Seramai 30 mahasiswa silibus Kursus Kokurikulum Khidmat Komuniti (HPD133) dan sukarelawan siswa ‘Smart Perindu Volunteerism’ Kolej Kediaman perindu, UiTM Shah Alam menjalankan program kesukarelawanan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Banting, Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.

Program yang diberi nama Sekolahku, Universitiku ini merupakan program khas di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Program Service Learning – University For Society(SULAM).

Penasihat program SULAM, Ku Hadzrill Jeeffry Ku Hamzah berkata, program bertujuan mengetengahkan kemahiran dan ilmu yang terdapat dalam diri mahasiswa untuk berbakti semula kepada masyarakat.

“Sukarelawan siswa ini mempunyai latar belakang pengajian yang berbeza seperti penuntut dari kursus Pengajian Pengurusan Taman dan Landskap, Program Pendidikan Seni dan Seni Reka, Sains Komputer dan Matematik, Sains Gunaan dan sebagainya.

“Saya yakin, pengalaman dan kemahiran yang dipelajari di universiti dapat diterapkan dan dikongsi dengan masyarakat,” ujarnya.

Tambah beliau, program berkenaan itu juga adalah untuk memperbaiki infrastruktur dan menceriakan kawasan landskap sekolah agar lebih tersusun dan praktikal.

“Kolaboratif bersama Fakulti Pendidikan, UiTM Kampus Puncak Alam dan Fakulti Seni Bina Perancangan dan Ukur, UiTM Shah Alam menjadikan program Sekolahku, Universitiku lebih menarik dengan pelbagai idea dan kepakaran yang dikongsikan,” ujarnya.

Siswa sumbang tenaga

Sementara itu, setiap peserta yang mengikuti program Sekolahku, Universitiku telah menyumbang tenaga dengan menghasilkan mural bertemakan flora dan fauna.

Mural berkenaan dilukis di dinding kantin sekolah bertujuan mewujudkan suasana harmoni dan ceria di kawasan tersebut.

Dengan pemilihan warna – warna pastel, ia menjadikan kantin lebih tenang dan sudah pasti menjadi tumpuan kepada warga dan pelawat yang datang ke sekolah.

Seterusnya, peserta program turut membuat tranformasi imej dan infrastruktur bangunan JQAF sekolah yang dahulunya kelihatan suram.

“Bangunan JQAF sekolah kini nampak lebih ceria dengan konsep moden yang diterapkan. Tambahan pula, pemilihan perabot termasuk kerusi dan meja telah mewujudkan suasana yang lebih kondusif dan tenang,” ujarnya.

Meskipun keadaan pandemik Covid-19, program dijalankan mengikut SOP yang telah ditetapkan KPT, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

Penjarakan fizikal, penggunaan pelitup muka dan mengelakkan berkumpul secara beramai-ramai sentiasa diamalkan bagi memastikan keselamatan peserta yang terlibat terhindar daripada jangkitan Covid-19.

Aktiviti yang dijalankan ini juga tidak melibatkan murid-murid.

Gambar bangunan JQAF sebelum program SULAM dijalankan.

Aktiviti mengecat oleh sukarelawan UiTM.

Wajah baharu bangunan JQAF Sekolah.

Sukarelawan menghasilkan mural bertemakan hidupan flora dan fauna.

Ruang bacaan JQAF yang telah di transformasikan.

Kerja - kerja pemasangan perabot.

Sukarelawan UiTM bersama Guru Besar SK Kampong Banting, Sabak Bernam, Azmon Amat Kamari (tengah) dan barisan pentadbiran kanan sekolah.

Terdahulu, UiTM  diberikan amanah dan tanggungjawab untuk melaksanakan program di dua buah sekolah iaitu di SK Ayer Limau, Masjid Tanah, Melaka dan SK Kampong Banting, Sabak Bernam, Selangor.

Untuk tujuan perancangan dan pelaksanaan ini, Pusat Kokurikulum UiTM telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan program di SK Kampong Banting manakala UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin pula menjalankan program di SK Ayer Limau.

Semoga program yang telah dilaksanakan dapat membentuk jati diri dan personaliti unggul para sukarelawan siswa yang terlibat.

Aktiviti dan program kesukarelawanan, pemulihan dan penambahbaikan, keceriaan, pembangunan karakter dan lain-lain aktiviti di sekolah seperti ini perlu diteruskan dalam menjayakan aspirasi dan hasrat KPT.

Artikel menarik

Dr Rozanizam kongsi 5 tip praktikal bina potensi diri anak-anak. Ibu bapa boleh praktikkan cara ini

100 peserta sertai persidangan maya anjuran UTM, jadikan sebagai ruang perkongsian idea