MESKIPUN berdepan ekonomi yang mencabar, namun ada sesetengah ibu bapa sanggup mengeluarkan belanja besar semata-mata membeli pakaian dan peralatan persekolahan berjenama untuk anak-anak mereka.

Namun, di sebalik keghairahan untuk melihat anak-anak ‘gah’ berpakaian dan  menggunakan barangan berjenama, adakalanya perbelajaan yang dibuat itu melebihi kemampuan diri.

Malah, seakan menjadi budaya bagi sesetengah ibu bapa berlumba-lumba membeli barangan persekolahan berjenama, walaupun anak-anak mereka belum
pandai menilai perkara sebegitu.

Pensyarah Pusat Pengajian Syariah, Fakulti Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Madya Dr Engku Muhammad Tajuddin Engku Ali berkata, bukan menjadi satu kesalahan untuk ibu bapa yang berkemampuan membeli barangan berjenama kepada anak-anak, tetapi adalah lebih baik mendidik mereka untuk bersederhana.

“Tidak dapat dinafikan ada ibu bapa yang berkemampuan bagi memenuhi keperluan dan menyediakan barangan mewah untuk kelengkapan persekolahan anak-anak sesuai dengan taraf kehidupan mereka.

“Bagaimanapun, ibu bapa juga perlu  sedar bahawa dengan memiliki barangan mewah sedemikian dikhuatiri boleh mendatangkan sikap angkuh dan menjadikan anak-anak sentiasa inginkan barangan yang mahal.

“Jadi, jalan yang terbaik adalah dengan mendidik mereka untuk  bersederhana kerana kita juga bimbang ia boleh melukakan hati rakan-rakan yang tidak mampu membeli barangan seperti mereka,”katanya.

Jelasnya lagi, barangan berjenama atau tidak bukan menjadi asas utama yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa, sebaliknya apa yang lebih penting adalah memberi didikan yang sempurna kepada mereka agar menjadi insan yang yang berguna kepada negara dan juga agama.

“Untuk menjadi seseorang yang dipandang tinggi oleh  oleh lain bukan dengan melihat kepada pakaian atau material yang dimiliki, tetapi lebih utama adalah akhlak mereka dengan orang sekeliling.

“Nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak dapat dibentuk jika mereka telah diasuh atau didik lebih awal serta dengan perkara-perkara positif dan kebaikan. Asas penting inilah yang perlu ditekankan oleh semua ibu bapa terutamanya pada zaman yang serba mencabar ini.

“Oleh itu, saya melihat adalah tidak sesuai jika kanak-kanak didedahkan  dengan barangan yang berjenama dan mahal pada usia sebegini, namun didiklah dengan sikap sederhana,”katanya.

Tambahnya lagi, sekiranya  sejak di usia kecil telah dididik dengan barangan berjenama, dikhuatiri boleh mendatangkan kesan negatif sekiranya ibu bapa gagal memenuhi permintaan mereka pada masa akan datang.

“Kita tidak tahu apa akan jadi pada masa  depan. Mungkin hari ini kita dapat penuhi, bagaimana jika kita gagal penuhi hingga boleh mendatangkan perasaan
memberontak dalam diri anak-anak,” katanya.