PUTRAJAYA - Pembukaan semula sekolah berasrama dilaksanakan mengikut kapasiti asrama sekolah masing-masing.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, asrama yang mempunyai kapasiti mencukupi dengan mengambil kira penjarakan sosial akan beroperasi seperti biasa.

“Bagi asrama yang mempunyai kapasiti ruang terhad, ia perlu mengambil kira penjarakkan sosial.

“Pada peringkat awal hanya sebahagian pelajar dapat tinggal di asrama,” katanya pada sidang akhbar khas di sini semalam.

Menurutnya, antara kekangan utama yang dihadapi sekolah berasrama adalah penggunaan katil dua tingkat.

“Kami telah meneliti perkara itu bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disaran pada peringkat awal kemasukan, pelajar hanya menggunakan katil bawah,” katanya.

Beliau berkata, selepas tempoh 14 hari, kumpulan pelajar baharu dibenarkan masuk ke asrama dengan menempatkan pelajar sedia ada di katil atas, manakala pelajar baharu di katil bawah.

“Prosedur ini diteruskan sehingga semua pelajar dapat tinggal di asrama,” katanya.

Dr Mohd Radzi berkata, secara umumnya bagi asrama yang menggunakan katil dua tingkat, kesemua pelajar dijangka dapat kembali ke asrama dalam tempoh 28 hingga 42 hari dari tarikh 24 Jun lalu.

“Tempoh untuk kembali ke asrama bergantung kepada bilangan pelajar dan akan ditetapkan oleh pihak sekolah,” katanya.   

Artikel menarik:

Murid prasekolah dah kembali. Bakal lalui suasana baharu dengan SOP disediakan

15 dan 22 Julai tarikh pembukaan semula sekolah. Pelajar mohon siap sedia

SOP di prasekolah...ibu bapa, guru perlu gading bahu kerana ia bukan tugas mudah

100 murid prasekolah SK Sg Binjai teruja mulakan persekolahan