SEJAK berdekad lalu, dunia tidak pernah berhenti daripada berasa bimbang tentang penyakit pandemik. Sebelum ancaman koronavirus (Covid-19), perhatian tertumpu kepada virus influenza sebagai penyebab paling tepat bagi menggambarkan kebimbangan tersebut.

Menurut laporan CNA, kajian baru-baru ini mengingatkan kita bahawa ancaman selesema masih nyata. Berdasarkan laporan, virus selesema babi yang sedang menular di China berpotensi untuk memindahkan wabak kepada manusia.

Pada setiap tahun, terdapat jutaan kes selesema dilaporkan yang menyebabkan ratusan ribu kematian. Kesemuanya berpunca daripada jangkitan bermusim atau virus influenza jenis B.

Bagaimanapun, terdapat juga jenis virus selesema lain yang dibawa oleh haiwan terutamanya virus burung jenis A.

Namun berita baiknya, hanya segelintir manusia dijangkiti virus tersebut dengan teruk. Tetapi, memandangkan ia berbeza daripada virus bermusim, manusia mempunyai sedikit atau tiada imuniti sedia ada terhadap virus tersebut.

Jadi, virus jenis A mempunyai kemampuan yang mudah untuk menjangkiti manusia dan penularannya mampu menjejaskan populasi manusia sehingga membawa kepada wabak dengan cara yang sama seperti dilakukan SARS-CoV-2 atau Covid-19.

Jangkitan pada manusia

Selesema Sepanyol yang berlaku pada 1918 dan menyebabkan sekitar 50 juta kematian menunjukkan mengapa pandemik virus influenza menjadi fokus Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kerajaan di seluruh dunia.Virus influenza menjangkiti sel pernafasan dengan bersatu dengan reseptor tertentu di permukaan sel. Manusia dan burung mempunyai versi reseptor berbeza, bermaksud virus selesema burung jarang menjangkiti sel manusia. Ini adalah sebab mengapa kadar jangkitan pada manusia rendah.

Bagaimanapun, virus selesema dapat menukar segmen bahan genetiknya dengan mudah dalam proses yang dikenali sebagai penyusunan semula jika dua virus berbeza menjangkiti sel yang sama.

Ia seterusnya boleh mewujudkan virus selesema baharu dengan gabungan ciri induk mereka.

Penyusunan semula dikhuatiri dapat menyebabkan bahaya yang lebih besar daripada beberapa virus burung dengan jangkitan kuman yang tinggi pada manusia, kombinasi yang berpotensi memberi kesan buruk.

Sebagai contoh khinzir. Sel pernafasan mereka mengandungi dua versi reseptor yang dinyatakan sebelum ini, menjadikan ia rentan terhadap pelbagai virus selesema. Bermaksud spesies itu adalah tuan rumah paling mungkin yang menyebabkan berlakunya penyusunan semula.

Disebabkan ini, terdapat jaringan pengawasan global yang luas untuk mengenal pasti virus selesema baharu dan berpotensi berbahaya.

Berdasarkan kajian baru-baru ini mendapati bahawa virus selesema babi yang muncul di China memaparkan banyak ciri yang penyelidik jangkakan berpotensi mengakibatkan penyakit berjangkit.

Tanda amaran

Antara virus yang diasingkan daripada khinzir di China sepanjang tahun 2011 dan 2018, enam jenis virus yang berbeza telah dikenal pasti.

Pada 2011, virus yang dominan adalah varian virus selesema babi H1N1 2009 manakala virus-virus yang berikutnya menunjukkan ciri-ciri yang muncul daripada penyusunan semula.

Secara khususnya, sejenis virus selesema babi baharu digelar G4 dikesan buat pertama kali pada sampel yang diambil pada 2013 dan pada 2018 ia menjadi virus dominan dan hanya kes terpencil.

Ini bertepatan dengan peningkatan ketara pada penyakit pernafasan khinzir yang menunjukkan bahawa virus G4 telah disesuaikan dengan baik untuk menjangkiti haiwan berkenaan dan banyak menggantikan virus selesema babi lain di China, sekali gus menimbulkan rangkaian virus G4 yang kini sedang menular.

Ujian potensi jangkitan manusia akibat virus G4 menghasilkan keputusan membimbangkan.

Feret, sejenis mamalia domestik mempunyai corak reseptor yang sama dengan manusia, menunjukkan penyakit influenza yang serupa dengan manusia dan dapat menyebarkan virus tersebut dalam kalangannya.

Ia menjadikan spesies itu model terbaik untuk mengkaji kemungkinan kesan virus selesema kepada manusia.

Apabila diuji, virus G4 menyebabkan penyakit yang lebih serius pada feret berbanding jenis lain selain mudah tersebar oleh kontak langsung dan dan pernafasan.

Ini menunjukkan G4 berpotensi menyebabkan penyakit yang teruk pada manusia dan mudah tersebar sesama kita.

Sampel darah daripada pekerja ladang khinzir yang mempunyai kontak rapat dengan haiwan tersebut diuji untuk mengetahui sama ada antibodinya kenal dengan virus G4.

Anehnya, 10 peratus sampel daripada pekerja ladang dan kira-kira empat peratus sampel daripada populasi umum mengandungi antibodi itu. Ini menunjukkan bahawa virus G4 telah menjangkiti manusia.

Oleh itu, virus G4 nampaknya memiliki semua ciri yang ditakuti terhadap virus yang berpontensi mencetuskan pandemik.

Namun, tahap jangkitan yang nyata pada pekerja ladang menunjukkan bahawa buat masa ini virus itu pada umumnya tidak menyebabkan penyakit yang teruk atau mudah merebak.

Meskipun begitu, Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China dalam satu kenyataan minggu lalu memberitahu G4 tidak menjangkiti manusia atau haiwan dengan mudah.

Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS), H1N1 dan kini Covid-19 semuanya berlaku dalam tempoh 20 tahun ini dan kemunculannya akan terus mencetuskan kebimbangan dan akan terus berlaku. - Agensi    

Artikel menarik:

Covid-19 boleh disebar melalui bawaan udara

Covid-19 boleh bertahan pada kulit selama empat hari