KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah memaklumkan sekolah dibuka semula pada 24 Jun 2020 (Rabu) melibatkan pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang akan menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Sehubungan dengan itu, KPM telah membuat pindaan Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 untuk membantu pihak sekolah membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran murid.

Pindaan melibatkan Cuti Pertengahan Penggal 2 yang telah dikurangkan daripada sembilan (9) hari kepada lima (5) hari bagi sekolah-sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya).

Selain itu, Cuti Akhir Tahun bagi sekolah-sekolah dalam Kumpulan A telah dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari manakala sekolah-sekolah dalam Kumpulan B telah dikurangkan daripada 41 hari kepada 13 hari.

Sumber: https://www.moe.gov.my/takwim