SAYA sering obses dengan ungkapan; “Kecemerlangan itu tercipta apabila seorang murid biasa, daripada keluarga biasa, bersekolah di sekolah biasa, tetapi memiliki
usaha yang luar biasa”.

Mengapa saya obses? Jawapannya, kecemerlangan atau kejayaan itu diciptakan  oleh Tuhan secara ‘percuma’.

Kejayaan boleh diberi kepada sesiapa atau dimiliki oleh sesiapa sahaja. 

Waima bagi si miskin atau si kaya, insan yang sempurna fizikalnya atau insan kelainan  upaya, yang tinggal di ceruk benua atau yang mendiami kota lengkap prasarana, semuanya berupaya untuk mengecapi kejayaan atau kecemerlangan.

Oleh sebab itu, pada setiap tahun selepas keputusan peperiksaan awam khususnya seperti  STPM dan SPM diumumkan, maka akan terpaparlah berita tentang  keputusan cemerlang yang dihasilkan oleh insan-insan istimewa seperti insan kelainan upaya, pelajar daripada keluarga miskin, anak yatim piatu nestapa, dan pelbagai latar belakang yang sangat mencengkam emosi kita apabila membacanya.

Hal ini bermakna, sesiapa sahaja (termasuk anda yang sedang membaca artikel ini) berhak  untuk memperoleh kecemerlangan dan kejayaan.

Namun ada syaratnya iaitu ‘USAHA yang luar biasa’.  Benarlah kata-kata Thomas Edison, "Genius is 1% inspiration and 99% perspiration".

Beliau sekali lagi meletakkan USAHA sebagai  syarat utama untuk kecemerlangan. Begitu juga dengan Pak Hamka yang  mengatakan, “Jangan takut jatuh kerana  yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh”.

Maksud ‘memanjat’ di sini ialah – USAHA.  Orang yang berusaha dan istiqamah dengan usahanya pasti akan sentiasa mencuba dan tidak  gentar untuk gagal kerana  dia tahu kegagalan itu bukan noktah terakhir tetapi hanya langkah permulaan untuk berjaya.

Hal ini juga ada kaitannya dengan pesan Imam Syafie, “Jika kamu tak tahan penatnya  belajar, pasti kamu akan menanggung peritnya  kebodohan”.

Ungkapan penatnya belajar juga membawa maksud – USAHA.  Mengikut Kamus Dewan, usaha bermaksud –  daya upaya untuk mencapai sesuatu.

Dalam perkataan  ‘daya’ terkandung beberapa lagi perkataan seperti – ‘tenaga’, ‘kekuatan’ dan ‘keupayaan’.

Maka ingat pesanku, wahai anak-anak muridku, untuk  mencipta kecemerlangan dan kejayaan tiada jalan  pintas, tiada lif atau elevator; melainkan anda mesti memanjat tangga USAHA.

Ayuh! Mulalah melangkah.

AHMAD KAMAL IDRIS

Pengetua SMK Seksyen 18, Shah Alam   

Artikel lain:

KPM hargai sumbangan pengetua, guru besar dan guru kanan

Tahniah kepada guru pembimbing yang berjaya gilap bakat murid SK Laksamana ke pentas dunia

'Semua anak murid sayang abah' - Anak Allahyarham Ustaz Ku Yaacob