KUALA NERUS: Semenjak bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara untuk memutuskan rantaian Covid-19 daripada terus menular, Jawatankuasa Task-Force Covid-19 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah memainkan peranan yang amat penting bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan di UniSZA dan kesediaan UniSZA dalam menangani pandemik COVID-19 dengan pantas dan berkesan.

Menyedari betapa pentingnya UniSZA dalam memutuskan rantaian Covid-19, satu pasukan khas yang dikenali sebagai Pasukan Covid Buster UniSZA telah ditubuhkan dalam usaha membendung penularan tersebut.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pasukan itu telah ditubuhkan sejak Julai tahun lalu selepas terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan kakitangan universiti berkenaan.

"Bermula daripada gelombang pertama hingga gelombang ketiga, terdapat beberapa kes positif dalam kalangan kakitangan UniSZA.

"Apabila ada kes, kita akan tutup kawasan atau pejabat untuk proses sanitasi yang mana pada peringkat awal, kita mendapatkan latihan daripada pihak bomba termasuk segi bancuhan,” katanya.

Katanya lagi, seramai 20 kakitangan UniSZA telah menyertai pasukan itu yang diketuai oleh Pusat Pengurusan Makmal Berpusat dengan kerjasama Jawatankuasa Task-Force Covid-19 UniSZA, Pusat Pengurusan Harta Benda (PPHB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Pasukan ini akan turut bekerjasama membantu komuniti luar dengan memberi tunjuk ajar dalam melakukan sanitasi selain menyediakan bekalan cecair disinfeksi kepada mereka.

“Kita juga akan melakukan sanitasi bukan sahaja di tiga buah kampus UniSZA, tetapi juga di kawasan tumpuan ramai seperti masjid, balai raya dan sekolah di sekitar kawasan Kuala Nerus”, katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Task Force Covid-19 UniSZA.

Menurutnya lagi, bahan yang digunakan untuk disinfeksi juga adalah hasil kepakaran dari ahli Fakulti Farmasi dan CLMC UniSZA yang menghasilkan formulasi cecair disinfeksi sendiri.

Sumber: Portal UniSZA

Artikel menarik

Kegiatan kokurikulum sekolah sepi dan terpinggir, Dr Nurhidaya tampil beri pandangan bernas

3 komponen penting dalam pembelajaran teradun yang perlu guru tahu, Cikgu Muhammaad Sabiq kongsi ini

2 pelajar Profesional Perakaunan UiTM tersenarai tempat kedua dan sembilan dunia