KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan bahawa pembukaan semula sekolah bagi murid bukan kelas peperiksaan awam adalah secara berperingkat mulai 15 Julai 2020.

KPM sentiasa berusaha untuk memastikan semua pelajar dapat mengikuti pembelajaran secara bersemuka.

Dalam konteks sekolah berasrama, beberapa penambahbaikan telah dibuat ke atas tatacara pengurusan asrama berdasarkan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Penambahbaikan ini telah dimasukkan sebagai tambahan kepada Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah dan telah diluluskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bilangan 60 Tahun 2020 pada 9 Julai 2020.

Mengambil kira kelulusan tersebut, KPM memutuskan hanya pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Enam Semester Satu tahun 2020 di sekolah berasrama di bawah KPM akan kembali bersekolah pada 15 Julai 2020.

Keutamaan diberi kepada kumpulan pelajar ini adalah bagi memastikan mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk persediaan menduduki peperiksaan awam pada tahun 2021.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Satu, Tingkatan Dua dan Tingkatan Tiga di sekolah berasrama akan memulakan persekolahan pada 3 Ogos 2020.

Pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga akan meneruskan pembelajaran yang berasaskan home-based learning sehingga mereka kembali semula ke sekolah pada 3 Ogos 2020.

Keputusan ini terpakai kepada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Seni Malaysia (SSeM).

KPM mengambil maklum akan pertanyaan ibu bapa berhubung kebenaran untuk pelajar pulang ke rumah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Dengan penambahbaikan kepada prosedur operasi standard sedia ada, KPM tiada halangan membenarkan pelajar pulang ke rumah untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga.

KPM sentiasa mengambil kira pandangan dan saranan KKM dalam memastikan semua pelajar sekolah berasrama dapat mengikuti pembelajaran di sekolah dalam keadaan yang selamat.

KPM memohon supaya ibu bapa, guru dan pelajar dapat memberi kerjasama bagi memastikan pembukaan semula sekolah, khususnya sekolah berasrama, berjalan dengan lancar.

Artikel menarik:

"Pembukaan semula sekolah mulai 15 Julai undang kebimbangan ibu bapa?" - Dr Rafidah kongsi pandangan

Covid-19 boleh disebar melalui bawaan udara

Covid-19 boleh bertahan pada kulit selama empat hari

Wabak masih belum berakhir