Hari Sabtu, 24 Feb 2018, maka genaplah 100 hari saya berkhidmat di Maktab Tentera Diraja, yang biasanya disebut sebagai MTD atau RMC (singkatan kepada Royal Military College).

Dalam masa yang boleh dikatakan agak singkat, banyak perkara yang telah dilalui dan banyak perbezaan besar yang sudah dirasai. Sedikit demi sedikit saya menyesuaikan diri dan menghadam segala macam budaya MTD.

Sebagai satu-satunya sekolah menengah yang berteraskan ketenteraan, sudah tentu begitu banyak bezanya dengan sekolah biasa.

Walaupun semua pelajarnya tinggal di asrama, namun MTD tetap tidak sama dengan SBP mahupun MRSM.

Saya bukanlah orang yang berautoriti untuk membicarakan tentang MTD secara keseluruhannya.

Apa yang bakal saya coretkan lebih kepada apa yang dilihat daripada kaca mata seorang guru biasa yang bertunjangkan PdPc sebagai fokus utama.

Istilah – istilah Ketenteraan

Perkara pertama yang saya cuba kuasai sejak hari pertama bertugas di sini adalah membiasakan diri dengan istilah-istilah ketenteraan serta pangkat-pangkat anggota tentera, termasuklah pangkat boy.

Banyak sungguh istilah yang membuatkan saya tercengang-cengang pada mulanya. Maka gigihlah saya mengkhatam majalah MTD yang bergelar “The Bugler” bagi tujuan tersebut, ditambah pula dengan pakcik ‘Google’.

Mujur juga masa kecik-kecik dulu pernah baca majalah tentera, jadi tak adalah janggal sangat, cuma kena ulang kaji balik je. So, sekarang ni sudah ok sikit, takdelah blurr sangat.

Istilah-istilah biasa yang digunakan antara guru dan pelajar di sini:

Guru (L): Tuan

Guru (P): Puan @ Ma’am

Pelajar : Putera @ Boy

Boy T5  : Putera Kanan (PK)

 

KEMENTAH

MTD merupakan satu-satunya sekolah menengah di negara ini yang terletak di bawah pengurusan Kementerian Pertahanan Malaysia (KEMENTAH). Terdapat juga beberapa anggota tentera yang menjadi pegawai pendidikan. Walau apa pun, tugas-tugas hakiki sebagai guru tidak jauh bezanya dengan guru-guru di sekolah lain.

 

Uniform Maktab

Boy di sini tidak memakai baju kemeja macam uniform sekolah biasa, tetapi memakai pakaian seragam tentera semasa menghadiri sesi PdPc. Cuma pada hari Jumaat mereka akan memakai persalinan baju Melayu.

 

PdPc & Kelas

Bab PdPc adalah yang paling ‘heaven’ bagi seorang guru di sini. Sebabnya, setiap guru hanya perlu mengajar satu jenis mata pelajaran sahaja, biasanya subjek major mereka.

Cuma, ada beberapa orang sahaja yang mengajar 2 jenis subjek. Jadi, setiap guru mempunyai fokus yang lebih pada subjek masing-masing. Jika di sekolah biasa, boleh dikatakan purata seorang guru mengajar 2-3 subjek setiap seorang.

(p/s: masa mula-mula posting dulu, 7 jenis subjek saya ajar. perghh……).

Kemudahan yang ada dalam kelas adalah sangat baik. Setiap kelas mempunyai 2 pendingin hawa serta komputer yang mempunyai jaringan Internet, yang juga boleh digunakan oleh para pelajar. Juga terdapat active smartboard.

Masa masuk mengajar, guru boleh berlenggang bawak handbag je haha…. Tidaklah begitu sepanjang masa, cuma kemudahan yang ada sangat membantu guru untuk menjimatkan masa dari segi persediaan mengajar. BBM lain adalah bergantung pada inti pati pengajaran pada hari tersebut.

 

Disiplin Boy

Semua boy di sini memang dilatih dengan disiplin ketenteraan yang tinggi. Nak kata langsung tak ada masalah disiplin tu tidak juga, tapi sangat-sangat kurang jika dibandingkan dengan sekolah lain, apatah lagi sekolah di bandar besar KL.

Mereka dididik untuk sangat menghormati guru walau di mana sahaja mereka berada. Nakal tu memang ada, tapi masih boleh dikawal. Kalau tak nakal, bukan budak laki lah namanya kan…. Mujur juga dulu pernah ada pengalaman mengajar sekejap di St. John’s Institution (another all boys’ school in KL).

Rasanya students SJI dulu lagi nakal hehe…. Lepas tu posting ke sekolah yang ramai girls, and now back to all boys. Sangat berbeza bila mengajar boys jika dibandingkan dengan girls, tapi seronok tu tetap ada. Kalau dah namanya guru, kenalah hadap kerenah students macam mana sekalipun.

 

Program Luar Akademik

MTD merupakan institusi pendidikan yang bukan berfokuskan pada akademik semata-mata.

Visinya adalah untuk melahirkan bakal pemimpin negara yang seimbang dari segi akademik, ketenteraan serta kesukanan.

Jadi boy di sini ada begitu banyak aktiviti luar akademik terutamanya latihan ketenteraan. Guru juga tidak terkecuali.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang aktiviti boy. Apa yang pasti, ada ekspedisi semasa cuti sekolah yang perlu turut disertai oleh guru. Ekspedisi boy MTD bukan macam lawatan sambil belajar sekolah lain ok.

Ekspedisinya lebih bersifat fizikal dan mencabar. Antaranya, ekspedisi ke Taman Negara Bako, Taman Negara Mulu, Gunung Tahan, Gunung Kinabalu dan banyak lagi lah.

Yang terdekat adalah semasa cuti pertengahan penggal 1 yang akan datang pada bulan Mac ini, di mana saya merupakan salah seorang guru yang terpilih untuk salah satu ekspedisi yang paling jauh dan mencabar. Fuhhh…!!

 

Perbarisan Tahunan (POP)

Perbarisan Tahunan ataupun Passing Out Parade (POP) merupakan acara kemuncak sebelum seseorang boy MTD bergraduasi dari sini. Jika di sekolah biasa digelar Hari Graduasi atau Hari Penyampaian Sijil & Anugerah (or whatever it is), uniknya di MTD Majlis Penyampaian Hadiah dimulakan dengan acara perbarisan ketenteraan.

 

Cabaran & Pengalaman Serba Baru

Ini cuma sebahagian kecil daripada kehidupan yang dilalui di MTD.

Masih terlalu banyak yang belum diceritakan.

Apa yang pasti, berkhidmat di MTD menghadirkan 1,001 pengalaman yang amat bermakna.

Belajar untuk bekerjasama antara dua kementerian yang berbeza.

Apabila berbicara tentang cabaran, di mana-mana pun ada cabaran yang tersendiri, begitu juga di sini. Hanya mereka yang mempunyai hati dan jiwa yang kental sahaja yang mampu mengharungi.

Memetik kata-kata Tuan Komandan Brig Jeneral Hj Mohd Shahada sewaktu pertama kali saya melapor diri padanya, “There is nothing perfect in this world, and that makes our life beautiful.”

Semoga kaki ini akan terus teguh berdiri untuk 100 hari lagi, malah mungkin 1,000 hari lagi di sini.

Insya-Allah

# Serve to lead

Sumber: Blog Cikgu Nurul