Kumpulan Nahawand Uviicy Sekolah Menengah (SM) Sains Batu Pahat, Johor diumumkan sebagai pemenang pertama Pertandingan Qasidah Cinta sempena Mawlid Fiesta 2020 anjuran Inasis Malten Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

Tempat kedua pula dimenangi Kumpulan An-Niqmah dari Masjid Bukit Piatu, Melaka manakala tempat ketiga dimenangi Kumpulan Nur Qasidah dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Jempol, Negeri Sembilan.

Mawlid Fiesta 2020 anjuran Inasis Malten UUM merupakan pertandingan yang julung kali diadakan secara online dan ia terbuka kepada semua rakyat negara ini.

Antara pertandingan yang disediakan dalam Mawlid Fiesta 2020 adalah Qasidah Cinta; All Stars Nabawi (Nasyid); Halwa Bicara (Deklamasi Sajak); Puisi Untukmu Nabi (Penulisan Sajak) dan Orasi Jiwa (Bercerita).

Sementara itu Nurul Hazirah Mad Zain, pelajar Tingkatan Dua SBPI Jempol, Negeri Sembilan diumumkan Johan Pertandingan Orasi Jiwa (Bercerita).

Dia mengambil masa dua hari untuk menyiapkan skrip mengenai peristiwa kelahiran Rasulullah SAW sebelum merakamnya dalam video untuk dihantar kepada pihak penganjur.

“Saya amat terkejut kerana diumumkan sebagai pemenang pertama pertandingan ini walaupun penyertaan saya ini sebagai permulaan,” katanya.

Nurul Hazirah berkata, kerisauan dan kebimbangan untuk mengumpul sijil aktiviti sepanjang 2020 memberi tekanan kepadanya dan rakan-rakan lain untuk menyertai mana-mana sahaja pertandingan yang dianjurkan.

Tetapi tidak menyangka percubaan kali ini bukan sahaja untuk mendapatkan sijil penyertaan malah terpilih pula sebagai pemenang pertama peringkat kebangsaan.

“Terima kasih kepada Inasis Malten UUM kerana membuka peluang kepadanya  dan juga kepada pelajar-pelajar lain untuk mencuba dan mendapatkan sijil,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Kumpulan Nahawand Uviicy, Nur Arief Haryz Zaharuddin berkata, penyertaan mereka untuk pertandingan kali ini dibuat selepas perbincangan dengan 13 ahli kumpulan dan Ustazah Ruseedah Abu Bakar.

“Kata sepakat diambil memandangkan Pandemik Koronavirus (Covid-19) membataskan kami untuk menyertai sebarang pertandingan atau penganjuran secara bersemuka sekali gus merumitkan untuk mengumpul sijil sebagai pengesahan menyertai aktiviti di peringkat sekolah,” kata pelajar Tingkatan Tiga SM Sains Batu Pahat ini.

Ujarnya, kumpulan mereka mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan video tersebut sebelum dihantar kepada urusetia pertandingan.

“Alhamdullilah, kejayaan merangkul tempat pertama adalah hasil usaha keras semua pihak,” katanya.

INFO

Keputusan Anugerah Khas

1) Anugerah Video Kreatif

- D’Asasi (Qasidah) (SBPI JEMPOL)

 

2) Anugerah Aura Penyampaian Terbaik

- Umie Nurliela (Deklamasi dan Penulisan Sajak) (UNISZA)

 

3) Anugerah Melodi Suara Terbaik

- An - Niqmah (Qasidah) (MASJID BUKIT PIATU, MELAKA)

 

4) Anugerah Personaliti Media Sosial

- Nur Amirah Inani (Penulisan Sajak) (UUM)

 

5) Anugerah Platinum Mawlid Fiesta Month

- Kumpulan Fitrah Murni (Nasyid) (SBPI RAWANG)