BATU GAJAH - Seramai 200 pelajar sekolah rendah dan menengah di Perak menyertai Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) 2019 peringkat negeri Perak yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wan Hwa di sini.

Pertandingan selama dua hari sejak semalam itu menyaksikan pelajar berusia lingkungan tujuh hingga 15 tahun mempamerkan kemahiran penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan kreativiti dalam mereka cipta solusi robotik untuk bandar pintar.

Ia dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan dan Sasbadi Holdings Berhad dengan tujuan memupuk minat pelajar untuk mempelajari Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) selain mengasah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) seterusnya mengembangkan semangat kerja berpasukan.

Seorang peserta, Nur Aina Azhar, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Serai yang berjaya mendapat tempat pertama dalam kategori 'Regular Rookie' berkata kumpulan mereka hanya mengambil masa selama tiga minggu untuk berlatih dengan guru robotik di sekolahnya.

"Ini merupakan kali pertama kami memasuki pertandingan ini dan tidak sangka mendapat juara kategori, kami berharap agar dapat mencapai tahap tertinggi pada pertandingan peringkat kebangsaan September nanti," katanya yang hanya mengambil masa 40 minit untuk menyiapkan solusi robotik itu.

Pertandingan bertemakan 'Smart Cities' dengan memfokuskan kepada konsep, idea dan teknologi baharu yang boleh membantu perancangan bandar serta operasi bandar pintar daripada segi penjimatan tenaga, menjadikan trafik lebih selamat dan menambah baik sistem pengangkutan awam.

Setiap pasukan bertanding empat kategori iaitu 'Regular Pro, 'Regular Rookie', 'NRC Football' dan 'STEM Invention and Innovation'.

Pertandingan peringkat negeri dianjurkan di 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan dari Julai hingga Ogos tahun ini dan pasukan yang berjaya akan bertanding di peringkat kebangsaan di Universiti AIMST, Bedong, Kedah pada 20 September depan. - Bernama

ARTIKEL MENARIK:

Pesanan khas untuk ibu bapa menjelang peperiksaan UPSR

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi

UPSR dah dekat - Ini kami kongsi 10 tip skor A Sains UPSR

Nota poket Matematik Cikgu Shahril bantu murid skor A UPSR

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi