Mencari dana bagi sesebuah sekolah, bukanlah perkara mudah bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pelbagai cara dan strategi harus difikirkan oleh PIBG sekiranya mahu mendapatkan dana bagi membantu membaik pulih atau menaik taraf kemudahan sedia ada di sekolah, pembangunan akademik dan kokurikulum sekolah serta sebagainya.

Namun begitu, masih ada sekolah di negara ini yang mampu mendapatkan dana ratusan ribu dalam masa setahun dengan cara mereka sendiri.

Yang hebatnya, daripada jumlah ratusan ribu tersebut, masih ada baki yang dibawa ke tahun seterusnya. Bagusnya perancangan PIBG berkenaan.

Ikuti perkongsian beberapa PIBG mengenai cara mereka mencari dana kepada GPS Bestari.

 

***

 

PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Impian Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), Kajang berjaya mengumpul dana sebanyak RM 333,058.99 pada tahun lalu.

Menurut Yang Dipertua (YDP) PIBG, Salahudin Amir Hassan, daripada jumlah tersebut, perbelanjaan sebanyak RM281,691.19 telah dikeluarkan daripada akaun PIBG untuk membiayai program sekolah dan PIBG.

“Peruntukan paling besar untuk Aktiviti Tahun 6 sebanyak RM 106,759.85. Ini sejajar dengan sumbangan ibu bapa Tahun 6 sebanyak RM 89,230.50 melalui Program Sehati Sejiwa untuk peningkatan akademik murid.

“Sumbangan kedua terbesar adalah untuk pembangunan murid dan sekolah sebanyak RM88,589.80 yang meliputi Unit Kokurikulum, Unit HEM, Unit Kurikulum dan lain-lain.

“Antaranya, kejohanan Merentas Desa, program Gala Kokurikulum Peringkat Kebangsaan, Majlis Apresiasi Kokurikulum dan Sukan, Hari Guru, Sambutan Hari Kanak-kanak, Modul Bitara UPSR, Program Dual Language, Linus, International ASEAN Conference, program Pembimbing Rakan Sebaya, pertandingan Jaringan Antarabangsa: Padang, Bukit Tinggi Indonesia dan banyak lagi,” jelasnya.

Baki sebanyak RM51,367.80 daripada RM333,058.99 itu, telah dibawa ke tahun ini untuk digunakan pada perancangan seterusnya.

Sepanjang menerajui PIBG sekolah itu, kata Salahudin, itulah dana paling tinggi berjaya dikutip.

“Sangat terkejut dan tak sangka dapat kutip sebanyak itu.

“Mungkin ini hasil usaha keras yang dilakukan dan saya yakin, PIBG sekolah lain juga mampu menjana pendapatan tetap sendiri sekiranya mempunyai kesungguhan serta visi yang jelas dan tidak lagi terlalu bergantung kepada sumber sumbangan tahunan ahli,” ujarnya.

Terdahulu, pada 2016-2017, kutipan dana sebanyak RM 187,769.02 berjaya dipungut dan perbelanjaan yang dibuat sekitar RM152,292.65.

"Bagi 2017-2018 pula, RM272,083.29 dana PIBG berjaya dikumpulkan," katanya.

Salahudin turut memuji budaya kerjasama dan pemahaman ibu bapa yang membuatkan tugasnya menjadi mudah sepanjang bergelar YDP PIBG, bermula 2016 hingga kini.

Menurutnya, segala kutipan dana tersebut, bukanlah bergantung sepenuhnya kepada sumbangan daripada ibu bapa.

 

Empat punca pendapatan

Ternyata PIBG sekolah itu, ada cara dan strategi mereka masing-masing.

“Pada masa ini, PIBG SK Saujana Impian SBT mempunyai empat punca pendapatan tetap iaitu Sewaan Lokar Kelas, Sewaan Dewan Terbuka, Tuisyen KSIB Tahun 5 dan Komisen Tabung SSPN.

“Tahun lalu, empat punca pendapatan tetap ini telah menghasilkan pendapatan tambahan sebanyak RM94,548 kepada tabung PIBG," katanya.

Kata beliau, hasil kerjasama dan keyakinan daripada ibu bapa dan pihak luar, sebanyak RM 148,135.70 lagi telah berjaya dikumpulkan ke dalam akaun PIBG.

“Penyata Kewangan Tahunan 2018 PIBG SK Saujana Impian SBT yang diaudit melaporkan Hasil Sumbangan PIBG berjumlah RM37,200 dan Pendapatan Keseluruhan sebanyak RM333,058.99 (lebih kurang 9x ganda Sumbangan PIBG),” ujar beliau.

Mengenai Sewaan Lokar Kelas, Salahudin berkata, khidmat sewaan itu bertujuan bagi meringankan beban beg sekolah anak-anak semenjak 2012 lagi.

“Sewaan adalah sebanyak RM60 setahun dan ini adalah salah satu punca pendapatan utama PIBG sekolah ini,” jelasnya.

 

Hubungan luar

Walaupun sudah berjaya membuat kutipan ratusan ribu, namun PIBG sekolah ini masih tetap berusaha untuk menambah dana.

“Kami masih lagi berusaha untuk meningkatkan penglibatan syarikat luar, NGO dan pihak berkaitan bagi membantu menambah pendapatan untuk tahun ini.

“Seperti tahun lalu, PIBG menerima pelbagai dana daripada pihak luar, antaranya Muslimat Surau Saujana Impian telah memberi sumbangan sebanyak RM1,300, NGO Saujana Prihatin RM1,000, Pusat Zakat RM1,000 dan RM3,000 disumbangkan Pusat Khidmat Rakyat Dun Kajang kepada PIBG,” katanya.

Seterusnya, Pusat Khidmat Rakyat Dun Kajang turut memberi sumbangan sebanyak RM20,000 tetapi tidak direkodkan ke dalam Akaun PIBG kerana dibayar terus kepada kontraktor mengecat sekolah.

Selain itu, setiap tahun pihak Impian Golf Club memberi sumbangan jentera dan pekerja untuk Program Gotong-royong Perdana SK Saujana Impian.

Tambahnya, keyakinan dan sokongan guru besar Khatijah Yusof telah memberi impak yang amat besar kepada usaha menjana pendapatan PIBG.

Malah, penglibatan ahli lain juga adalah memuaskan.  

Sementara itu, PIBG SK Saujana Impian SBT mempunyai beberapa perancangan untuk tahun ini.

“Kami berhasrat untuk memulakan projek cadangan Pembinaan Surau dan Bilik Kuliah SK Saujana Impian SBT yang dianggarkan bernilai RM400,000.

“Dana permulaan sebanyak RM150,000 telah dijanjikan oleh seorang usahawan Datuk Sr Rosli Atan yang juga merupakan salah seorang ibu bapa sekolah ini,” ujarnya.

Salahudin berharap, kerjasama yang baik antara pihak sekolah dan ibu bapa dapat dikekalkan dan terus menjadi tradisi SK Saujana Impian.

“Saya turut mendoakan kejayaan dunia dan akhirat buat semua anak murid sekolah ini,” katanya.

 

INFO

Jawatankuasa PIBG SK Saujana Impian SBT

Penasihat     : Khatijah Yusof

YDP PIBG    : Salahudin Amir Hassan

NYDP PIBG : Mohd Soffian Mohd Yusof

Setiausaha  : Nik Iruansafawi Nik Chik

Bendahari   : Nazuha Mohd Aris

AJK PIBG   : Mohamad Irwan Mohamed

                     : Jesvinder Singh

                     : Abu Hassan Abu Bakar

                     : Mohd Omar Mokhrij Johari

                     : Affendy Jamaludin

                     : Mohd Hairris Azwar Johari

AJK Guru    : Nor Shasha Zura Mad Lajis

                     : Abdul Muhaimin Mat Rasid

                     : Mohd Khairil Akmal Masduki

                     : Siti Aishah Ismail

                     : Ernie Aida Hadi Darsono

Juruaudit     : Khairul Hisham Kamal

                     : Yuthamery Raman

 

Biro-Biro PIBG

1) Akademik

2) Infrastruktur & Keceriaan

3) Sukan & Kelab Sukan

4) Pakaian Seragam

5) Kesenian & Sambutan Majlis

6) Keselamatan & Disiplin

 

Pencapaian besar PIBG

- Pembinaan Dewan Terbuka pada 2012 bernilai RM250,000

- Menaik taraf dewan menjadi separuh terbuka dari tahun 2013–2016 dengan anggaran kos sebanyak RM230,000

- Projek Kipas & Pencahayaan Kelas

- Baik Pulih Elektrik Dewan

- Kipas kantin

- Tuisyen KISB (tahun 5)

- Laluan Berbumbung ke Kantin RM10,000

- Penambahan Kipas Kelas RM10,000

- Ruang Water Coaler & Penyelenggaraan RM6,000

- Gajah Menyusur ke luar sekolah dan lain-lain RM26,000

 

 Gotong-royong yang turut disertai pengusaha van sekolah untuk membuat petak parkir.

 

Sumbangan PIBG SKSI 2019 kepada sekolah berupa LCD Projektor yang baharu untuk makmal sains.

 

Sumbangan PIBG kepada sekolah seperti meja bankuet 20 buah, kerusi plastik, papan putih kelas dan bingkai poster akrilik.

 

Pembinaan struktur gajah menyusur.