Selepas dua minggu artikel bertajuk 'Luahan hati seorang guru OKU yang pasti meruntun hati semua' tular di media sosial, GPS Bestari.com menerima pelbagai respons positif dalam kalangan netizen.

Majoriti rakyat Malaysia memberi kata-kata semangat buat Cikgu Mohd Huzaire Ahmad ini.

Tidak kurang juga, ada yang mendoakan agar cikgu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Mempaga 2, Bentong, Pahang ini terus diberikan kesihatan yang berpanjangan.

GPS Bestari.com sekali lagi menemu bual Cikgu Mohd Huzaire mengenai artikelnya yang menjadi tular baru-baru ini.

Kata guru Pendidikan Muzik di sekolah itu, selepas tular kisah hidupnya, kehidupan mula berubah sedikit demi sedikit.

"Selepas berita saya tersiar, saya dihujani pelbagai pertanyaan daripada orang ramai melalui komen di facebook dan ada juga yang pm saya.

"Ada yang bertanya, bagaimana saya boleh meneruskan kehidupan dalam keadaan begitu dan bagaimana saya boleh mengajar dalam keadaan serba kekurangan.

"Kemudian, bila saya berada di mana-mana lokasi, ramai yang pandang dan menunjukkan tanda positif. Ada senyuman daripada wajah yang saya tidak kenali. Tidak kurang juga yang menunjukkan tanda bagus. Sesungguhnya apa yang berlaku ini, memang di luar jangkaan saya," katanya gembira.

Menurut Cikgu Mohd Huzaire lagi, akaun facebook miliknya, Mohd Huzairee Ahmad bertambah meriah dengan ratusan 'sahabat baru' yang ingin berkenalan.

"Saya sangat terkejut kerana ramai yang prihatin terhadap insan seperti saya.

"Sahabat baru saya ini terdiri daripada orang perseorangan, mantan guru besar, bekas murid, wakil persatuan OKU dan sebagainya.

"Mereka bukan sahaja ingin berkenalan tetapi turut bersimpati dan menasihati saya supaya lebih kuat serta menghasilkan lagi karya seperti ini agar dapat menjadi contoh kepada insan lain," katanya.

Akhir sekali, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada GPS Bestari.com kerana menyiarkan kisah hidupnya itu.

"Semoga artikel ini dapat dimanfaatkan oleh insan lain terutamanya golongan yang senasib dengan saya.

"Buat anda, yang mungkin seperti saya, jangan cepat mengalah. Anggaplah apa yang berlaku ini sebagai ketentuan dari ALLAH dan teruskanlah perjuangan anda dalam lapangan yang diceburi," katanya.

Cikgu Mohd Huzaire sedia membantu rakan guru lain yang memerlukan kata-kata motivasi, supaya sama-sama bersemangat dalam meneruskan perjuangan sebagai pendidik.

 

Antara kata-kata semangat dan komen yang diberikan kepada Cikgu Mohd Huzaire.