SERDANG - Bertemakan ‘Pendidikan untuk Semua’, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik membentangkan hala tuju Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menambah baik corak pembinaan bangsa melalui pendidikan.

Majlis diadakan buat julung kali di bawah pentadbiran kerajaan baharu dan susulan penggabungan dua kementerian yang dahulunya dikenal sebagai KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Dalam Amanat Menteri Pendidikan Tahun 2019 yang sulung ini, selain menyentuh cabaran mendepani pendidikan dalam menuju Wawasan 2020, Maszlee turut mengumumkan beberapa perkara penting.

Antaranya berkaitan lima inisiatif mengurangkan beban guru dan mengembalikan kewibawaan pengajian tinggi, selain memberi penekanan terhadap golongan tercicir seperti orang kurang upaya (OKU) dan pelajar miskin kerana mereka juga mempunyai hak sama dalam mendapat pendidikan.

“Kunci utama untuk kita menuju Wawasan 2020 ialah melalui pendidikan. Untuk membentuk masyarakat bersatu padu, pendidikan adalah titik mulanya.

"Bagi melahirkan masyarakat demokratik, bermoral, beretika dan penyayang, pendidikan adalah terasnya. Pendidikan adalah jalan sebenar menuju Wawasan 2020,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 3,000 hadirin di Dewan Besar, Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.

Menurutnya, asas pendidikan adalah melahirkan insan yang berfungsi di tengah setiap komuniti dan masyarakat.

Justeru, pendidikan adalah tanggungjawab semua.

Maszlee turut menegaskan, mendidik bukanlah tugas guru semata-mata, sebaliknya semua pihak berperanan dalam mendidik dan menggalas tanggungjawab secara bersama demi masa depan negara.

Hadirin memenuhi Dewan Besar UPM bagi mendengar amanat disampaikan Menteri Pendidikan, semalam.
 

Kurangkan beban guru

Bagi memastikan tugas mendidik kepada pelajar dapat dijalankan dengan penuh kasih sayang, kementerian sedang berusaha mengurangkan beban tugas guru dengan menggariskan lima inisiatif daripada sembilan intervensi.

Lima inisiatif itu adalah:

1. Memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi dalam pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), fail panitia dan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

2. Pengurusan data dan sistem online boleh diambil daripada sumber data sedia ada di dalam sistem KPM, selain menggunakan sepenuhnya Sistem Kehadiran Murid dalam talian tanpa perlu mengisi buku.

3. Pihak sekolah boleh merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi (Linus) yang bersesuaian dengan keperluan murid.

4. Penyeragaman borang dan proses pemantauan.

5. Penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah.

“Lima inisiatif ini adalah langkah pertama untuk meningkatkan kualiti pengajaran, manakala langkah kedua akan melibatkan lebih banyak latihan dan kursus bagi memastikan guru mampu memberikan pengajaran yang terbaik,” kata Maszlee.

Maszlee merasmikan Buku Plan Transformasi ICT Kementerian Pendidikan 2019-2023 diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Mohd Gazali Abas (kanan) dan Nie Ching.

Hak pendidikan sama rata

Beliau akui, seharusnya dalam mengangkat agenda pendidikan inklusif, golongan OKU, B40, Orang Asli dan kanak-kanak tanpa dokumen perlu mendapat pendidikan sama rata seperti murid lain.

Mulai tahun ini juga, kementerian telah melaksanakan Dasar Sifar Penolakan (Zero-reject Policy) secara menyeluruh bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK).

Ini bagi memastikan tiada murid dalam kalangan OKU dinafikan daripada memasuki alam persekolahan.

“Kita akan memastikan mulai tahun ini, pintu institusi pendidikan akan terbuka seluas-luasnya kepada semua kanak-kanak dan pelajar yang berhak,” katanya.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai Dasar Sifar Penolakan boleh baca artikel menerusi link di bawah:

https://www.gpsbestari.com/berita/putrajaya/dasar-zero-reject-policy-diperkasa-supaya-murid-kurang-upaya-tidak-terpinggir-1.917587

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.920789.1547519901!/image/image.JPG

Maszlee melawat pameran hasil tanaman Universiti Putra Malaysia (UPM) ketika Majlis Amanat Menteri Pendidikan 2019.

Kembalikan wibawa universiti

Universiti adalah medan intelektual terbuka kerana di situlah tempat berlakunya pendebatan teori, pergaduhan wacana dan perkongsian ilmu.

Inilah sebenarnya neraca kualiti setiap universiti.

Hal ini bertepatan dengan hala tuju ‘ketinggian kualiti’ yang mana menggalakkan universiti suburkan budaya dialog, forum, debat, wacana dan program lain bersifat intelektual ke arah memberi penyelesaian kepada masalah masyarakat dan membangunkan negara.

Dalam pada itu, Maszlee berkata, antara usaha pertama adalah dengan memansuhkan Seksyen 15 (1) (c) yang mengekang penglibatan mahasiswa dalam aktiviti politik di dalam kampus secara sah.

Ini sejajar dengan hasrat kerajaan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

“Selain itu kita sedang berusaha untuk mewujudkan Kesatuan Pelajar (Students’ Union) bagi menggalakkan lebih ramai mahasiswa diberi peranan dan peluang dalam proses membuat keputusan di universiti masing-masing.

“Tidak terkecuali politeknik dan kolej komuniti juga tidak akan dipinggirkan daripada radar terutama dalam meningkatkan kualiti dan penyampaian program TVET untuk menambah baik kebolehpasaran graduan,” katanya.

Amanat Menteri Pendidikan tahun 2019 ini turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Terdahulu, Maszlee berkesempatan merasmikan Buku Pelan Transformasi ICT KPM 2019 2023.

 

Maszlee turut melawat pameran koleksi sejarah ketika Majlis Amanat Menteri Pendidikan 2019.

Maszlee bersama barisan tertinggi KPM ketika Majlis Amanat Menteri Pendidikan 2019 di UPM.

Maszlee bersama bekas gurunya Ustaz Sakijan Muri.

Maszlee sempat beramah mesra bersama pelajar.