SETIAP insan mempunyai kisah hidup masing-masing. Ada yang bahagia dan sebaliknya. Belum lagi bercerita tentang zaman kecil yang sangat nakal.

Di sini kami ingin kongsikan kisah seorang guru yang sangat dikenali ramai dan mempunyai wajah iras artis Korea iaitu Mohd Fadli Salleh.

Kisah zaman sekolahnya yang sangat nakal walaupun dia anak seorang pengarah maktab perguruan ketika itu.

 

+++

Aku ini cikgu biasa sahaja. Baru masuk 14 tahun mengajar di sekolah rendah. Baru ada seorang isteri dan empat anak lelaki.

Zaman kecil hingga ke alam remaja dulu, aku ini pelajar yang nakal. Sangat nakal. Pelbagai angkara dilakukan hingga adalah menjadi satu benda pelik jika aku tidak kena rotan atau kena penampar dengan cikgu dalam seminggu.

Sampai pernah ada yang berkata,

"Kamu ini memalukan nama sekolah sahaja. Tiada lagi tempat untuk awak di sekolah ini. Kamu hanya memberi pengaruh buruk dan mampu mempengaruhi orang lain menjadi nakal juga."

Sedih dan pedih betul kena ayat itu dihadapan barisan guru-guru lain.

Sebelum itu, dalam bilik yang sama aku dirotan berkali-kali hingga kulit bontot pun terluka. Pedih tak terkata, namun ayat itu lebih perit lagi untuk aku telan.

Masa itu tak nampak orang dah. Penumbuk dah genggam, aku bangkit dari duduk nak amuk sahaja.

Tapi masa itu, ada seorang yang paling aku hormati dalam dunia yang menahan dan menyabarkan.

Abah.

Ya, abah turut berada di bilik yang sama kerana waktu itu aku dihadapkan dengan pelbagai pertuduhan disiplin dan abah dipanggil untuk mendengar hukuman.

Seperti kau agak, aku dibuang. Huhu, sadiskan?

Masuk ke maktab pun, perangai itu masih dibawa. Angkara demi angkara dilakukan dalam mencari hala tuju hidup ini dan dalam usaha mengenal diri sendiri.

Dan di maktab pun pelbagai peristiwa berlaku. Bahkan hampir dibuang juga masa di sana pun.

Hadap HEM berkali-kali, buat surat tunjuk sebab, buat rayuan dan kerana abah juga aku berjaya tamatkan pelajaran.

Masa aku dikandang pertuduhan untuk di buang setelah berkali-kali diberi peluang, nama abah mereka perasan.

Walau jasad abah tidak hadir, nama itu mereka segan.

Punya aku sorok siapa abah kerana aku tidak mahu malukan abah kerana keliaran aku. Sesiapa sahaja bertanya tentang pekerjaan abah, aku cuma cakap 'cikgu'.

Padahal masa tu abah Pengarah Maktab Perguruan Kota Bharu. Huhu.

Selama 4 semester aku berjaya sorok nama dan pekerjaan abah dan ianya terbongkar dihari aku hampir dibuang. Mujur kes aku mereka tak laporkan pada abah dan aku diberi peluang terakhir.

Namun sampai 10 tahun selepas aku kerja pun abah tidak tahu nama dia yang menyelamatkan aku. Abah tidak tahu keliaran dan kenakalan aku. Aku baru cerita baru-baru ini sahaja. Tu pun bukan kisah keliaran, kisah hampir dibuang sahaja. Geleng kepala abah mendengarnya. Haha.

Aku rela dihukum, dirotan, disakiti, dan didenda apa jua pun. Aku akan menahan segala perit apa pun hukuman. Asalkan angkara dan kenakalan aku tidak sampai ke telinga abah dan ma.

Dua insan yang paling aku hormati di dunia ini. Aku tidak mahu mereka terluka dan risaukan aku.

Bab belajar, bab peperiksaan, alhamdulillah. Tuhan kurniakan otak yang tajam pada aku. Bab melanggar disiplin dan peraturan tu paling payah aku nak elak.

Akhirnya aku berjaya menamatkan pengajian di maktab selepas 3 tahun dengan penuh cabaran dan dugaan.

Sekolah pertama aku mengajar ialah Sekolah Kebangsaan Mambang, Pekan.

Sekolah ini 70% muridnya adalah orang asal. Datang dengan sekolah dengan pakai baju tidur tanpa mandi itu biasa.

Anak-anak ini perlu harungi sungai dan tasik, naik pula lori kayu untuk sampai ke sekolah aku.

Dan saat menatap mata anak-anak yang dahagakan ilmu ini banyak mengubah aku.

Mereka begitu naif, begitu suci, begitu inginkan seseorang menghulurkan tangan membimbing mereka dengan kasih sayang.

Dan sebaik menyambut tangan mereka, aku terus bertekad untuk lakukan sehabis baik yang boleh aku lakukan.

Diberi pula amanah mengajar tahun satu dan tahun enam, memang betul-betul menguji kekuatan mental aku.

Hari demi hari, pengalaman bersama tahun satu itu banyak mendidik sikap sabar aku.

Memang mencabar anak-anak di tahun satu ini. Pernah murid orang asal tidak datang ke sekolah dua minggu lepas kena marah dengan aku.

Menyesal teruk aku masa tu. Rasa bersalah dan terus ubah diri untuk lebih mengasihi dan mendekat.

Empat tahun di sana banyak pengalaman ditimba. Selepas itu aku bertukar ke Sk Taman Melawati (2) pula. Tempat anak-anak orang kaya dan elit belajar.

Anak Awie tu pun pernah merasa dirotan aku. Hahaha. Aku tak kisah siapa ayah dia, selagi dia murid aku, selagi aku tahu itu yang terbaik untuk mendidiknya, aku akan mendidik tanpa ragu.

Di sini pun macam-macam hal berlaku. Pernah diugut nak saman, diugut nak ditukarkan dan macam-macam lah.

Kat sini karenah geng kolar putih, yang ada driver hantar anak naik kereta Bentley, yang sangat manjakan anak pula aku kena hadap.

Tujuh tahun di sana. Pahit manis, masam masin semua ada.

Di sana aku punya ramai kawan-kawan yang sejiwa. Yang macam adik-beradik sendiri, yang sangat menjaga antara satu sama lain.

Dan di sana bermulanya projek Dana Kita secara kecil-kecilan.

2016 aku ditukarkan ke SK Gombak(1)  hingga sekarang. Dan di sini aku masih mencari diri sendiri, masih mencari pengalaman, masih menyebarkan kasih dan sayang.

Jadi mohon maaflah jika pernah ada bait-bait kata yang tegas, keras, degil dan melawan dalam penulisan aku. Sisi itu masih ada dalam diri dan aku masih mencuba untuk menjadi lebih baik dari hari ke hari.

Eh, tadi aku cakap nak tulis serba sedikit. Ni dah panjang berjela-jela pula.

Haha, kalau dah penulis, beginilah gayanya. Oh ya, aku juga penulis buku. Punya empat buah buku setakat ini dan InsyaAllah di PBAKL2019 nanti ada empat lagi naskah judul baru.

Cukuplah dulu pengkisahan untuk kali ini.

Dan aku berharap, guru-guru muliaku yang pernah mendidik aku suatu ketika dahulu tidak lagi malu hendak mengaku,

"Itulah muridku yang dahulunya nakal."

Aku juga berharap, sekolah yang pernah malu dengan aku kini boleh berkata,

"Itu bekasan pelajar lepasan Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang."

Moga-moga aku hari ini tidak lagi memalukan sesiapa sahaja yang berkaitan dengan aku.

Aku bukanlah sesiapa untuk dibangga-bangga, aku bukanlah orang sempurna yang sangat baik, namun aku tidak pernah berhenti mencuba untuk mengubah diri menjadi lebih baik.

Salam perkenalkan buat semua.

 

Mohd Fadli Salleh

#MFS

- Manusia itu boleh berubah. Buka hati, pasti nampak sinar dalam diri -