Situasi Pandemik Covid-19 dan musim cuti sekolah bukan bermakna terhentinya proses pembelajaran. Bagi anak-anak luar bandar Sekolah Kebangsaan Kg Baharu Jerantut mereka memanfaatkan masa dengan membantu ibu bapa menyediakan sudut Bacaan Nilam keluarga di rumah masing-masing.

Idea tersebut dicetuskan oleh Guru Perpustakaan dan Media SK Kg Baharu, Cikgu Norafizah Abdul Razak yang juga merupakan setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Menurut beliau program tersebut telah mendapat kerjasama penuh dari pihak Perpustakaan Daerah Jerantut melalui Perpustakaan Keluarga.

Projek itu merupakan usaha Pusat Sumber Sekolah dengan kerjasama PIBG dan Perpustakaan Awam Daerah Jerantut untuk merakyatkan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat kepada penduduk luar bandar,ibu bapa dan komuniti.

Ia memberi peluang kepada ibu bapa dan juga komuniti untuk  membantu .anak-anak meningkatkan data pembacaan NILAM, seterusnya menjadikan pembacaan sebagai budaya mereka.

Seramai enam orang murid telah terlibat dalam Sudut Bacaan NILAM, antaranya murid-murid Tahun 5 dan 6.

Menurut Cikgu Norafizah lagi, projek tersebut bermula pada bulan  April tahun lalu dan diteruskan sehingga musim cuti sekolah baru-baru ini.  

“Sudut bacaan telah banyak memberi peluang  kepada murid-murid lain  untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti.

“Buku-buku yang ditempatkan di rumah murid-murid adalah  melalui pinjaman berkelompok antara Pusat Sumber sekolah dengan Perpustakaan Awam Daerah Jerantut.

“Sebelum cuti sekolah yang lalu, murid-murid digalakkan membaca dan mencatat sumber bahan bacaan sama ada secara dalam talian atau luar talian,” katanya.

Tambah Cikgu Norafizah, bahan-bahan yang direkodkan sepanjang cuti sekolah akan dimasukkan ke dalam pengkalan data bagi tahun 2021.

Ini sebagai menghargai usaha murid-murid dalam pembacaan. Murid-murid dan ahli keluarga yang terlibat ini juga telah menerima pengiktirafan oleh Perpustakaan Daerah Jerantut melalui Program Keluarga.

Menurut Cikgu Norafizah lagi, pihak sekolah dan Perpustakaan Awam Jerantut telah mengadakan bengkel dan bimbingan kepada murid dan ibu bapa yang terlibat dalam program tersebut.

Ternyata program itu mendapat sambutan hebat daripada pihak ibu bapa dan komuniti apabila mereka bersama anak-anak menyediakan ruang bacaan dan belajar yang ceria, menarik dan kondusif.

Usaha sekolah itu diharapkan menjadikan contoh kepada sekolah-sekolah lain terutama sekolah di luar bandar agar sentiasa mencetuskan idea dan berdaya maju dalam memperkasakan budaya ilmu.

Ayuh wujudkan sudut Nilam anda sendiri di rumah, ini nasihat Cikgu Norafizah.

  1. Berbincang dengan pihak sekolah untuk mendapatkan khidmat bimbingan dan nasihat daripada guru perpustakaan dan media atau Guru Nilam di mana anak-anak anda bersekolah.
  2. Menjalin program jalinan dengan perpustakaan daerah bagi mendapatkan bantuan cara pengendalian dan susun atur sudut bacaan di rumah.
  3. Menyokong dan menyertai program-program pendidikan dan program Nilam yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
  4. Mendapatkan bahan-bahan bacaan melalui pembelian berkala dan secara percuma dalam talian.
  5. Menjadikan buku dan bahan pembelajaran sebagai pelaburan membina pembelajaran sepanjang hayat.