KUALA LUMPUR - Bagi memberikan pengiktirafan kepada pasukan senam aerobik terbaik negara, Activ Jam Senam Aerobik KPM-MILO® dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membawa kembali Pertandingan Activ Jam Senam Aerobik Kebangsaan untuk tahun kedua.

Pengarah Eksekutif Unit Perniagaan MILO® dan Susu, Nestlé (Malaysia) Berhad, Kumaran Nowuram berkata, senam aerobik melambangkan semangat kesukanan yang sejati, kerana ia boleh dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira umur, kemampuan bersukan atau akses kepada sumber.

"Ia bukan sahaja satu cara mudah untuk kekal aktif, malah apabila diamalkan secara berkumpulan, ia dapat memupuk perpaduan, semangat berpasukan, disiplin, kreativiti, dan semangat kesukanan, iaitu nilai-nilai murni yang dapat diterapkan berdasarkan pegangan kami bahawa sukan adalah guru yang terbaik," katanya di Pertandingan Activ Jam Senam Aerobik KPM-MILO® Kebangsaan Kali ke-2 yang berlangsung selama dua hari (21 dan 22 September 2019) di KL Gateway Mall, Kuala Lumpur.

Mengiktiraf kepentingan sokongan KPM terhadap program-program sukan MILO®, tambah beliau, kerjasama dengan KPM selama lebih 40 tahun yang lalu telah membolehkannya menyediakan lebih banyak platform bagi mendekati pelajar menerusi sukan, di samping menyediakan sumber bagi memupuk bakat atlet pelajar serta melahirkan juara sukan.

"Kami berharap kerjasama ini akan dapat terus diperkukuhkan sejajar dengan matlamat kami untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih aktif dan sihat, serta menginspirasikan mereka untuk maju bersama sukan," katanya.

Menurut Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM, Zainal Abas, kerjasama awam-swasta dalam menerajui pembangunan sukan peringkat akar umbi, seperti yang ditunjukkan oleh MILO®, adalah sangat penting terhadap usaha KPM untuk membudayakan kecemerlangan sukan di sekolah.

"Ia membolehkan kami mengambil pendekatan baharu untuk meningkatkan akses kepada sukan untuk manfaat semua, serta memperkenalkan program seperti gerakan Activ Jam Senam Aerobik sebagai satu saluran kreatif untuk murid-murid berjaya dalam sukan.

"Kami berhasrat untuk melipatgandakan usaha menggalakkan gaya hidup aktif dan penyertaan murid-murid dalam sekurang-kurangnya satu bidang sukan, seperti yang digariskan di bawah dasar 1Murid 1Sukan," jelasnya.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8 (2), Putrajaya telah dinobatkan sebagai juara, diikuti SK Kg Contoh, Sabah yang menduduki tempat kedua dan SK Jasin, Melaka di tempat ketiga.

Pertandingan tersebut terbuka kepada murid-murid sekolah rendah dalam dua kategori.

Kategori Sekolah melibatkan 10 pasukan yang dipilih menerusi pencarian bakat di seluruh negara, manakala 16 pasukan yang mewakili Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing bersaing di bawah Kategori Muhibbah pada peringkat akhir yang berlangsung selama dua hari.

Pasukan pemenang JPN Melaka dari kategori Grand Final Activ Jam Jamam Aerobik MILO® kategori Muhibbah bersama Kumaran (baris kedua, enam dari kiri), Zainal (tujuh dari kiri), Pengurus Pemasaran Sukan, MILO®, Ng Ping Loong (lapan dari kiri).

 

Dalam Kategori Muhibbah pula, JPN Melaka berjaya merangkul gelaran juara, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh JPN Labuan dan JPN Terengganu.

Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga membawa pulang hadiah dalam bentuk peralatan sukan yang masing-masing bernilai RM5,000, RM4,000 dan RM3,000.

Pertandingan itu adalah sebahagian daripada gerakan senam aerobik yang dilancarkan oleh MILO® menerusi kerjasama strategik dengan KPM di bawah inisiatif 1Murid 1Sukan.

Activ Jam Senam Aerobik membabitkan dua juta pelajar dalam setahun, atau 16,000 pelajar sehari, di seluruh negara bagi menekankan kepentingan gaya hidup aktif, di samping memupuk semangat cinta akan sukan bermula pada usia yang muda.

Ia juga hasil positif Bengkel 1Murid 1Sukan, iaitu satu program latihan untuk melengkapkan guru-guru dengan kemahiran dan pengetahuan sukan, sekaligus membantu mengangkat status senam aerobik sebagai sukan kompetitif bagi menggalakkan murid-murid kekal aktif.

Lebih daripada 5,120 guru telah dilatih menerusi program tersebut sejak ia dimulakan pada tahun 2015.

KPM, baru-baru ini, telah berganding bahu dengan rakan-rakan kerjasama program sukan MILO® yang lain bagi menyatukan lebih ramai rakyat Malaysia di bawah gerakan MILO® Aktif Negaraku.

Menghimpunkan semua program sukan MILO® termasuk MILO® Hidup Bola, MILO® Champions Clinic dan MILO® Activ Jam Senam Aerobik di bawah satu platform, MILO® Aktif Negaraku merupakan seruan kepada rakyat supaya mengamalkan gaya hidup aktif. 

Murid SK Jasin mempersembahkan aerobik mereka di Grand Final Aerobik MILO® Activ Jam.

JPN Terengganu mempersembahkan senamrobik mereka di Grand Final Aerobik MILO® Activ Clock.

Artikel Menarik:

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Guru cemerlang ini kongsi tip lulus temuduga Tahfiz Model Ulul Albab

Tiga kantin sekolah ini menjadi sebutan hingga ke peringkat KPM, patutlah mereka menang anugerah

'Sikap Aiman hanya satu dalam seribu' - Guru luah rasa sebak bila Aiman buat ini padanya

Teknik belajar 'last minute' yang patut pelajar tahu...tapi jangan amalkan selalu tau