Selepas hampir empat bulan sekolah ditutup akibat pandemik koronavirus (Covid-19), kini pelajar akan kembali semula ke sekolah bermula 15 Julai ini.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pembukaan sekolah akan dilakukan secara berperingkat.

“Bagi sekolah menengah, pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 serta pelajar kelas peralihan akan kembali ke sekolah pada hari Rabu, 15 Julai ini.

“Pelajar yang ditawarkan ke Tingkatan 6 Semester 1 tahun ini akan mendaftar diri pada 15 Julai ini.

“Keputusan penawaran kemasukan calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 ke Tingkatan 6 Semester Satu boleh disemak mulai hari ini (semalam) melalui portal Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya pada sidang media khas di sini semalam.

Beliau berkata, murid Tahun 5 dan Tahun 6 sekolah rendah juga akan kembali ke sekolah pada tarikh yang sama.

“Tarikh pembukaan semula sekolah bagi murid Tahun 1 hingga Tahun 4 adalah pada Rabu, 22 Julai ini,” katanya.

Menurutnya, tarikh pembukaan semula sekolah itu terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

“Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, mereka disaran mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah ini,” katanya.

Mohd Radzi berkata, berdasarkan analisis dan perincian yang dilaksanakan, KPM mengenal pasti tiga model pengoperasian pembukaan penuh sekolah yang perlu dijadikan panduan oleh pentadbir sekolah mengikut kesesuaian dan situasi di sekolah masing-masing.

“Pertama ialah Model Satu Sesi. Model itu adalah untuk sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi setelah mengambil kira penjarakkan sosial,” katanya.

Jelasnya, Model Dua Sesi adalah untuk sekolah sedia ada yang telah beroperasi secara dua sesi atau sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tiada ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakkan sosial.   

“Ketiga ialah Model Penggiliran untuk sekolah yang tiada ruang bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan Model Dua Sesi.

“Kebanyakan sekolah dalam kategori itu adalah sekolah dalam kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, bagi Model Penggiliran untuk sekolah menengah, pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 perlu hadir ke sekolah pada setiap hari, manakala kehadiran pelajar Tingkatan 1 hingga 4 secara bergilir-gilir mengikut kelas atau aliran tertentu.

“Pihak sekolah hendaklah menentukan bentuk penggiliran yang sesuai berdasarkan keperluan murid. Contohnya, jika sekolah mempunyai ruang yang mencukupi, pelajar Tingkatan 4 akan turut hadir setiap hari.

“Keutamaan diberi kepada pelajar yang membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan SPM pada tahun hadapan,” katanya.

Kata beliau lagi, murid Tahun 1 hingga 6 sekolah rendah boleh hadir secara bergilir mengikut kelas atau tahap. “Pihak sekolah yang akan menentukan bentuk penggiliran bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata, Model Penggiliran yang digunakan berdasarkan kaedah pembelajaran murid secara hybrid iaitu bersemuka di sekolah semasa hari persekolahan dan Home-Based Learning di rumah untuk hari-hari yang mereka tidak dijadualkan berada di sekolah.“Maklumat senarai sekolah mengikut model yang telah ditetapkan akan dimaklumkan oleh KPM selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka semula sepenuhnya,” kata beliau.

Ubah takwim

Menyentuh mengenai takwim persekolahan, Mohd Radzi berkata, ia akan dimuktamadkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021.

“Bak kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa. Selama ini takwim persekolahan pada setiap tahun hampir sama coraknya. Namun tahun ini, keadaannya cukup berbeza,” jelasnya.

Menurutnya, memandangkan peperiksaan SPM 2020 dijadualkan bermula pada minggu pertama Januari 2021, KPM telah mengambil kira keperluan untuk mengatur semula pelbagai aspek logistik bagi tujuan peperiksaan tersebut.

“Ini termasuklah memperincikan tarikh permulaan sesi persekolahan tahun 2021 bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun hadapan berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata, dalam membuat keputusan yang kompleks sebegitu, KPM perlu merancang dengan teliti.

“Kami mesti melihat secara menyeluruh dalam jangka masa sederhana dan jangka masa panjang,” katanya.