Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) tahun 2020 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Mathematik akan bermula pada 17 hingga 19 Ogos 2020 ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya hari ini berkata, seramai 6,301 orang calon telah mendaftar untuk menduduki SPMU yang akan dijalankan di 193 pusat peperiksaan di seluruh negara.

KPM juga telah melantik seramai 1,445 petugas peperiksaan untuk mengendalikan peperiksaan SPMU tahun 2020.

“Semua calon hendaklah merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan SPMU untuk mendapatkan maklumat mengenai butiran peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

“Jadual Waktu Peperiksaan SPMU boleh dimuat turun menerusi portal Lembaga Peperiksaan di alamat http://lp.moe.gov.my/.,”kata KPM.

Menurut KPM, calon SPMU perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam. Garis panduan tersebut boleh dimuat turun menerusi portal KPM di alamat https://www.moe.gov.my/ dan hendaklah dibaca bersama-sama dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan berkaitan COVID-19.

Katanya lagi, calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar.