TARIKH pembukaan semula sekolah bagi Murid Kelas Peperiksaan adalah pada hari Rabu, 24 Jun ini.

Demikian kata Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin pada sidang media mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) Sekolah, hari ini.

Beliau berkata, pembukaan sekolah secara berperingkat akan bermula dengan pelajar kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Menurutnya, pelajar dapat hadir ke sekolah dan mengikuti pembelajaran dalam keadaan yang selamat.

"Harap ibu bapa dan penjaga dapat memastikan anak-anak yang sihat sahaja di hantar ke sekolah. Sekiranya anak-anak tidak sihat dan bergejala seperti batuk, demam dan selesema, sesak nafas...jangan hantar ke sekolah dan bawalah anak buat pemeriksaan.

"Pastikan hanya anak-anak yang sihat sahaja datang ke sekolah," ujarnya dengan menyarankan ibu bapa agar menyediakan bekalan makanan kepada anak-anak.

Jelasnya, cuti sekolah pada bulan Disember akan diteliti semula dan mungkin berubah.

"Perkara ini akan diumum dalam masa terdekat," katanya.