Penerapan eksperimen Sains dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Bahasa Arab yang dijalankan oleh Guru SK Bandar Baru Selayang (2) ini lahirkan kelainan, murid gembira dan teruja teruskan pembelajaran.

Menurut, Ustaz Luqman Jauhari Muhaimin, objektif utama ekperimen tersebut adalah untuk memudahkan murid mengenal nama-nama warna dalam Bahasa Arab.

Idea asalnya bermula, setelah melihat penerima Global Teacher Award, Cikgu Nurhailmi Abdul Mutalib berkongsi eksperimen Sains tersebut di facebook.

Justeru, untuk melahirkan kelainan dalam pengajaran, guru subjek Matematik dan Bahasa Arab ini telah menggunakan eksperimen Sains tersebut dalam PdP Bahasa Arab.

Hasil penelitian, eksperimen yang menggunakan sayur kobis panjang dan warna itu sesuai digunakan dalam pelajaran Bahasa Arab Tahun 3, dengan tajuk warna di sekeliling kita.

Menurut Ustaz Luqman, pelaksanaan eksperimen tersebut mengambil masa kira-kira dua hari, termasuk pemerhatian hasil eksperimen pada hari seterusnya.

“Perkara paling utama dalam mendidik murid-murid ini adalah, kita perlu tanamkan rasa cinta murid-murid terhadap subjek yang dipelajari. Ia secara tidak langsung membantu mereka menguasai subjek tersebut dengan mudah.

“Dalam melaksanakan PdP, saya cuba wujudkan aktiviti yang boleh membuatkan pelajar seronok. Antaranya adalah dengan banyakkan aktiviti-aktiviti yang memerlukan pelajar lakukan secara terus atau ‘hands on’,”katanya.

Terang guru asal Selangor ini, gabung jalin aktiviti ‘hands on’ dengan subjek-subjek lain, membuatkan murid lebih teruja untuk belajar. Sebagai contoh, gabung jalin aktiviti subjek Bahasa Arab dengan subjek Pendidikan Sains.

“ Sesetengah murid lemah dalam akademik, tetapi mereka berbakat dalam aktiviti yang melibatkan kemahiran. Murid seperti ini, guru-guru wajib ketengahkan. Sebagai contoh, jika ada murid yang suka bercakap, kita beri tugasan kepada mereka untuk membuat pembentangan di hadapan kelas.

“Manakala murid-murid yang pendiam pula, mereka boleh lakukan tugasan mengedarkan barang-barang kepada rakan-rakan. Nampak mudah, tetapi ia dapat meningkatkan keyakinan murid untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan lain,”jelasnya.

Menerusi eksperimen tersebut, murid-murid bukan sahaja dapat mempelajari nama-nama warna dalam Bahasa Arab, bahkan mereka turut berpeluang mengkaji pergerakan air dalam tumbuhan mengikut teori Sains.

“Sebelum eksperimen dijalankan, saya memperkenalkan nama-nama warna dalam Bahasa Arab terlebih dahulu. Murid akan menyebut perkataan-perkataan tersebut berulang kali sehingga mereka dapat menghafalnya.

“Kemudian mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan, sebelum eksperimen Sains dijalankan dengan memasukkan kubis panjang ke dalam bikar yang mengandungi air berwarna,”katanya.  

Tambah Ustaz Luqman, sepanjang eksperimen tersebut, murid akan diberi lembaran kerja yang mengandungi dua gambar kobis. Mereka perlu mencatatkan pemerhatian sebelum dan selepas kajian, serta merekodkan warna tumbuhan tersebut dalam Bahasa Arab.

“Waktu itu, murid akan dapat melihat air berwarna mengalir perlahan-lahan dari bahagian bawah tumbuhan sehingga ke seluruhan bahagian daun. Mereka nampak teruja dan bertepuk tangan sambil menjerit, ‘seronoknya belajar Bahasa Arab!,” jelas Ustaz Luqman.

Cara lakukan ekperimen:

1) Sediakan kubis panjang, pewarna makanan dan bekas berisi air.

2) Campurkan air dan sebotol pewarna makanan dalam satu bekas.

3) Masukkan kubis panjang ke dalam bekas berisi air berwarna.

4) Air berwarna akan bergerak ke seluruhan bahagian sayur melalui xilem.

5) Biarkan semalaman.

6. Tunjukkan hasil eksperimen pada keesokan harinya. Warna kubis akan jadi lebih cantik dan pekat.

6. Catatkan pemerhatian dalam lembaran kerja yang diberi.

Nota : Jangan rendam sayur lebih dari dua hari, khuatir sayur akan menjadi busuk.