KUALA LUMPUR - Sebanyak 2,459 buah sekolah ditutup hari ini melibatkan seramai 1.7 juta pelajar di tujuh buah negeri.

Kementerian Pendidikan Malaysia dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan keputusan menutup sekolah-sekolah terbabit disebabkan oleh bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) jerebu yang dikategorikan sangat tidak sihat melebihi 201 di negeri terbabit.

Selangor menjadi antara negeri paling teruk terjejas apabila semua 939 sekolah ditutup melibatkan 911,874 orang pelajar diikuti Pulau Pinang 399 sekolah
menjejaskan 243,972 pelajar dan Sarawak 373 sekolah melibatkan 157,466 pelajar.

Antara negeri lain yang turut terjejas ialah Kedah 124 sekolah  (58,241 pelajar), Perak 250 sekolah  (63,782 pelajar), Negeri Sembilan 53 sekolah (28,073 pelajar), Putrajaya 25 sekolah (27,531 pelajar) dan Kuala Lumpur 296 (217,657).

Sementara itu di PUTRAJAYA semalam, Menteri Pendidikan,  Dr Maszlee Malik memaklumkan semua sekolah dan tadika di Selangor, Pulau Pinang,  Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup selama dua hari bermula hari ini.

Beliau berkata, penutupan  sekolah dan tadika di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya  dibuat ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin tinggi dan berbahaya, manakala di Selangor pula penutupan sekolah dibuat Jawatankuasa  Bantuan dan Bencana Selangor.

“Bagi guru-guru yang terlibat  dengan penutupan sekolah, mereka diberi pilihan untuk bekerja  dari rumah atau hadir ke sekolah,” katanya pada sidang  media di sini semalam.

Maszlee berkata, semua pengumuman dan penutupan sekolah akan dilakukan setiap  hari selewat-lewatnya jam 6 petang. 

“Guru besar juga diberi kebenaran untuk mengumumkan penutupan sekolah sekiranya mereka berpandangan keadaan jerebu semakin teruk berdasarkan trend bacaan IPU pada hari berkenaan dan keputusan tersebut hendaklah dimaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing.

“Bagi sekolah diumumkan tutup setelah murid-murid berada  di sekolah, murid-murid dibenarkan berada di sekolah dan proses Pengajaran dan  Pembelajaran (PdP) akan berjalan seperti biasa sehingga habis waktu persekolahan bagi sesi tersebut kecuali ada permintaan waris untuk membawa anak mereka pulang.

“Semua sekolah yang terlibat dengan penutupan juga tidak perlu  diganti kerana dikategorikan sebagai cuti bencana,” katanya. 

Maszlee berkata, keputusan penutupan mana-mana institut pengajian tinggi adalah terletak kepada keputusan pengurusan universiti masing-masing. - Bernama

Baca:

Murid tak datang duduk UPSR, cikgu ini nekad cari di rumah dan apa yang terjadi mengejutkan ramai

Projek baik pulih sekolah daif di Sarawak bermula sejak 5 Ogos

Sekolah di lapan daerah di Sarawak ditutup

Sarawak tunggu dana Persekutuan bagi latih 3,000 guru ajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris

'Rezeki dapat pindah' - Guru dari Sarawak kongsi berita gembira mengenai EGtukar