PUTRAJAYA - SESI pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dijalankan secara dalam talian sejak penutupan sekolah akibat pandemik koronavirus (Covid-19) didapati kurang berkesan berbanding belajar secara bersemuka dengan guru di sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin berkata, terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian.

“Ramai dalam kalangan murid gagal mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana akses teknologi komunikasi yang terhad,” katanya pada sidang akhbar khas di sini semalam.

Menurutnya, murid akan menghadapi kesukaran untuk mencapai tahap penguasaan minimum dalam setiap subjek yang diikuti sekiranya situasi itu berterusan.

“Ia akan memberi kesan kepada minat dan motivasi murid untuk terus mengikuti pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata, hubungan murid dengan sekolah juga akan terkesan kerana mereka terasing daripada suasana persekolahan untuk satu tempoh yang panjang.

“Kami yakin murid, ibu bapa dan guru menyedari betapa perlunya sekolah dibuka semula bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat,” katanya.

Ditanya mengenai prosedur sekiranya berlaku jangkitan Covid-19 di sekolah, Dr Mohd Radzi berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi langkah-langkah yang wajar diambil.

“KKM akan berikan langkah-langkah yang perlu untuk pihak sekolah laksanakan dan akan mematuhi sepenuhnya jika berlaku apa sahaja berkaitan hal tersebut,” katanya.            
 

Artikel menarik:

KPM guna pakai tiga model pengoperasian pembukaan penuh sekolah seluruh negara

Murid prasekolah dah kembali. Bakal lalui suasana baharu dengan SOP disediakan

15 dan 22 Julai tarikh pembukaan semula sekolah. Pelajar mohon siap sedia

SOP di prasekolah...ibu bapa, guru perlu gading bahu kerana ia bukan tugas mudah

100 murid prasekolah SK Sg Binjai teruja mulakan persekolahan