Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya, berkata bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bercadang  memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Satu kajian yang memasuki fasa akhir telah dilaksanakan bagi tujuan tersebut. Keputusan muktamad mengenai pemansuhan itu akan dibuat tidak lama lagi.

Beliau menambah kemungkinan besar tidak akan ada lagi UPSR pada tahun hadapan dan selama-lamanya.(Lihat laporan Sinar Harian & BH, 5 Disember 2020).

Justeru, pencapaian pelajar tahun 6 akan dinilai melalui melalui pentaksiran sepanjang masa melalui kaedah tertentu seperti ujian dan  temu duga bagi penempatan di lima jenis sekolah khusus setelah tamat Tahun 6 di Sekolah Rendah.

Ikuti kupasan lanjut Pensyarah, Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof.Madya Dr.Abdul Ghafar Don.

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mula diperkenalkan pada tahun 1988 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Selaras dengan perkembangan zaman dan kemajuan semasa, mulai 2016, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah memasukkan elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam soalan-soalan dalam kertas UPSR yang melibatkan soalan berbentuk subjektif untuk kertas soalan Bahasa Melayu Pemahaman (Bahagian B) dan kertas Bahasa Inggeris Pemahaman (Section B).

Ia bermatlamat menyediakan pelajar yang mempunyai daya fikir yang tinggi dan kreatif di mana para pelajar tidak hanya mengeluarkan semula maklumat-maklumat yang telah dibaca di dalam kertas peperiksaan, malah diharapkan melalui KBAT ini mereka mampu mengolah dan mempersembahkan apa yang dibaca dan diketahui dalam pelbagai dimensi.

Namun demikian, UPSR masih lagi berorientasikan peperiksaan dalam menilai pencapaian pelajar. Aspek kognitif masih lagi menjadi ciri dominan dalam menilai kecemerlangan pelajar.

Pengumuman ini telah menimbulkan pro dan kontra dalam kalangan masyarakat. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju UPSR dihapuskan dengan alasan dan hujah masing-masing.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) misalnya adalah antara pihak yang mahu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan dalam usaha mewujudkan transformasi terhadap sistem pendidikan berteraskan penilaian peperiksaan, selain melahirkan murid yang lebih baik.

Idea ke arah transformasi  dalam sistem Pendidikan ini telah disuarakan mereka pada tahun 2019 (Lihat laporan BH 4/8/2019).

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, ketika menyuarakan cadangan tersebut berpandangan bahawa pihaknya tidak melihat keperluan untuk mengekalkan UPSR dalam sistem penilaian pendidikan sehingga menyaksikan murid terpaksa menanggung beban untuk mendapat keputusan cemerlang.

 Pandangan ini ada benarnya kerana UPSR dianggap satu kaedah yang tidak holistik dalam menilai kecemerlangan pelajar. Justeru, pendekatan lain yang lebih integratif perlu dilaksanakan dalam menilai kebolehan dan kecemerlangan seseorang pelajar.  

Jika ditinjau dari sudut Implikasi negatif yang timbul akibat orientasi penilaian berasaskan peperiksaan terhadap pelajar, ia akan memberi kesan, antara lainnya ialah :

  • Memberi tekananan dan bebanan kepada para pelajar terutamanya dalam memenuhi jangkaan ibu dan bapa yang inginkan anak masing-masing mencapai kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan.
  • Merupakan satu kebanggaan bagi yang cemerlang.
  • Menimbulkan rasa inferior bagi yang kurang atau tidak cemerlang. Lebih buruk lagi mungkin membawa kepada yang tidak cemerlang dianggap kurang cerdik ataupun bodoh.
  • Membina satu persepsi masyarakat bahawa kejayaan dan kecemerlangan hanya dinilai berdasarkan angka atau skor pencapaian mata pelajaran semata-mata.
  • Pencapaian /penilaian kecemerlangan tidak menyeluruh, ada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan, tetapi tidak cemerlang aspek kemahiran insaniah dan juga akhlak

Berdasarkan situasi yang wujud ini, terdapat juga pihak yang mempertahankan perlunya kepada UPSR sebagai kaedah menilai kebolehan pelajar.

Golongan ini berpendapat, peperiksaan masih lagi relevan dan perlu dalam menilai keupayaan dan kecemerlangan pelajar.

Bagi mereka yang tidak bersetuju UPSR dimansuhkan ada kewajarannya. Namun demikian, pada hemat saya, kaedah penilaian berterusan yang mungkin akan diperkenalkan bagi menggantikan UPSR masih lagi ada elemen-elemen menguji kebolehan murid secara kognitif melalui kuiz dan ujian tertentu.

Namun, ia boleh ditambah baik dengan elemen-elemen kemahiran insaniah dan elemen-elemen nilai sebagai nilai tambah dalam menyediakan dan melahirkan insan yang lebih holistik.

Kaedah penilaian berterusan sebenarnya adalah sejajar dengan perkembangan terkini dan mempunyai kesinambungannya di peringkat pengajian yang lebih tinggi.

Sekiranya kaedah penilaian berterusan dilaksanakan bagi menggantikan UPSR, ia akan menjadi ‘feeder’ kepada pengajian di peringkat lebih tinggi iaitu institusi pengajian tinggi yang kini telah beralih kepada trend penilaian secara berterusan dalam menilai kebolehan dan kecemerlangan pelajar.

Kaedah penilaian berterusan ini diharap mampu melahirkan pelajar yang lebih seimbang dari sudut kebolehan dan pencapaian.