Umat Islam telah memasuki fasa 10 hari atau 10 malam terakhir Ramadan. Umat Islam khususnya para guru dan pelajar digalakkan untuk berusaha untuk beribadah agar mereka memperolehi fadilat Lailatulqadar.

Sabda Nabi SAW lagi: “Carilah Lailatulqadar di sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadan.” (Hadis Sahih riwayat al-Bukhari). Dalam hadis lafaz yang lain, sabda Nabi SAW bermaksud: “Carilah Lailatulqadar di malam ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan.” (Hadis Sahih riwayat al-Bukhari)

Antara kelebihan beribadah pada malam 10 terakhir Ramadan ialah mencapai fadilat Lailatulqadar. Antara kelebihannya ialah seperti sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang beribadah pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan kepada Allah dan mengharapkan pahala (hanya dariNya) maka akan diampuni dosa-dosa yang telah dikerjakannya”. (Hadis Sahih riwayat al-Bukhari).

Definisi dan Sejarah Ringkas Lailatul Qadar

Perkataan Lailatulqadar terdiri daripada dua kalimah iaitu Lailah yang bermaksud malam yang waktunya bermula apabila matahari tenggelam sehingga terbitnya fajar. Manakala al-Qadar bermaksud sangat mulia, sangat agung, hukum dan ketetapan.

Lailatulqadar adalah satu malam yang juga telah disebut kelebihannya dalam al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatulqadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar itu? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1 - 5).

Terdapat kisah di sebalik wahyu Allah ini. Diriwayatkan bahawa pada zaman Bani Israel terdapat seorang lelaki yang beribadat pada malam hari dan berjuang memerangi musuh pada siang harinya. Ia lakukannya selama seribu bulan. Maka, Allah menurunkan ayat surah al-Qadr yang menjelaskan bahawa satu malam Lailatulqadar adalah lebih baik daripada 1,000 bulan Bani Israel tersebut. Ini adalah peluang keemasan kepada umat Islam akhir zaman ini untuk beribadah agar dapat menyamai atau melebihi ibadah umat terdahulu yang berumur panjang.

Antara usaha untuk mencapai Lailatulqadar

Para ulama telah menggariskan beberapa saranan berdasarkan kefahaman mereka terhadap al-Quran dan hadis serta amalan salaf soleh. Ini antara amalan yang boleh diamalkan pada 10 malam terakhir terutamanya pada malam ganjil:

1) Betulkan niat dan berdoa agar dipertemukan Lailatulqadar.

Firman Allah SWT: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya” (Surah sl-Bayyinah: 5). Kadang-kadang agak mencabar untuk membetulkan niat sebagaimana salah seorang ulama salaf soleh iaitu Sufyan al-Thauri Rahimahullah pernah berkata: “Tidaklah pernah aku merawat sesuatu yang paling sukar melainkan niatku (untuk ikhlas kepada Allah)”.

2) Berdoa, beristighfar, berselawat dan berzikir.

Saidatina Aisyah berkata: Aku bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apa pendapatmu jika aku mengetahui bahawa pada suatu malam itu ia adalah Lailatulqadar, apa yang perlu aku ucapkan? Beliau menjawab: Ucapkanlah, Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni (yang bermaksud: Wahai Tuhanku Engkaulah Tuhan Yang Maha Pemaaf yang menyukai kemaafan maka maafkanlah daku). (Hadis Hasan Sahih riwayat al-Tirmizi)

3) Solat fardu Isyak dan Subuh secara berjemaah.

Menurut al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitab Lataif al-Maarif, seseorang itu dikira telah menghidupkan malam Lailatul Qadar apabila ia mendirikan solat Isyak secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah juga. Kibar Tabiin, Imam Ibn al-Musayyib berkata bahawa seseorang itu boleh memperolehi kelebihan Lailatul Qadar apabila ia bersolat berjemaah pada malam tersebut. Ia mungkin selari dengan hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa melaksanakan solat isyak berjemaah maka ia mendapatkan pahala solat separuh malam, dan barangsiapa melaksanakan solat isyak dan subuh dengan berjemaah maka ia mendapatkan pahala solat sepanjang malam.” (Hadis Sahih riwayat Imam al-Tirmizi)

4) Solat Tarawih.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melakukan solat [seperti terawih dan witir] bersama imam sampai selesai, nescaya dicatat baginya pahala bagaikan solat sepanjang malam.” (Hadis Hasan Sahih riwayat al-Tirmizi)

5) Qiamullail.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis bermaksud: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (tidak berjimak)” (Hadis riwayat Imam Muslim).

6) Bersedekah.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis bermaksud: “Adalah Nabi SAW seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril AS bertemu dengannya.” (Riwayat Imam al-Bukhari)

7) Membaca al-Quran.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis bermaksud: “Adalah Jibril AS bertemu dengan Nabi SAW pada setiap malam pada bulan Ramadan untuk mengulangkaji Al-Quran”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

8) Beriktikaf (berada di masjid dengan niat iktikaf, untuk beribadah).

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis bermaksud: “Adalah baginda SAW beriktikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadan” (Riwayat Imam al-Bukhari). Menurut Imam al-Nawawi, beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan adalan sunat muakkad (sunat yang dituntut), antaranya bertujuan untuk cari Lailatulqadar.

9) Hindari perkara tidak berfaedah dan dosa seperti kelalaian dan mencari keaiban.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis bermaksud: “Telah datang kepada kalian satu bulan yang telah disumpah oleh Rasulullah SAW. Orang Mukmin yang bertemu bulan itu adalah bulan terbaik untuk mereka sedangkan bagi orang Munafik pula itu adalah bulan yang buruk bagi mereka. Sesungguhnya Allah telah menulis pahala dan amal sunat bagi orang mukmin sebelum mereka memasuki bulan Ramadan lagi dan Allah menulis dosa dan kecelakaan sebelum (orang munafik) bertemu Ramadan. Ini kerana orang Mukmin mempersiapkan kekuatan nafkah untuk beribadah sedangkan orang munafik melihat perbuatan-perbuatan orang Mukmin lain yang melalaikan dan mencari-cari keaiban mereka. Itulah bulan yang menguntungkan orang beriman dan menjadi celaka bagi orang yang zalim. (Hadis riwayat Imam al-Baihaqi, berstatus sahih menurut Sheikh Ahmad Shakir)

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel menarik

Jual pes oden segera, usahawan pelajar UMK sasar jualan RM1 juta

Pemansuhan UPSR! Bagaimana murid-murid dinilai? Ini pandangan Cikgu Muhammad Rauf