PUTRAJAYA - Setelah 40 tahun tidak bersua muka, akhirnya 65 bekas pelajar Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan sesi 1973-1974 ditemukan semula dalam satu reunion di Kelab
Equestrian Putrajaya, kelmarin.

Penyelaras program, Mohammed Shukry Ramli berkata, idea menjalankan reunion diilhamkan beberapa rakan sekolahnya dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur, kira-kira dua bulan lalu.

“Setelah pertemuan tersebut, kami terus melakukan beberapa perancangan bagi merealisasikan reunion tersebut dan alhamdulillah, ia berlangsung meskipun tidak semua yang dapat hadir.

“Apapun, saya gembira dengan kehadiran rakan-rakan dan saya ucapkan ribuan terima kepada mereka yang hadir,” katanya.

Selepas reunion tersebut, kata Shukry, beberapa projek dirancang untuk merapatkan ukhuwah yang terjalin sekian lama dan antara perkara yang dirancang adalah mendaftar Comrades 1973/1974 sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Pertemuan dihadiri bekas pengetua, Abdul Rahman Mohd Ali yang gembira bertemu dengan bekas anak muridnya.

“Banyak kenangan manis sepanjang saya menjadi pengetua di sana tetapi, saya tidak berapa ingat. Bagaimanapun, alhamdulillah semua bekas pelajar saya berjaya,” katanya.