KUALA TERENGGANU - Sebahagian tangan kanan mangsa mercun, Syafiq Haiqal Shaharrudin, 13, terpaksa dipotong setelah kelima-lima jarinya putus sewaktu bermain mercun di Kampung Kubang Ikan, Jertih, Besut, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, mangsa telah menjalani pembedahan kira-kira jam 10 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

“Pembedahan kecemasan amputasi di pertengahan lengan bawah itu terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan mangsa. Keadaan mangsa sekarang ini stabil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dr Mohd menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan pelajar itu mungkin terpaksa memakai tangan palsu selepas ini.

Sebelum itu, pelajar Tingkatan Satu dari Jertih, Besut berkenaan memasuki Dewan Bedah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kira-kira jam 9 pagi, dan diusung keluar setelah selesai menjalani prosedur pembedahan kali pertama.

Ibunya, Zainab Mohd, 40, yang juga ibu tunggal ketika ditemui berkata, anaknya itu ada mengadu sakit sebelum menjadi pembedahan tersebut dan tidak dapat tidur sepanjang malam.

“Nak kata apa lagi, benda dah berlaku. Saya anggap ini ujian Ramadan dan reda walaupun sedih dengan apa yang berlaku pada dia,” katanya ketika ditemui media di HSNZ.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin turut membuat kunjungan bagi menzahirkan simpati kepada keluarga Shafiq Haikal di HSNZ.

Jelas beliau, daripada apa yang dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh kepadanya, pihak hospital akan cuba memastikan pembedahan dijalankan masih membolehkan tangan Syafiq Haiqal digunakan.

“JPNT telah memberi peringatan kepada guru besar dan pengetua sekolah untuk mengingatkan murid dan pelajar supaya mengelak bermain mercun. Ini peringatan biasa setiap kali Ramadan, tetapi kejadian seperti ini masih berlaku.

“Kita ucapkan takziah atas kejadian malang ini dan percaya Syafiq Haiqal kuat untuk melalui apa yang berlaku.

“Dalam masa sama, saya harapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar dapat menghulurkan bantuan untuk keluarga Syafiq Haiqal memandangkan ibunya seorang ibu tunggal,” katanya.

INFO

Mangsa telah menjalani pembedahan kira-kira jam 10 pagi kelmarin di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

Artikel lain:

'Seorang pelajar Kolej Vokasional maut, 24 lagi cedera' - Polis masih siasat punca

'Menjadi guru bukan pilihanku, namun ALLAH lebih tahu segalanya' - GB SK Beruas

Hujan lebat, guna plastik sampah balut anak - Guru pedalaman ini kongsi kisah sesat dalam hutan

Tahniah! SMK Panji Alam takluk Eropah gondol empat anugerah utama tewaskan pasukan dari 100 negara

Warga SK Taman Cahaya Masai bersyukur semua pelajar selamat ketika kes pembuangan sisa kimia