Umum ketahui sesi persekolahan akan dibuka semula secara berperingkat bermula Isnin ini dan pastinya murid-murid teruja serta seronok untuk kembali ke sekolah bagi meneruskan pembelajaran, di samping bertemu guru dan rakan-rakan yang lain.

Namun sebelum murid kembali ke sekolah, mereka perlu melakukan persediaan dan ketahui dengan jelas beberapa perkara penting, lebih-lebih lagi dalam pembelajaran norma baharu ketika ini.

Jom ikuti 10 tip persiapan untuk murid kembali ke sekolah perkongsian Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kepong, Kuala Lumpur, Cikgu Fuziah Aziz.

 

1) Tetapkan matlamat

Perkara ini sangat penting untuk dititikberatkan oleh murid. Anda perlu ada hala tuju dan matlamat yang hendak dicapai sebagai seorang murid agar ia menjadi paksi untuk anda berjaya dalam mengejar cita-cita yang diimpikan.

 

2) Bersedia fizikal dan mental

Dalam suasana pembelajaran norma baharu ketika ini, murid mestilah mematuhi segala peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak sekolah, selain utamakan keselamatan diri sepanjang berada di sekolah.

 

3) Menyesuaikan diri

Sekolah adalah tempat untuk anda belajar berdikari. Anda perlu cepat menyesuaikan diri dengan segala peraturan, situasi dan keadaan semasa di sekolah.

 

4) Hormati guru dan rakan-rakan

Hormat-menghormati adalah salah satu sahsiah yang perlu diterapkan dalam diri setiap murid.  Bukan sahaja perlu hormat kepada guru-guru, malah perlu juga menghormati rakan-rakan sebaya dan seluruh warga sekolah.

 

5) Jauhi golongan yang bermasalah

Cuba jauhkan diri anda daripada golongan murid yang banyak menimbulkan masalah. Jangan sesekali terpengaruh dan menyertai golongan tersebut. Paling penting, fokus pada matlamat dan tujuan asal mengapa anda hadir ke sekolah.

 

6) Kenal pasti rakan yang sesuai dijadikan sahabat

Kenal pasti di antara rakan-rakan di sekolah yang boleh dijadikan sahabat baik. Ini penting untuk membentuk sahsiah diri kita sepanjang berada di sekolah. Kebiasaannya, sahabat yang baik pasti mempunyai matlamat yang sama dan jelas seperti anda iaitu untuk berjaya dengan cemerlang.

 

7) Kuasai semua mata pelajaran dengan baik

Cuba kuasai semua mata pelajaran yang diajar oleh guru dengan memberikan tumpuan sepenuhnya semasa guru mengajar. Ini adalah masa yang paling sesuai dan berkesan untuk anda menerima semua ilmu pengetahuan dengan sebaiknya.

 

8) Fahami dan kenali karakter guru

Semua guru ingin melihat anak didiknya berjaya dengan cemerlang. Oleh itu, kenali dan fahami niat baik dan sifat-sifat mereka dengan mematuhi segala arahan diberikan. Semua guru adalah insan yang paling penyayang.

 

9) Maklumkan kepada guru jika anda dibuli atau diganggu

Segeralah laporkan kepada guru sekiranya anda sering dibuli atau diganggu. Jangan takut untuk memaklumkan kepada guru jika anda diugut atau dibuli kerana perkara seumpama ini perlu ditangani segera dan anda akan dilindungi daripada perkara tersebut daripada terus berlarutan.

 

10) Hargai segala pengorbanan ibu bapa dan guru

Hargai segala pengorbanan ibu bapa anda yang berusaha menghantar anda ke sekolah dan guru-guru yang bertungkus lumus memastikan anda tidak ketinggalan dalam mendapatkan ilmu pengetahuan. Hadiahkan mereka dengan kejayaan anda, pasti itu amat bermakna buat mereka semua.

 

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua murid, jalankan tanggungjawab dan amanah anda dengan sebaiknya agar terus berjaya melakar kecemerlangan yang membanggakan.