Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) akan membantu waris guru yang maut selepas terjatuh daripada bangunan sekolah Kebangsaan Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan baru-baru ini.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock berkata Allahyarham Rosli Abdul Aziz merupakan ahli NUTP yang menyertai skim Diamond Accident Protector NUTP, yang memberi manfaat RM113,000 kepada keluarganya.

Menurutnya, NUTP juga akan menghulur bantuan melalui dana tabung kebajikan dan khairat kematian.

"Pengorbanan Allahyarham adalah kemuncak (pengorbanan) seorang pendidik terhadap anak didiknya. Allahyarham hanya memikirkan yang terbaik untuk keselamatan dan keselesaan anak didik sehingga tergadai nyawanya.

"Ini adalah suatu perkara yang amat murni dan perlu disanjungi semua pihak. NUTP amat terharu dengan pengorbanan Allahyarham,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Tan menasihatkan semua guru supaya sentiasa berhati-hati dalam menjalankan tugas, dan mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta arahan Kementerian Pendidikan.

Rosli, 54, maut selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan sekolah kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam ketika sedang memeriksa sistem paip dan sinki sebagai persiapan untuk menerima kemasukan pelajar sempena pembukaan semula sekolah hari ini.

Kejadian berlaku apabila allahyarham yang sedang memijak kerusi plastik tiba-tiba tergelincir lalu terjatuh daripada balkoni dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala kerana terkena bucu longkang.- BERNAMA