ALOR SETAR - Seramai 900 ahli pengakap Kedah menerima anugerah dalam Majlis Istiadat Penganugerahan Anugerah Rambu Pengakap Peringkat Negeri Kedah di Dewan Al-Farabi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, di sini, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Program Negeri, Badrul  Hisham Abdullah berkata, majlis berkenaan diadakan untuk memberi penghargaan atas pencapaian ahli pengakap yang memenuhi syarat kelayakan pemakaian rambu dan sijil di negeri ini.

Katanya, pihaknya ingin memberi  pengiktirafan kepada Pengakap Kanak- Kanak yang lulus lencana Emas, Pengakap Muda lulus lencana Jaya dan Pengakap Remaja lulus lencana Tertinggi.

"Anugerah Ketua Pengakap Negara, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri serta  Sijil Rambu Pengakap adalah anugerah
kecemerlangan tertinggi dicapai seseorang ahli pengakap.

"Mereka akan diberi penghargaan itu setelah berjaya menyempurnakan semua  lencana kemajuan dan kepandaian serta memenuhi syarat berdasarkan Skim Latihan Pengakap Malaysia," katanya.

Menurutnya, anugerah berkenaan diharapkan membantu memberi perangsang  dan semangat kepada penerima dan rakan-rakan pengakap lain untuk terus maju dalam perkara dilakukan mereka.

Terdahulu, Majlis Istiadat Penganugerahan Anugerah Rambu Pengakap Peringkat Negeri Kedah dirasmikan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Abdul
Aziz Selaiman.