KUCHING - Sebanyak 5,703 pendidik dan pengasuh Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) di negeri ini, akan mendapat keutamaan untuk menerima vaksin Covid-19, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, Mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-kanak pada 9 Mac lalu bersetuju, untuk memohon kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) agar golongan berkenaan diberikan keutamaan sebagai barisan hadapan, dalam pemberian vaksin tersebut.

"Sejurus selepas mesyuarat, pihak kementerian telah mengumpul maklumat dan data pendidik dan pengasuh tersebut, dan seterusnya mengemukakan kepada JPBN pada 11 Mac. Alhamdulillah, pihak JPBN telah meluluskan permohonan ini.

"Persetujuan ini dibuat dengan mengambil kira tugas pendidik dan pengasuh IPAKK yang terpaksa membuat kontak fizikal, seperti perlu mengendong anak-anak kecil apabila menangis, memimpin ke tandas, membantu mereka dalam aktiviti belajar dan sebagainya,” kata beliau pada sidang media di sini.

Bagaimanapun Fatimah berkata, pemberian vaksin itu tidak termasuk pendidik prasekolah di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan, kerana mereka telah pun tersenarai sebagai penerima di bawah kementerian berkenaan.

Setakat hari ini, sebanyak 1,702 IPAKK, beroperasi di Sarawak.

Sebelum ini dilaporkan, lebih 40,000 petugas barisan hadapan di Sarawak dijadual menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama mulai 27 Februari lepas - BERNAMA

Artikel menarik

8 aktiviti ringkas cara Cikgu Herryan Syah, kelas pasti ceria

Jangan terlalu ghairah kongsi maklumat anak di media sosial. Takut ada mata jahat yang memerhati