NILAI - Sesi perhimpunan pagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Cempaka Nilai di sini  gempar apabila seramai 20 pelajar perempuan  diserang histeria tiba-tiba.

Dalam kejadian kirakira jam 7.30 pagi itu, seorang  pelajar yang berada di dalam tandas dikatakan  menjerit tiba-tiba sebelum ditemui pengsan.

Suasana kemudian bertukar  kecoh apabila pelajar lain pula yang menjerit sehingga  sesi pengajaran dan  pembelajaran (P&P) terpaksa dihentikan.

Sementara itu seorang  pelajar tingkatan tiga yang enggan dikenali berkata, kejadian histeria di sekolah  itu berlaku sejak Jumaat  lalu.

“Kali pertama berlaku tidaklah seramai hari ini  (semalam). Saya pun tidak  tahu apa puncanya, tapi  dengarnya ada pelajar nampak lembaga.

“Cikgu ada panggil pengamal perubatan untuk  tenangkan keadaan. Apa  yang berlaku selepas itu, saya tidak pasti,” katanya. 

Sementara itu Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata,  pihaknya dimaklumkan sejurus kejadian itu dengan pihak sekolah telah mengambil tindakan mengasingkan pelajar yang terlibat di surau.

“Pelajar lain dikumpulkan di dewan sekolah untuk bacaan Yasin. Seorang  ustaz turut dipanggil bagi membantu memulihkan  keadaan pelajar terlibat.

“Pihak sekolah telah hubungi ibu bapa untuk  bawa anak mereka yang  terkena histeria pulang, begitu juga dengan ibu  bapa pelajar lain,” katanya.

Menurutnya, keadaan kembali tenang jam 11.39  pagi dan proses P&P berjalan seperti biasa. 

Beliau berkata, pelajar sesi petang tingkatan satu dan dua pula turut diarah mengadakan bacaan Yasin dan solat zohor secara berjemaah sebelum sesi pembelajaran bermula.

“Jabatan, pejabat pendidikan daerah dan sekolah akan memantau kes ini dari semasa ke semasa agar kejadian tidak berulang lagi,” katanya.

Artikel Menarik:

Cemerlang setiap kali peperiksaan, guru ini gariskan tujuh panduan untuk diikuti

Silibus Tabika Kemas terbaik... dapat pengiktirafan Reader’s Digest Trusted Brands

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi