KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan sedang mengenal pasti 115 sekolah di seluruh negara untuk dibangunkan dengan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU), selaras dengan dasar penolakan sifar yang diperkenalkan kementerian.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata usaha itu akan dilaksanakan melalui peruntukan sebanyak RM23 juta yang diterima kementerian bagi tujuan itu, dalam Belanjawan 2020 yang diumumkan Oktober lepas.

"RM23 juta ini akan memanfaatkan 115 sekolah dengan anggaran bajet RM200,000 bagi setiap sekolah untuk kita lengkapkan dengan empat jenis fasiliti bagi kemudahan pelajar OKU.

"Empat fasiliti ini adalah susur lantai (ramps), susur tangan, tandas OKU dan parkir OKU jadi kita akan pilih sekolah yang mempunyai ramai pelajar OKU,” katanya kepada media selepas melancarkan Autsome Resource Fair di Sunway Putra Mall hari ini.

Autsome Resource Fair yang dianjurkan oleh pusat membeli-belah Sunway Putra Mall itu diadakan bermula semalam hingga Ahad ini sebagai platform untuk menawarkan peluang pekerjaan, latihan dan program pendidikan untuk individu yang mengalami kurang upaya intelektual seperti autisme, down syndrome, disleksia dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

Terdahulu, ketika berucap Teo berkata kementerian sedang mengenal pasti pelajar berkeperluan khas dan kelainan upaya supaya rawatan awal dapat diberikan sebelum kanak-kanak ini memulakan persekolahan mereka.

Beliau berkata dengan berbuat demikian, ini akan mengurangkan kesan ketidakupayaan pelajar dan membantu mempengaruhi kesediaan mereka untuk mengambil bahagian dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

"Ibu bapa digalakkan untuk mendaftar anak-anak mereka secara dalam talian di laman sesawang kementerian dua tahun sebelum mereka mula bersekolah, dan sekolah perlu menerima pelajar berkeperluan khas ini yang mendaftar dengan mereka.

"Bagaimanapun, kanak-kanak ini perlu menjalani pemeriksaan yang disahkan oleh pegawai perubatan, ahli optik, ahli audiologi dan ahli psikologi sebelum boleh memasuki program keperluan khas di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan:

Insentif kepada guru yang menyambung pengajian ke peringkat master dan PhD

'Bantuan Umum, Bantuan Khusus dan Bantuan One-Off' - peringkat sekolah rendah dan menengah

31 cara mengawal murid dalam kelas oleh Cikgu Herryan Syah. Senang sangat!

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan