SHAH ALAM - Agihan peruntukan penyelenggaraan mengikut jenis sekolah telah mengambil kira keperluan sebenar sekolah-sekolah dari segi penyelenggaraan  dan naik taraf.

Menterinya, Dr Mazlee Malik berkata, itu juga berdasarkan kepada kemampuan kewangan semasa kerajaan. Pertimbangan bagi penyaluran peruntukan  penyelenggaraan adalah seperti berikut:

a. Berdasarkan skala keutamaan pada Skor Gred Impak

Keutamaan pelaksanaan penyelenggaraan diberikan kepada kerja-kerja pada Skala Keselamatan (Skala 5 hingga 7).

Penyaluran peruntukan disegerakan sekiranya aset-aset fizikal mahupun fasiliti bangunannya tidak sempurna, tidak berfungsi atau tidak selamat digunakan. Selain daripada itu, kerosakan tersebut boleh mendatangkan ancaman dan bahaya sehingga mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

b. Berdasarkan keperluan yang telah dikenalpasti

Peruntukan penyelenggaraan akan disalurkan berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh penyelia institusi pendidikan di mana keperluan mereka telah  diverifikasi oleh KPM.

Beliau menjawab soalan berkaitan agihan peruntukan dan asas pertimbangan yang digunakan untuk sekolah-sekolah di seluruh negara yang dibangkit oleh Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob (Adun Bera, Pahang), Datuk Seri M Saravanan (Adun Tapah, Perak), Ahmad Fadhli Shaari (Adun Pasir Mas, Kelantan), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Adun Arau, Perlis), Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican (Adun Kepala Batas, Pulau Pinang), Shaharizukirnain Abd Kadir (Adun Setiu, Terengganu) dan Yusuf Abd Wahab (Adun Tanjong Manis, Sarawak).

Menurut Maszlee, Kementerian juga meluluskan peruntukan yang besar di bawah peruntukan pembangunan bagi meneruskan pelaksanaan pembangunan sekolah kebangsaan.

"Ini bagi memastikan setiap sekolah mendapat peruntukan yang bersesuaian untuk tujuan bina baru dan penggantian semula," jelasnya.

Dalam pada itu, Maszlee turut menjawab kepada cadangan Datuk Seri Ahmad Maslan (Adun Pontian, Johor) berkenaan peruntukan sebanyak RM250,000.00  kepada setiap sekolah berbanding agihan peruntukan mengikut jenis atau kategori sekolah.

"Kementerian mengambil maklum terhadap cadangan tersebut, namun cadangan untuk memberikan bantuan kewangan penuh tanpa mengira jenis dan kategori  memerlukan penelitian lanjut di peringkat dasar dan tertakluk kepada keperluan masing-masing.

"Adalah tidak wajar untuk menyamaratakan peruntukan tanpa mengambil kira faktor sekolah yang lebih memerlukan dengan sekolah yang sudah lengkap  fasilitinya," katanya.

Kata beliau lagi, untuk makluman, penyaluran peruntukan adalah berdasarkan kepada peruntukan belanja mengurus dan belanja pembangunan yang diluluskan  oleh Kementerian Kewangan dengan mengambil kira kedudukan kewangan semasa negara.

"KPM membuat penyaluran kepada Bahagian/Jabatan Pendidikan Negeri atau terus ke akaun sekolah berdasarkan peruntukan sedia ada.

"Sekiranya berlaku kekurangan peruntukan, KPM akan membuat penjajaran peruntukan dalaman mengikut keutamaan program atau mengemukakan permohonan  peruntukan tambahan kepada Kementerian Kewangan," katanya.

Sementara itu, kata Maszlee, KPM sentiasa berusaha untuk menambah baik dan menaik taraf fasiliti pendidikan bagi memastikan persekitaran pembelajaran  selamat dan kondusif.

"Dalam konteks pembangunan semula sekolah daif, pelaksanaan pada tahun 2019 telah ditambah baik dari aspek penggunaan skala impak, kaedah pelaksanaan  dan skop pembinaan termasuk rumah guru dan makmal.

"Keutamaan diberikan kepada sekolah yang telah mendapat pengesahan tidak selamat daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Dari segi prestasi projek pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara pula, sebanyak 534 projek dilaksanakan bagi hingga tahun 2018," katanya.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 452 buah sekolah telah mendapat Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC).

"Manakala bakinya sebanyak 82 sekolah masih dalam pelaksanaan. Jumlah projek bagi tahun 2019 pula adalah sebanyak 43 projek. Lima (5) projek dalam fasa perolehan. Selebihnya iaitu 38 sekolah dalam fasa pembinaan dan dijangka siap antara Disember 2019 hingga Februari 2020," jelas beliau.

Maszlee berkata lagi, bagi projek pembangunan semula dan menaik taraf sekolah daif khusus di Sarawak seperti yang dibangkitkan 15 Adun, sebanyak RM400 juta telah diperuntukan bagi projek-projek baru dan sambungan.

"Peruntukan RM50 juta yang telah dinyatakan di dalam Belanjawan 2020 bagi projek-projek sambungan, akan dibelanjakan untuk kerja-kerja awalan bagi 30  sekolah daif yang telah dikeluarkan Surat Setuju Terima kepada kontraktor.

"Manakala bakinya akan dibelanjakan untuk dua lagi projek sekolah daif yang masih dalam proses reka bentuk.

Katanya, bagi peruntukan projek-projek baru, sebanyak RM350 juta diperuntukan untuk 37 projek sekolah daif di negeri Sarawak sahaja.

"Skop bagi projek-projek ini merangkumi pembinaan bilik darjah, blok pentadbiran, asrama, rumah guru, dewan makan, tandas sekolah, pra-sekolah, pusat sumber,  bilik khas dan bilik sains.

"Sehingga kini, tujuh (7) projek telah ditender manakala 30 projek lagi dijangka akan ditender oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak pada November dan  Disember 2019," jelasnya.

Seterusnya bagi isu pembangunan semula sekolah daif di negeri Sabah pula telah dibangkitkan oleh tujuh Adun dari Sabah.

"Untuk makluman, Peruntukan Pembangunan tahun 2019 diluluskan sebanyak RM10 juta untuk pelaksanaan pembangunan semula dan menaik taraf tiga buah  sekolah daif di Sabah.

Pelaksanaan projek ini merangkumi skop 13 pembinaan gantian bilik darjah, asrama, dewan makan, dewan belajar, blok pentadbiran, kuarters guru dan tandas di SK Sungai-Sungai, SK Nibang, Pitas dan SK Tiong Wido, Tambunan.

"Sehingga kini, ketiga-tiga projek tersebut sedang dalam proses penilaian tender. Selain itu, peruntukan sebanyak RM78 juta juga telah diluluskan bagi  pembangunan semula dan menaik taraf 19 buah sekolah daif di Sabah di bawah peruntukan Private Finance Initiative (PFI).

"Pelaksanaan projek ini adalah di bawah seliaan JKR Sabah. Senarai 587 buah sekolah daif di Sabah sedang diteliti dan dipertimbangkan di peringkat dasar KPM. Pelaksanaan projek ini bergantung kepada kelulusan peruntukan oleh agensi Pusat dan akan dilaksanakan secara berperingkat," katanya.

Dalam pada itu, Maszlee turut berkata, bagi projek pembangunan semula dan menaik taraf sekolah daif khusus di Semenanjung Malaysia, sebanyak RM116.6 juta telah diperuntukan bagi projek baharu dan sambungan.

"Peruntukan sebanyak RM110 juta yang telah dinyatakan di dalam Belanjawan 2020 adalah bagi projek sambungan sedia ada yang sedang berada dalam pelbagai  peringkat pelaksanaan.

"Bagi peruntukan projek baharu, sebanyak RM6.6 juta telah diperuntukan untuk 22 projek sekolah daif di Semenanjung Malaysia iaitu di Johor sebanyak lima buah, di Kedah sebanyak lima  buah, di Pahang sebanyak empat buah, di Perak sebanyak dua buah, di Selangor sebanyak empat buah, dan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak dua buah," katanya ketika menjawab kepada isu berkaitan sekolah daif di Semenanjung Malaysia yang dibangkitkan oleh Steven Choong Shiau Yoon (Adun Tebrau, Johor) dan Karupaiya a/l Mutusami(Adun Padang Serai, Kedah).

Beliau berkata, bagi memastikan semua projek pembangunan semula dan naik taraf sekolah daif berjalan lancar, KPM turut bekerjasama secara rapat dengan Kementerian Pendidikan, Sains Penyelidikan Teknologi Sarawak, Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah dan semua Jabatan Pendidikan Negeri dan sentiasa mengadakan mesyuarat secara berkala bagi memilih dan menentukan sekolah daif yang akan dibaik pulih.

"Saya sendiri memantau pelaksanaan penaiktarafan sekolah daif secara dekat melalui dashboard yang disediakan di dalam pejabat saya.

"Harapan saya, biarlah istilah sekolah daif di Sabah dan Sarawak ini hanya mendiami lipatan sejarah serta menjadi ungkapan dalam bentuk past tense dan fi i’l madhi selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan perbahasan rang undang-undang perbekalan 2020 peringkat dasar di Dewan Rakyat semalam.

Artikel lain:

Tiada pengasingan aliran di sekolah sebagai persediaan bentuk kerjaya

PSP bagi murid sekolah rendah utamakan pendekatan 'nutrition security' nutrisi

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Cara pengiraan untuk ganjaran Gantian Cuti Rehat dengan wang tunai