LABUAN - Program Peningkatan Akademik Sekolah Kluster Kecemerlangan, Sekolah Kebangsaan (SK) Rancha-Rancha disertai murid tahun 6 seramai 52 orang pada 28 Julai lalu.

Ia anjuran Kebitaraan Akademik Bahasa Melayu (BM) dan Panitia BM SK Rancha-Rancha dan diadakan di Dewan kuliah (Podium A), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.

Seramai 20 guru sekolah terbabit turut menyertai program yang merupakan kesinambungan program tahunan bagi mengukuhkan keyakinan diri, memberi kesedaran dan memantapkan persediaan awal murid sebelum menghadapi UPSR 2018 yang lalu.

Dua penceramah dijemput pada Program Peningkatan Akademik. Mereka ialah Md Ramli Sabran (BM) dan Azri Omar (Matematik). Kedua-duanya dari SK Kampong Bahagia, Teluk Intan, Perak.

Ketua Panitia BM SK Rancha-Rancha, Norliah Gapar berkata, objektif program adalah memantapkan kemahiran murid menjawab soalan kertas UPSR dengan menggunakan teknik dan kaedah menjawab yang betul dan tepat, memantapkan kemahiran menjawab soalan KBAT dan mengamalkan perkongsian ilmu untuk kejayaan bersama.

Beliau yang juga Penyelaras Kebitaraan Akademik berkata, beberapa bentuk aktiviti telah diadakan, antaranya aktiviti kumpulan, soal jawab teknik menjawab soalan, perbincangan jawapan soalan bersama penceramah dan tunjuk cara formula mudah.

“Melalui penyertaan murid-murid ini, saya lihat mereka lebih berkeyakinan untuk menjawab soalan berdasarkan pelbagai kaedah yang diperoleh dan mereka juga dilihat semakin seronok untuk belajar dengan menggunakan formula mudah,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar, Norinie Kassim berkata, bengkel bermanfaat kerana memberi input dan tip untuk menjawab soalan UPSR bagi subjek BM dan Matematik.

“Soalan KBAT yang dikemuka penceramah dapat mencetuskan idea dan menjana minda murid,” ujarnya.