KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan pembukaan semula sekolah bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Empat adalah 15 Julai ini.

Demikian kata Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin menerusi siaran langsung, baru-baru ini.

Beliau berkata, murid Tahun Lima dan Enam akan kembali ke sekolah pada Rabu, 15 Julai manakala murid Tahun Satu hingga Tahun Empat pada hari Rabu, 22 Julai.

Tarikh pembukaan semula sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan.

Semua Institusi Pendidikan Swasta di bawah kategori pusat yang berdaftar dengan KPM juga boleh dibuka semula pada hari Rabu, 15 Julai.

Sementara itu, KPM telah mengenal pasti tiga model pengoperasian pembukaan penuh sekolah yang perlu dijadikan panduan oleh pentadbir sekolah mengikut kesesuaian dan situasi di sekolah masing-masing.

1) Model pertama adalah Model Satu Sesi. Model ini ialah untuk sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, setelah mengambil kira penjarakan sosial.

2) Model kedua adalah Model Dua Sesi. Model ini ialah untuk sekolah sedia ada yang telah beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.

3) Model yang ketiga adalah Model Penggiliran. Model ini ialah untuk sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi. Kebanyakan sekolah di dalam kategori ini adalah sekolah yang terletak dalam kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi.

Bagi Model Penggiliran untuk sekolah menengah, pelajar Tingkatan Lima dan Enam perlu hadir ke sekolah setiap hari. Manakala kehadiran pelajar Tingkatan Satu hingga Empat perlu dibuat secara bergilir-gilir mengikut kelas atau aliran tertentu.

Pihak sekolah hendaklah menentukan bentuk penggiliran yang sesuai berdasarkan keperluan murid.

Contohnya, jika sekolah mempunyai ruang yang mencukupi, pelajar Tingkatan Empat akan turut hadir setiap hari. Keutamaan diberi sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan SPM pada tahun hadapan.

Murid Tahun Satu hingga Enam boleh hadir secara bergilir-gilir mengikut kelas atau tahap.

Dalam hal ini, pihak sekolah yang menentukan bentuk penggiliran bersesuaian.

Untuk model penggiliran ini, kaedah pembelajaran murid adalah secara hybrid, iaitu secara bersemuka di sekolah semasa hari persekolahan dan secara Home-Based Learning di rumah untuk hari-hari yang mereka tidak dijadualkan berada di sekolah.

Maklumat senarai sekolah mengikut model yang telah ditetapkan akan dimaklumkan oleh KPM selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka semula sepenuhnya.

Kemasukan murid sekolah berasrama

Dr Radzi berkata, pembukaan semula sekolah berasrama dilaksanakan mengikut kapasiti asrama sekolah masing-masing. Asrama yang mempunyai kapasiti yang mencukupi setelah mengambil kira penjarakan sosial akan beroperasi seperti biasa.

Manakala, bagi asrama yang mempunyai kapasiti ruang terhad setelah mengambil kira penjarakan sosial, pada peringkat awal, hanya sebahagian murid sahaja dapat tinggal di asrama. Antara kekangan utama adalah penggunaan katil dua tingkat atau double decker.

"Kami telah meneliti perkara ini bersama-sama KKM. Mengikut saranan KKM, pada peringkat awal kemasukan, murid hanya menggunakan katil bawah sahaja. Namun, selepas tempoh 14 hari, kumpulan murid baharu dibenarkan masuk ke asrama dengan menempatkan murid sedia ada di katil atas manakala murid baharu di katil bawah. Prosedur ini diteruskan sehingga semua murid dapat tinggal di asrama.

"Setelah mengambil kira saranan KKM, secara umumnya, untuk asrama yang menggunakan katil dua tingkat, semua murid dijangka dapat kembali ke asrama dalam tempoh 28 hingga 42 hari daripada 24 Jun. Tempoh untuk kembali ke asrama ini bergantung kepada bilangan murid dan akan ditetapkan oleh pihak sekolah," ujarnya lagi.

Takwim persekolahan

Meminda takwim persekolahan tahun 2020 merupakan satu cabaran yang amat besar bagi KPM. Bak kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa. Selama ini takwim persekolahan setiap tahun hampir sama coraknya. Namun tahun ini, keadaannya cukup berbeza.

"KPM mendapati pengajaran dan pembelajaran murid secara dalam talian dan secara Home-Based Learning adalah kurang berkesan berbanding secara bersemuka.

"Dalam membuat keputusan yang kompleks sebegini, kami perlu merancang dengan teliti. Kami mesti melihat secara menyeluruh dalam jangka masa sederhana dan jangka masa panjang. Perancangan yang dibuat tidak boleh hanya tertumpu untuk tahun ini sahaja. Ini kerana kesan pandemik COVID-19 kepada sektor pendidikan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Apa yang menjadi keutamaan adalah memastikan murid mempunyai tempoh pembelajaran yang mencukupi sebagai persediaan untuk tahun berikutnya," jelasnya.

Memandangkan peperiksaan SPM tahun 2020 dijadualkan bermula pada minggu pertama Januari 2021, KPM telah mengambil kira keperluan untuk mengatur semula pelbagai aspek logistik bagi tujuan peperiksaan tersebut.

Ini termasuklah memperincikan tarikh permulaan sesi persekolahan tahun 2021 bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun hadapan berjalan lancar. Perkara ini akan dimuktamadkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021.