TUMPAT - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Biji Wangsa mencipta sejarah  apabila seorang pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terbaik peringkat kebangsaan.

Lebih membanggakan, Nur Solehah Zahari, 20, satu-satunya pelajar Melayu antara empat pelajar terbaik Kebangsaan dari Kelantan.

Tiga lagi adalah Dhivya Janani Mariappan dan Wee Chin Seng memperoleh lima prinsipal A (SMK Dato' Mahmud Paduka Raja (1), Tanah Merah) serta Leong Yean Thyn yang memperoleh empat prinsipal A (SMK Sultan Yahya Petra (1), Kuala Krai).

Rahsia kejayaan Nur Solehah yang memperoleh empat prinsipal A adalah mendampingi al-Quran.

Nur Solehah berkata, itu rahsia kejayaannya selain membaca al-Quran dia juga mengamalkan surah Yasin ayat 83 selepas solat lima waktu.

"Sebelum mengulangkaji pelajaran, saya baca al-Quran dulu.

"Serta amalkan surah Yasin ayat 82 serta solat hajat dan dengan izinNya saya memperoleh kejayaan," katanya.

Menurutnya, walaupun tidak ramai yang berminat mengikuti pengajian ke tingkatan enam tetapi baginya ia satu pilihan bijak.

"Di sini kejayaan ­dicipta, malah lebih berbaloi kerana dapat menjimatkan masa pengajian dan bebas hutang Perbadanan ­Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)," ­katanya.

Nur Solehah merupakan pelajar sekolah arab di Maahad Muhammadi Tumpat ketika di tingkatan lima dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh  6A.

Menurutnya, dia menolak tawaran ke universiti dengan sijil SPM kerana tawaran yang diterimanya bukan bidang perguruan.

"Saya mahu jadi guru, bila tawaran yang diterima bukan bidang saya minat, saya ambil keputusan masuk ke tingkatan enam," katanya berasal dari kampung Dalam Rhu, di sini.

Nur Solehah antara 39 pelajar STPM dan 9 pelajar SPM yang cemerlang  dirai sempena Hari Anugerah Cemerlang SPM dan STPM Tahun 2018, ­kelmarin.

Sementara itu, Pengetua SMK Dato' Biji Wangsa, Wahab Abdul Rahman berkata, selama 54 tahun penubuhan sekolah, ini pengiktirafan yang menerpa nama sekolah ini.

Malah katanya, sejak dibuka tingkatan enam di sekolah ini pada tahun 2002, sejarah tercipta apabila tahun ini keputusam STPM cemerlang di peringkat kebangsaan.

"Tahniah kepada Nur Solehah, guru-guru tingkatan enam dan lima, ­di atas komitmen mendidik anak-anak pelajar ini," ­katanya.

Sempena anugerah tersebut, Nur Solehah bersama dua lagi rakannya, Suria Eh Tet, 20, dan Mohd Ridzuan Haron, 20, mendapat lima prinsipal A menerima anugerah khas dan sumbangan wang tunai RM2,000 daripada pihak sekolah.Lebih membanggakan, Nur Solehah Zahari, 20, satu-satunya pelajar Melayu antara empat pelajar terbaik Kebangsaan dari Kelantan.