latihan (TVET) negara.

Artikel Berkaitan:

TVET pendidikan utama masa hadapan

Dulu gagal SPM, sekarang gaji RM19,000 sebulan tiga anak muda ini buktikan TVET jamin masa hadapan