MASUK tahun kedua Kementerian Pendidikan (KPM) di bawah teraju Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, pelbagai perubahan dan penambahbaikan dilakukan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara bagi melahirkan bangsa yang beradab, tinggi nilai akhlaknya dan bijaksana tingkahnya. 

Perubahan demi perubahan dibuat bermula dengan inisiatif pengurangan beban guru, Inisiatif Terbaharu Peringkat Sekolah dan terkini Naratif Baharu Amalan Pendidikan. 

Daripada pendidikan berorientasikan peperiksaan, dasar pendidikan kini beralih kepada pendidikan berorientasikan pertumbuhan. 

Ikuti wawancara khas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin; dan Editor GPS Bestari.com, Wan Normi Hasandan wartawan Faezah Muda dengan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dalam membicarakan hala tuju pendidikan negara. 

Wawancara itu berlangsung di Putrajaya, baru-baru ini.  

1. Apakah tema hari guru tahun ini?

Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi.

Sebenarnya ia merupakan rangkap sajak A Samad Said. Obor itu sebagai membayangkan lilin. Obor itu sebagai penyuluh. Hemah itu bermakna sopan santun peribadi guru. Menyinari pertiwi itu, tanah tumpah darah negara kita, negara kita, negeri kita.

Dalam erti kata lain, kekuatan guru, hemah guru, peribadi guru, sopan-santunnya berhemah tinggi itu merupakan kekuatan utama kepada seorang guru untuk memastikan pendidikan kita dapat diangkat.

Pendidikan itu sendiri merupakan teras untuk membangunkan negara.

Sebab itu, perkataan guru sebagai lilin dikatakan sebagai obor menyinari kerana keperibadian itu kuat.

Keperibadian guru itu bergantung juga kepada kekuatan jiwa pendidik. Tahun ini kita fokus kepada kekuatan dalaman guru. Keperibadiannya itulah yang perlu ditingkatkan dalam menguatkan sistem pendidikan negara.

Dr Amin

2. Sebagai bekas guru, apa pandangan Datuk mengenai peranan guru sekarang, zaman berubah dan generasi juga yang sudah bertukar karakter?

Salah satu perkara selalu menjadi perbincangan adalah debat generasi. Setiap generasi itu akan mengatakan bahawa generasi dialah yang terbaik. Kalau guru lama, dia membayangkan guru pada zaman dia adalah yang terbaik.

Guru muda sekarang pun bila sampai satu ketika zaman dia dah lama, dia akan pertahankan ketika zaman dia yang terbaik berbanding dengan zaman akan datang.

Jadi debat generasi ini akan berterusan tetapi kita kena lihat begini, jika kita hendak menilai kehebatan guru, kita kena menilai generasinya. Perbandingan itu boleh tetapi kita kena tengok cara kekuatan guru mengekspresikan yang pelbagai.

Contohnya jiwa pendidik, guru yang ada jiwa pendidik ini dia percaya bahawa tugas utamanya adalah untuk mengangkat kemuliaan dan harga diri anak didiknya.

Itu mesti menjadi teras dan dia percaya bahawa dia sebagai pendidik, dia akan mengangkat anak didiknya itu. Namun cara mengekspresikannya berbeza-beza zaman sekarang dan dahulu.

Ketika zaman dahulu, guru tersangat cakna kepada murid seperti boleh pergi ke rumah murid jumpa ibu bapa. Pada masa itu beban kerjanya belum banyak berbanding zaman sekarang.

Komunikasi mereka lebih secara langsung, jadi nampak hebat. Guru zaman sekarang di samping muridnya lebih sofistikated, ibu bapa semakin canggih dan murid lebih ramai. Kerja profesional turut lebih menuntut tumpuan.

Sekarang guru mempunyai grup WhatsApp dengan ibu bapa.

Mereka tidak perlu lagi ke rumah murid seperti dulu kerana majoriti ibu bapa sekarang bekerja dan tiada di rumah. Mereka berkomunikasi melalui WhatsApp sahaja. Jadi itulah tak boleh tengok perbandingan kedua-duanya.

Kena tengok cara ekspresinya.

Ini juga saya selalu bagi tahu guru-guru supaya manfaatkan kaedah yang ada sekarang tetapi asasnya ialah guru cakna kepada murid. Kita juga mengambil kira dari segi sosio ekonomi ibu bapa sekarang.

Jika dulu guru dianggap sebagai rujukan namun sekarang guru menjadi rakan perbincangan.

Guru zaman sekarang pun hebat. Mereka masih ada lagi semangat bertanggungjawab mengangkat harga diri anak didik.

3. Adakah Datuk merasakan grup WhatsApp itu perlu?

Bukan saya katakan mesti tetapi kalau itulah yang diterima. Kadangkadang di kampung lebih 'personal'. Itu lagi bagus. Lagipun sekarang saya lihat itu sudah menjadi trend. Saya rasa itu tak ada masalah. Boleh.

4. Kemenjadian murid diletak sepenuhnya di bahu guru, apa pandangan Datuk?

Bukan sepenuhnya. Masa murid ada di sekolah tidak sebanyak berbanding murid ada di luar. Wujud pandangan mengatakan kemenjadian murid sepenuhnya di bahu guru memandangkan ibu bapa masa sekarang lebih 60 hingga 70 peratus bekerja.

Tak macam dulu, banyak ibu menjadi suri rumah sepenuh masa. Sekarang kebanyakan ibu bekerja, jadi harapan dia tanggungjawab mendidik itu kepada sekolah. Jadi dalam masa yang sama kita tidak boleh membiarkan begitu, sebab itu kita minta kepada guru yang penting adalah tanggungjawab untuk mendidik anak murid.

Berbalik kepada penekanan mendidik murid, itu penting.

Memberikan mereka kemahiran, adab, nilai itu perlu. Tapi dalam masa yang sama kita perlukan juga kerjasama ibu bapa dan masyarakat. Saya perhatikan juga, benda yang kita buat di sekolah tapi tidak sinonim dengan suasana di luar.

Mereka ibarat 'do' di sekolah dan 'undo' di luar.

Sebab itu kita gerakkan untuk perkukuhkan hubungan melalui Sarana dan PIBG. Kita percaya bahawa institusi keluarga dan sekolah perlu dirapatkan seperti budaya di Jepun. Di sana sekolah dan ibu bapa memang rapat jadi mereka ada keserasian ('seemless education').

5. Peranan guru makin luas dan besar. Jadi adakah guru di Malaysia mendapat pengiktirafan yang sepatutnya daripada KPM dan masyarakat?

Satu, pandangan masyarakat, ia tak boleh dibandingkan dulu dan sekarang.

Pada saya, Malaysia adalah antara negara yang masih memandang tinggi kepada bidang perguruan. Walaupun begitu agak kritikal dan 'demand'. 'Demand' lebih kepada guru untuk melaksanakan tugasnya.

'Demand'nya itu bukan sahaja dari segi hemahnya dan keperibadiannya, tetapi juga 'demand' guru itu dari segi pengetahuan dan kompetensi.

Tuntutan itu tinggi sebab itu guru perlu dikemaskinikan pengetahuan dan sebagainya. Di kementerian, kita ambil kira, untuk kita mengekalkan bahawa guru masih dianggap faktor penting dan satu institusi yang dihormati.

Kita bermula daripada kualiti guru itu sendiri.

Sebab itu dalam Pelan Pembangunan Pendidikan, kita memberikan kawalan. Kualiti guru kita cukup bagus daripada kemasukan guru sebab kita berpegang kepada satu prinsip iaitu kualiti sistem pendidikan ini tidak boleh melebihi kualiti gurunya.

Kalau kita nak mengangkat kualiti sistem pendidikan, yang pertama kita kena angkat kualiti guru kita.

Ini akan berlaku secara automatik. Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan, kita memastikan guru yang masuk dalam sistem itu, terpilih daripada kalangan terbaik dari segi akademik dan minat.

Bukan mudah jika nak masuk institut pendidikan guru (IPG) sekarang.

Daripada 40,000 memohon kita akanambil hanya 5,000 paling banyak. Sebab itu kita ambil yang berkelulusan 7A ke atas. Dan kita juga ada ujian sikap kecenderungan menjadi guru. Kualiti kita jaga.

Kualiti Kemasukan kita jaga, kemudian bila dah masuk, kualiti latihan juga kita jaga.

Satu lagi, pelajar IPG yang keluar nanti akan melalui satu proses temuduga sebelum ditempatkan ke sekolah oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk kawalan kualiti. Untuk makluman, tidak semua pelajar kita walaupun terlatih tapi jika tidak capai standard, kita tak tempatkan di sekolah.

Dalam sistem kita, latihan dalam perkhidmatan (LADAP) akan dibuat secara terus-menerus sehingga pencen.

Kita jaga kualiti profesion itu sebab itu kitaran latihan mereka cukup kerap. Saya pernah buat kajian, dulu kitaran latihan guru besar dan guru-guru itu lama iaitu selama 10 tahun.

Sekarang ini kita percepatkan, bermula daripada kemasukan sampai keluar, kualiti sangat kita jaga.

Dari segi kebajikan guru, sistem perkhidmatan dan gred guru, kita sudah gerakkan. Sekarang ini, 90 peratus guru sekolah rendah mempunyai ijazah. Gred mereka pun sudah berbeza. Dalam sistem perkhidmatan perjawatan, guru kita jaga.

Oleh sebab jawatan pengetua dan guru besar tak ramai, sistem sekarang juga untuk membantu naik gred ikut 'time-based'.

Sebenarnya dalam sistem kita, ada beberapa jalur untuk guru itu berkembang. Jika dulu hanya ada jalur kepimpinan sahaja jadi pengetua, ketua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Itu masih ada.

Namun kita ada lagi jalur guru cemerlang dan satu jalur lagi, guru pakar.

6. Adakah ada pelan untuk naikkan gaji guru atau tambah elaun terutama untuk kawasan pedalaman?

Kawasan pedalaman kita sekarang memang ada elaun P1, P2 dan P3. Perancangan tambah elaun itu bergantung ekonomi negara.

7 Berkenaan Naratif Baharu Amalan Pendidikan. Apakah tujuannya?

Ada dua tujuannya. Pertamanya ia adalah kelangsungan daripada usaha saya sendiri secara peribadi untuk melihat Pelan Pembangunan Pendidikan itu dari kaca mata guru. Pelan pembangunannya tebal tapi kita nak lihat bagaimana boleh dikaitkan dengan kerja guru di sekolah.

Yang keduanya, saya cuba untuk menterjemahkan secara praktikal hala tuju yang disebut Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada awal tahun lalu mengenai hala tuju pendidikan perlu berteraskan pendidikan nilai, adab dan sebagainya; yang kedua berkaitan kualiti pendidikan dan autonomi.

Saya guna perkataan naratif sebab ini cara kita berfikir dan bertindak berdasarkan naratif yang kita selalu dengar.

Salah satu perkara yang memberi kekangan kepada amalan pendidikan negara kita selama ini adalah kita terlalu terikat dengan naratif orientasi peperiksaan.

Ini juga yang menyebabkan Menteri Pendidikan melihat bahawa pendidikan itu perlu berteraskan kepada nilai dan adab. Oleh itu, kita perlu naratif baharu gantikan orientasi peperiksaan, iaitu orientasi pertumbuhan.

Kita hanya boleh menekankan soal didikan nilai, adab, pembangunan sahsiah, perkembangan karakter jika kita menekankan kepada orientasi pertumbuhan murid.

Jika kita terikat dengan orientasi peperiksaan, kita terabai aspek-aspek lain. Sebab itu naratif lama kita tinggalkan dan gantikan dengan yang baharu. Amalan pendidikan, amalan harian guru itu perlu menekankan kepada pembentukan watak, sahsiah dan sebagainya.

Itu adalah antara perkara terasnya.

Reaksi

Wan Pidura Wan Ali , PK Pentadbiran  SK Bukit Rahman Putra  Sekolah Kluster Kecemerlangan

"Guru hari ini berperanan membimbing murid ke arah keperibadian mulia, serlahkan bakat dan luaskan pengetahuan dunia akhirat." 

Ahmad Fauzi Yaacob, Pengetua SMKA Miri, Sarawak

"Guru hari ini perlu terima cabaran alafbaharu yang mencabar dan perlu kuasai semua aspek teknologi terkini sesuai dengan apa yang pelajar dapat di luar sekolah. Guru perlu proaktif dan berfikiran terbuka dalam menerima setiap pembaharuan dilaksanakan KPM selain tak abaikan nilai kasih sayang dalam mendekati pelajar."

 

Zazolnizam Zakaria, Penyelaras Kluster SKK/Guru Ikon STEM KPM SK Permatang Tok Mahat, Pulau Pinang

"Pendidik generasi alfa memerlukan kecekapan guru menyampaikan ilmu mengikut cara mereka dan tekal sebagai pemangkin menguasai ilmu. Murid kini lebih terbuka dan seharusnya guru mempunyai pengetahuan, kemahiran psikologi dan pedagogi yang dinamik mengikut zaman mereka." 

Mohd Tamrin Ibrahim, Guru Bimbingan dan Kaunseling SK Felda Alias 3

"Guru sebaiknya mengutamakan perkembangan sahsiah secara menyeluruh. Perkara ini akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik, kokurikulum dan bidang lain."

 

Artikel Menarik:

Sanjungi guru, adiwira sebenar kita - Satu perkongsian kisah Cikgu Zakuan dan guru SMK Kubang Kerian yang hebat