PESANKU pertama: Setiap hari kalian keluar rumah untuk ke sekolah, perbetulkan niat.  

Sesungguhnya niat yang betul akan memastikan hala tuju kita tidak tersasar.  

Sentiasa memilih untuk mendapatkan sesuatu yang baik di sekolah.

Pesanku kedua: Belajarlah bersungguh-sungguh semasa guru mengajar di dalam bilik darjah.  

Pengalaman menemuramah beberapa murid cemerlang tentang cara mereka belajar membuat saya terkejut.  

Apa yang memeranjatkan adalah 90 peratus waktu belajar mereka adalah ketika guru mengajar di dalam bilik darjah.  

Mereka tidak mengikuti kelas tambahan di luar.  

Waktu senggang digunakan sebaik mungkin untuk menyiapkan kerja rumah yang diberi guru.  

Selain itu, perbincangan dengan rakan lain juga amat membantu untuk kalian lebih memahami pelajaran yang dipelajari.  

Jadi, janganlah diambil mudah perhatian semasa guru mengajar.

Pesanku ketiga:  Hormatilah guru.  

Guru dengan sehabis baik menyalurkan ilmu kepada kalian dengan harapan akan kalian terima dengan baik.  

Jadi, ikhlaskan hati dengan guru.  

Jangan sesekali punya rasa negatif terhadap guru kerana rasa itu akan jadi hijab kepada ilmu yang sedang disalurkan.  

Tidak kiralah bagaimana sekalipun guru itu, mereka tetap guru yang wajib kalian hormati.

Guru mencurah ilmu ibarat kita menuang air ke dalam bekas.  

Sekiranya bekas itu tidak terbuka, bagaimana mungkin air itu akan memasuki bekas tersebut.  

Begitulah juga dengan kalian.  

Sekiranya kalian tidak membuka hati untuk menerima apa yang diberi oleh guru, bagaimana mungkin ilmu itu akan memasuki dan seterusnya menetap dalam minda kalian.

 

Rusita Sahari

Pengetua,

SMK Seksyen 8, Kota Damansara