JOHOR BAHRU - Seramai 28 pelajar dari tujuh buah sekolah di negeri ini akan mewakili Malaysia ke Korea untuk menyertai Kejohanan Lompat Tali Asia Pasifik 2019.

Presiden Persatuan Lompat Tali Johor, Habibah A.Hamid berkata, kesemua atlet telah menjalani latihan intensif sebulan terakhir selepas latihan berjadual sejak enam bulan lalu.

“Tahun ini kita hantar 36 orang peserta di mana 28 orang dari tujuh sekolah di Johor dan lapan lagi dari Kuala Lumpur dan Selangor yang berumur 7 tahun hingga 17 tahun.

“Sekolah jalankan latihan berjadual dan latihan pusat kemudian untuk sebulan terakhir ini kita jalankan latihan intensif sebagai persediaan akhir peserta,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bendera Malaysia kepada kontinjen Kejohanan Lompat Tali Asia Pasifik di Sekolah Kebangsaan Sri Tebrau, hari ini.

Pasukan lompat tali akan berlepas ke Korea bagi menyertai kejohanan itu, Rabu depan selama sembilan hari.

Tujuh sekolah terlibat ialah SK Sri Tebrau, SMK Dato Jaafar, SMK Dato Penggawa Barat, Maktab Sultan Abu Bakar, SMK Sultan Ismail, SM Sains Johor dan SK Felda Kahang Barat.

Menurut Habibah, pihaknya mensasarkan satu emas, dua perak dan 21 gangsa bagi tiga kategori dipertandingkan dalam kejohanan itu.

Mengulas soal masa depan sukan itu, Habibah akui pihaknya meletak harapan tinggi kepada setiap atlet.

“Harapan kami tinggi terhadap semua peserta kerana acara ini boleh pergi jauh.

“Di peringkat sekolah rendah kita latih supaya mereka menjadi peserta dan di peringkat sekolah menengah kita lebih kepada kejurulatihan.

“Di mana selepas itu mereka berpeluang menjadi pengadil, menyertai pelbagai bengkel peringkat kebangsaan malah mereka berpeluang memiliki pasukan sendiri,” katanya.