Malaysia mencatat kejayaan dalam kajian perbandingan antarabangsa Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2019 kerana buat julung kalinya murid memperoleh skor melebihi 700, iaitu Aras Tertinggi dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.

Skala pencapaian TIMSS 2019 bagi Matematik dan Sains ditetapkan kepada empat aras penandaarasan antarabangsa iaitu Aras Tertinggi (skor 625); Aras Tinggi (skor 550); Aras Sederhana (skor 475); dan Aras Rendah (skor 400).

Bagi TIMSS 2019, selain secara paperTIMSS, pengendali kajian iaitu International Association for the Evaluation of Education Achievement (IEA) turut memperkenalkan pentaksiran berasaskan komputer iaitu eTIMSS.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini, seramai 25 murid paperTIMSS dan 65 murid eTIMSS memperoleh skor melebihi 700 bagi mata pelajaran Matematik dengan skor individu tertinggi bagi paperTIMSS ialah 799 manakala bagi eTIMSS 764.

"Dari segi peratusan, murid memperoleh Aras Tertinggi dalam paperTIMSS mata pelajaran Matematik ialah 6 peratus dan eTIMSS ialah 4 peratus, iaitu peningkatan sebanyak 3 peratus bagi paperTIMSS serta 1 peratus bagi eTIMSS berbanding TIMSS 2015,” menurut kenyataan itu.

Bagi mata pelajaran Sains pula, buat julung kalinya seramai 13 murid paperTIMSS dan 23 murid eTIMSS memperoleh skor melebihi 700 dengan pencapaian individu tertinggi bagi paperTIMSS ialah 778 manakala bagi eTIMSS ialah 747.

"Pencapaian ini adalah skor individu tertinggi murid dalam mata pelajaran Sains sejak penyertaan Malaysia dalam TIMSS bermula 1999,” menurut kenyataan itu.

Dari segi peratusan, KPM memaklumkan bahawa murid yang memperoleh Aras Tertinggi dalam paperTIMSS ialah 4 peratus dan bagi eTIMSS ialah 3 peratus, iaitu peningkatan sebanyak 1 peratus bagi paperTIMSS berbanding 2015 serta bagi eTIMSS adalah setara seperti TIMSS 2015.

TIMSS adalah satu kajian penandaarasan antarabangsa bagi menilai pencapaian murid Tingkatan Dua dalam mata pelajaran Matematik dan Sains di samping menganalisis dapatan soal selidik murid, sekolah, guru Sains dan guru Matematik.

Pentadbiran kajian berkenaan telah dilaksanakan pada 16 Okt hingga 1 Nov 2018 membabitkan 9,637 murid terdiri daripada 1,560 murid terlibat bagi paperTIMSS dan 8,077 bagi eTIMSS.

Sementara itu, KPM memaklumkan bahawa dapatan daripada TIMSS 2019 akan dijadikan panduan bagi merangka strategi untuk menambahbaik pelbagai program dan inisiatif KPM dengan mengambil kira pencapaian murid pada pelbagai aras, serta kaedah dan teknik penyampaian guru dalam bilik darjah. - BERNAMA