JERANTUT - Seramai 500 peserta hadir ke program Tajdid Evolusi Pembentukan Kecemerlangan Generasi anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bertempat di Dewan Majlis Daerah Jerantut, semalam.

Daripada 500 yang hadir, 260 daripadanya adalah pelajar dari enam sekolah rendah dan menengah di daerah ini yang terlibat di bawah program Empower Ecer.

Kesemua mereka hadir bagi mendengar ceramah motivasi dan agama yang disampaikan penceramah jemputan, Ebit Liew.

Pengurus Besar Pejabat Wilayah Negeri Pahang ECERDC, Datuk Mazlan Sharudin berkata, program terbabit dijalankan bagi memberi manfaat kepada peserta Empower Ecer mengenai aspek kehidupan seperti disiplin, akhlak, dan penerapan nilai-nilai murni.

Katanya, ia juga bertujuan membentuk perkembangan individu dan masyarakat agar menjadi sebuah generasi yang lebih mampan.

“Objektifnya adalah untuk berkongsi ilmu bersama pelajar, peserta dan penduduk setempat selain memberi pendekatan kepada mereka mengenai nilai-nilai murni dalam melakukan ibadah puasa.

“Ia juga bagi merapatkan silaturahim antara pemimpin dan penduduk setempat yang hadir ke program ini,” katanya.

Majlis perasmian program berkenaan telah disempurnakan Ahli Parlimen, Datuk Ahmad Nazlan Idris. Majlis turut dihadiri Pegawai Agama Islam daerah, Syarifuddin Mohamad Sa’ad dan Penolong Pegawai Pendidik Daerah, Musa Jais.  

Ahmad Nazlan dalam pada itu berharap program seumpama itu dapat bantu melahirkan ummah terbaik sekali gus berharap agar peserta dapat menggunakan peluang yang disediakan sebaik mungkin untuk membina kecemerlangan dan mengulangi sejarah kegemilangan umat Islam terdahulu.