KUALA BESUT - Bagi memastikan kecemerlangan pelajar terus meningkat, Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menganjurkan pelbagai program kecemerlangan akademik dan motivasi untuk pelajar.

Koordinator Pendidikan Dun Kuala Besut, Faizul Abdul Rahman berkata, Tengku Zaihan amat peka dengan kemajuan pendidikan masyarakat di daerah ini terutama Kuala Besut, serta sentiasa menggalak dan menyokong pihak sekolah menganjurkan bengkel atau kelas motivasi untuk pelajar.

Menurutnya, terbaharu, Pejabat Penyelaras Dun Kuala Besut dengan kerjasama Majlis Pengetua dan Guru Besar Zon Kuala Besut, Kumpulan Media Karangkraf serta Guru Bimbingan dan Kaunseling Zon Kuala Besut menganjurkan program motivasi 'Serlahkan Potensi Kendiri' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut, semalam.

“Program separuh hari itu membabitkan 500 pelajar tingkatan empat daripada tiga sekolah di Dun Kuala Besut iaitu SMK Kuala Besut, SMK Seri Bukit Puteri dan SMKA Nurul Ittifaq.

"Dua pakar motivasi turut dijemput untuk menjayakan program ini iaitu Profesor Madya Norzanah Mohd Nor dari Universiti Teknologi Mara dan Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas Sinergy Akademi, Fazrul Ismail," katanya.

Norzanah ialah pensyarah berasal dari Kuala Besut, sementara Fazrul pula ialah pakar motivasi terkenal.

Kumpuan Media Karangkraf menaja kedatangan Fazrul yang turut menyampaikan ceramah motivasi di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, semalam dan Sekolah Menengah Imtiaz Besut, hari ini, membabitkan seramai 600 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seluruh Besut.

Sementara itu, Tengku Zaihan berkata, pendidikan mampu mengubah kehidupan masyarakat dan juga negara.

Tambahnya, banyak bukti menunjukkan nasib sesebuah keluarga miskin mampu berubah setelah anak-anak berjaya dalam pelajaran dan memperoleh pekerjaan yang baik.

"Hasrat mengadakan program motivasi ini sebenarnya untuk kecemerlangan anak bangsa dalam pelbagai aspek termasuk akademik dan kerohanian, sekali gus mencegah mereka daripada terjebak dengan pengaruh negatif seperti dadah.

"Program ini perlu dianjurkan lebih awal untuk memberi lebih ruang kepada pelajar untuk memperbaiki potensi diri,” katanya yang turut menaja bahan bacaan untuk pelajar yang terlibat program hari ini.