Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) sejak ditubuhkan pada tahun 2012 telah melahirkan lebih 36,000 modal insan Bumiputera dalam pelbagai bidang melalui 276 program pembiayaannya, terutamanya dalam jurusan profesional dan kemahiran.

Kejayaan tersebut dicapai melalui peruntukan kerajaan sebanyak RM822 juta yang digunakan untuk membiayai pembelajaran serta latihan kemahiran para penerima faedah tersebut semenjak agensi itu mula beroperasi sembilan tahun lepas.

Angka ini dijangka akan terus dipertingkatkan untuk memastikan modal insan Bumiputera terus diberi peluang untuk meningkatkan taraf pendidikan, kemahiran serta pentauliahan demi memastikan Malaysia diperkayakan dengan modal insan yang akan terus memacu negara ke arah negara berpendapatan tinggi.

Mengulas sempena ulang tahun ke-9 Yayasan Peneraju, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) yang bertanggungjawab dalam menyelia agensi tersebut berkata, Yayasan Peneraju adalah pemudah cara kepada dasar kerajaan dalam meningkatkan kualiti, kuantiti serta keberkesanan bakat-bakat Bumiputera.

Ia sejajar dengan usaha-usaha menaiktaraf Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan vokasional, profesional dan spesialis.

“Ketika Malaysia bergerak menuju status negara maju, semua agensi-agensi harus berusaha bersama untuk mempercepat pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan sebuah negara maju.

“Meningkatkan kualiti pendidikan ke tahap yang sama dengan yang ada di negara maju adalah kunci untuk mentransformasi negara dari ekonomi intensif buruh kepada ekonomi bernilai tinggi dengan status berpendapatan tinggi,” katanya.

Program-program yang ditawarkan oleh Yayasan Peneraju juga adalah seiring dengan matlamat agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang bertujuan merapatkan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas ekonomi, kumpulan etnik dan wilayah geografi.

“Dalam mencapai agenda WKB2030, kita perlu fokus untuk mewujudkan modal insan yang berketerampilan, berpengetahuan dan inovatif untuk memenuhi kehendak industri. Inisiatif ini seterusnya akan memberi mereka peluang kepada pekerjaan yang berkualiti dan ke arah membangunkan sebuah negara yang lebih inklusif dan sejahtera,” tambah beliau.

Antara pencapaian signifikan Yayasan Peneraju serata Malaysia dari tahun 2012 -2021:

•             3,056 lepasan UPSR/SPM B40 dibiayai di peringkat sekolah menengah dan universiti.

•             2,207 pelajar tingkatan 1 SBP dari golongan B40 diberi bantuan yuran persekolahan.

•             997 pelajar di 6 rumah perlindungan diberi bantuan tuisyen tambahan dan program pemupukan dan pembangunan.

•             11,845 belia keciciran dilatih untuk pensijilan TVET kemahiran tinggi dalam sektor berpendapatan tinggi.

•             3,332 graduan baru dan menganggur diberi latihan TVET reskilling dan upskilling dalam bidang berkepakaran tinggi.

•             3,030 tenaga kerja sedia ada diberi latihan TVET reskilling dan upskilling dalam sektor berpendapatan tinggi.

•             5,311 pelajar lepasan SPM sehingga Ijazah Sarjana Muda dibiayai utk program pensijilan perakaunan profesional.

•             1,241 pelajar lepasan SPM sehingga individu bekerja dilatih untuk pengiktirafan sijil profesional dalam bidang ICT dan MRO Aeroangkasa.

•             661 individu bekerja dan tidak bekerja dibiayai untuk program pensijilan kewangan profesional.

 

Penerima faedah Yayasan Peneraju juga berjaya di persada dunia apabila:

•             59 pelajar Peneraju Profesional, khususnya bidang Perakaunan berjaya memperolehi 80 anugerah antara kedudukan teratas dunia dalam bidang pensijilan perakaunan merangkumi ACCA, CAT, CPA Australia, ICAEW dan MICPA.

•             26 daripada pelajar-pelajar ini telah berjaya memperolehi sebanyak kedudukan pertama dunia menerusi 31 anugerah Certified Accounting Technician (CAT)/Association of Chartered Certified Accountant (ACCA) World Prize Winner.

•             9 penerima faedah bagi Chartered Financial Analyst berjaya menempatkan diri mereka dalam kelompok 10 peratus utama dunia dalam peperiksaan.

•             71 pelajar juga berjaya diterima masuk ke 50 universiti utama di dunia untuk mengikuti pelbagai jurusan di bawah Peneraju Tunas Potensi.

 

Terbaharu, salah seorang penerima faedah di bawah program Peneraju Profesional Akauntan Muda Kategori A (CAT – ACCA), adik Iffah Chek Peei berjaya memperoleh kedudukan kedua bagi Top Affiliate ACCA di Malaysia, selain merupakan penerima anugerah World Prize Winner bagi kertas Foundations in Taxation (Jun 2018) dan Malaysian Prize Winner bagi kertas Advanced Financial Management (Mac 2020).

Kesemua kejayaan para penerima faedah ini ibaratnya seperti ‘hadiah’ istimewa buat Yayasan Peneraju sempena ulang tahun ke-9 ini.

Di samping itu, bagi program Peneraju Skil Iltizam (program Zero to Hero) dan Peneraju Skil (bagi pekerja mahir) mencatatkan statistik membanggakan dengan melahirkan belia di bawah umur 20 tahun dan 30 tahun yang memperoleh pendapatan tertinggi mencecah RM9,000 dan RM24,000 sebulan.

Ramai yang kini menyumbang kemahiran mereka di dalam industri berkemahiran dan berpendapatan tinggi seperti Aeroangkasa, Elektrikal & Elektronik, Informasi & Komunikasi (ICT), Minyak & Gas, Pembuatan, Pelancongan dan Teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd Muzzammil Ismail berkata, bersempena sambutan ulang tahun ke-9, Yayasan Peneraju mengulangi komitmennya untuk terus melahirkan lebih ramai lagi bakat Bumiputera yang kompetitif dan bertaraf dunia khususnya bagi memenuhi keperluan Bidang Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA).

“Membangunkan bakat Bumiputera muda yang dilengkapi dengan pengetahuan dan keupayaan amat penting dalam usaha mengekalkan perniagaan dalam lanskap ekonomi global yang sangat kompetitif dan sentiasa berubah.

“Ketika negara bergerak menuju menjadi negara maju, ia memang menghadapi kekurangan bakat untuk memenuhi ekonomi berpendapatan tinggi, yang merupakan prasyarat bagi semua negara maju.

“Kami menjangkakan masa depan yang sangat mencabar, lebih-lebih lagi dengan pandemik yang sedang melanda pada ketika ini, namun, Yayasan Peneraju akan sentiasa berusaha melahirkan generasi dan bakat-bakat yang dapat menyumbang ke arah peningkatan sosio-ekonomi negara kita,” katanya.

Susulan pengenalan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB 2030) ketika Mesyuarat Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) tempoh hari, Muzzammil juga berharap agar Yayasan Peneraju akan terus mendapat sokongan dari semua pihak dalam memainkan peranan melahirkan modal insan yang berdaya saing serta memperkasakan pembangunan ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera.

 “Kami yakin prestasi cemerlang Yayasan Peneraju sepanjang tempoh sembilan tahun akan terus ditingkatkan demi membangunkan bakat bumiputera yang berkualiti dan mempunyai jati diri yang kukuh.

“Yayasan Peneraju akan terus menjadi sebuah agensi harapan dalam mendukung inisiatif kerajaan seperti WKB2030 dan TPB2030, khusus dalam menambah baik sosioekonomi golongan Bumiputera,” tambah Muzzammil.

Untuk tahun 2021 ini, Yayasan Peneraju dijangka akan memberi peluang kepada lebih 9,000 penerima faedah dan tumpuan akan diberikan kepada bidang profesional, teknologi dan kemahiran tinggi bagi menyokong keperluan negara untuk merealisasi WKB2030.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, Yayasan Peneraju mengalu-alukan orang ramai untuk memberi pandangan melalui inisiatif 'Idea Box' maya yang boleh diakses di laman media sosial Yayasan Peneraju dalam masa terdekat ini.