SIRI kedua temu bual Editor GPSBestari Wan Normi Hasan dan Wartawan Faezah Muda bersama Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin membincangkan kedudukan UPSR, PT3 dan SPM serta perubahan orientasi pendidikan negara.

Ikuti wawancara khas ini selanjutnya.

1. Perubahan orientasi peperiksaan  kepada orientasi pertumbuhan? Adakah seiring dengan syarat kemasukan ke universiti?

Bila saya sebut perubahan kepada orientasi pertumbuhan menggantikan orientasi peperiksaan, di peringkat sekolah kita jelas tentang perkara ini.

Yang jadi masalah sebelum ini, kita meletakkan peperiksaan itu pada tempat yang tidak betul, pada masa yang tidak betul.

Peperiksaan itu bagus jika kita gunakan pada tempat dan masa yang  betul. Bukan saya kata peperiksaan tak bagus, tetapi kita ada sekolah dari tahun satu hingga tingkatan lima atau tingkatan enam.

Orientasi peperiksaan ini menyebabkan gaya kita berfikir dan  tindakan ibu bapa itu terlalu berlebihlebihan sampaikan pada tahun satu murid sudah didedahkan dengan peperiksaan.

Lebih teruk sekarang ini, jika kita tak bendung, peringkat tadika pun dah mula ada peperiksaan. 

Saya dah berbincang secara profesional dengan guru-guru dan kami  memutuskan peperiksaan itu betul tetapi jangan sampai mewarnai keseluruhan cara kita  mendidik murid.

Peperiksaan itu bila masanya? Tingkatan lima... tingkatan lima itu  adalah tempat yang sesuai peperiksaan awam diberikan tumpuan.

Sebab SPM itulah yang digunakan oleh pelajar untuk keluar bekerja atau ke peringkat pengajian tinggi.

Ketika itu boleh diberi tumpuan tapi kalau setakat UPSR, kenapa kita mesti 'all out'?

Dalam Kementerian Pendidikan, UPSR itu bukan peperiksaan awam seperti SPM. UPSR dari segi dasar polisi hanya untuk melihat sejauh mana murid mencapai tahap pendidikan rendah yang dipanggil sebagai 'check point' pada peringkat asal tapi bukan 'all out' sampai macam SPM.

2. Ada kaedah lain untuk penilaian pelajar?  Kita memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sejak 2011.

Kita nak mengatasi orientasi peperiksaan inilah. PBS babitkan enam tahun di sekolah rendah dan  tiga tahun di sekolah menengah. Tujuan kita adalah untuk mengukuhkan asas pendidikan kepada pelajar.

Berikan mereka asas-asas ilmu yang diperlukan. Soal adab nilai yang diperlukan. Soal pembangunan fizikalnya. Semua asas-asas ini yang perlu kita kukuhkan.

Sebab itu perkataan sekolah rendah itu adalah dasar. Maksudnya dasar kena kukuh dari semua aspek dari segi intelektual, emosi, fizikal dan kerohanian murid.

Itu hasrat falsafah pendidikan negara kita yang diterjemahkan melalui PBS ini tetapi oleh sebab orientasi peperiksaan ini mengatasi pemikiran menyebabkan kita terlupa asas-asas pendidikan sebab itu kita kembalikan semula dengan naratif baharu ini supaya asas ini diperkukuhkan.

Pada 2009 kami telah mengadakan perbincangan dan 'survey' sama ada kita  nak hapuskan peperiksaan sekolah rendah ini dan hanya ada satu peperiksaan.

Daripada kaji selidik itu, masyarakat mahukan satu 'check point' di sekolah rendah sebab ia berbeza dengan sekolah menengah tapi ada satu di sekolah menengah dan kerana itulah sebenarnya kami mahu menukarkan Penilaian Menengah Rendah (PMR) digantikan dengan PT3 ini.

Tapi masa tu perkataan PT3 belum  wujud lagi. PT3 ini adalah sebahagian daripada PBS tadi dan urusan peperiksaan dan penilaian diserahkan kepada sekolah  dengan tujuan untuk memberi pengukuhan nilai.

Jika semua asas dari segi pembangunan watak sahsiah kita perkukuhkan di sekolah rendah selama enam tahun, kita tidak terikat dengan peperiksaan semata-mata, naik sekolah menengah kita kukuhkan lagi di tingkatan satu hingga tiga.

Selepas itu naik tingkatan empat barulah kita boleh buat penjurusan dan penekanan. Sama ada masuk ke aliran sains mahupun vokasional, kita nak pergi akademik atau terus peperiksaan.

Untuk ke kelas tambahan, perlu mengikut peperiksaan sesuai. Sebab di  tingkatan lima nanti, kita akan fokus kepada akademik. Jadi ia tidak bertentangan dengan keperluan universiti.

3. Adakah pihak sekolah faham dengan dasar baharu ini?

Saya sudah maklumkan kepada sekolah, bahawa pada peringkat tingkatan empat dan lima teruskan untuk akademik, tetapi jangan rosakkan pendidikan asas ini.

Saya rasa semua orang komplen tentang orientasi ini. Sejak memegang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan, penilaian pertama yang saya umumkan adalah pada November 2017.

Saya tak umumkan UPSR, tetapi yang saya umumkan adalah Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR).

Sebab saya nak bawa pemikiran semua orang, bahawa di sekolah rendah ini bukan UPSR semata-mata yang diberi perhatian, tetapi juga aspek jasmani.

Saya bincang tentang obesiti, sebab memang dalam salah satu komponen PBS itu, perkembangan kesihatan murid turut difokuskan.

Berkaitan murid pula, psikometrik dan sebagainya juga perlu dilihat sama.

Kemudian, saya hapuskan pula Gred Purata Sekolah (GPS) di sekolah rendah.  Saya dapati ketika itu GPS digunakan sebagai asas untuk menilai kecemerlangan sekolah.

Pendekatan itu mengukuhkan orientasi peperiksaan dan saya  hapuskannya sebab ia tidak membantu untuk membina karakter murid.

Jangan gunakan sekolah rendah GPS. Sekolah menengah tingkatan lima boleh guna sebab memang untuk peperiksaan.

Gerakan kita ini berterusan. Awal tahun ini, Menteri Pendidikan umumkan  tiada peperiksaan untuk tahap satu. Tujuannya adalah untuk memastikan, sekolah rendah ini dapat mengukuhkan pendidikan asas dahulu. Bila menteri kata penerapan berdasarkan nilai adab, jadi ini yang kita nak kukuhkan. Justeru, ia selari dengan apa yang kita buat dan ia berterusan.

4. Berkaitan penghapusan GPS, bagaimana pula dengan KPI guru besar, para guru dan  sekolah?

Jika GPS itu tiada, jadi bagaimana kita melihat indikator, kejayaan sesebuah sekolah, atau kerja buat guru besar dan guru-guru. Satu perkara yang telah saya bincangkan bersama guru-guru, dulu bila kita tekankan UPSR. UPSR dianggap seperti peperiksaan SPM. Kita hanya melihat UPSR itu kepada meraikan
mereka yang berjaya peroleh 6A.

Jadi seluruh sistem kita, daripada guru hingga ke ibu bapa murid, setiap tahun 6A itulah yang diraikan. Ada yang menangis gembira dan juga sedih.. itulah yang kita lihat.

Didapati, di peringkat sekolah, kita hanya meraikan murid terbaik. Sekolah yang terbaik itu yang akan membuatkan peratus GPSnya meningkat. jadi, sudahlah  pendidikan dasar tidak diberikan perhatian, terabai pula dengan cara tersendiri.

Cara kita meraikan itu tidak betul. Dalam sistem pendidikan, kita kena memastikan bahawa setiap anak didik kita mencapai tahap minimum.

Jika kita melihat kepada slip peperiksaan UPSR, kita tak kata murid itu lulus atau gagal, tetapi yang disebut di bawah adalah 'Murid ini telah menguasai tahap minimum'.

Tahap minimum itu adalah paling tidak, murid mesti menguasai tahap D sekurang-kurangnya. Dalam erti kata lain, sepatutnya anak didik kita ini sejak tahun satu hingga enam, setiap subjek yang diambil itu telah mencapai tahap minimum.

Tetapi aspek ini terabai kerana bagi kita hanya 6A yang kita raikan. Kita  terlupa tanggungjawab moral seorang guru untuk memastikan setiap murid yang ambil subjek itu sudah mencapai tahap minimum selepas enam tahun.

Sebab itu saya minta kepada guru besar dan guru-guru di sekolah, satu perkara kita telah janjikan, setiap anak didik mesti  mencapai tahap minimum.

Justeru, kita perlu pastikan murid capai tahap minimum D penguasaannya dalam semua subjek. Dulu ia tidak diberikan perhatian, tapi sekarang itu yang harus menjadi fokus utama.

Statistik UPSR tahun 2017, sebanyak 440,000 murid ambil Matematik, lebih  90,000 murid tidak mencapai tahap minimum. Saya rasa benda itu tidak boleh sedangkan kita tahu Matematik adalah subjek penting di sekolah menengah.

Kita bincang mengenai Sains,  Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), teknologi dan sebagainya, tetapi kalau asas Matematik kita abaikan, ini menimbulkan masalah. Saya minta beri perhatian kepada setiap murid agar capai tahap minimum. Itu tanggungjawab moral seorang guru.

Tanggungjawab sekolah adalah untuk memastikan semua mencapai tahap minimum, tiada pengecualian. Daripada 6A, kita perlu lihat juga yang lain, ia menjadi KPI sekolah.

 

Sambungan wawancara Dr. Amin Senin minggu hadapan:

1. Langkah mengurangkan beban guru.
2. Isu guru pengiring.
3. Isu beban guru.

 

[ARTIKEL BERKAITAN: Wawancara Khas: Datuk Amin menjelaskan beberapa isu dan hala tuju pendidikan (Siri 1)]

 

 

 

ARTIKEL MENARIK:

MPN agih 40 kek ke seluruh sekolah di Gua Musang sempena sambutan hari guru (4 foto)

Tangisan bayi pada tengah malam buat Ustaz Malik cari pemilik sebenar, rupa-rupanya suara itu...

'Cikgu tak tahu, kami nak hargai jasa guru' - Tindakan ibu bapa ini buat guru terkejut (11 foto)