KUALA LUMPUR - Minat mendalam dalam bidang robotik membuka peluang kepada pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks KLIA ini untuk lebih aktif menyertai pertandingan mencipta robot.

Lebih menarik dia bukan sahaja menyertai pertandingan di dalam negara malah namanya tersenarai di peringkat antarabangsa.

Bermula dengan ciptaan robot kenderaan pacuan empat roda Amer Khawarizmi Zulkarnain mula menyertai beberapa pertandingan mencipta robot.

Anak sulung daripada dua beradik ini juga pernah mengambil bahagian pada pertandingan di Politeknik Tuanku Sultanah Bahayiah, Kulim pertengahan tahun lalu dan mendapat tempat ketiga.

Menurut Amer Khawarizmi, ibu dan bapanya adalah individu yang paling banyak memberi dorongan untuk menceburkan diri dalam bidang tersebut.

“Mereka sentiasa memberi galakan kepada saya selama ini. Tanpa mereka, pasti sukar untuk saya kekal dalam bidang ini,” katanya.

Gambar kenangan Amer ketika menyertai satu pertandingan di peringkat antarabangsa.

Artikel berkaitan:  Pelajar SMK Kompleks KLIA juara dunia pertandingan robotik antarabangsa di Turki

Menang di Tokyo

Mengimbau kenangannya sebelum ini Amer berkata, dia bersama ibunya, Suzana Adenan, 39, dan bapa, Zulkarnain A Nawani, 38, pernah mewakili Malaysia dalam Pertandingan Robot Sumo Terbuka Jepun di Tokyo, Jepun Mei lalu.

Amer Khawarizmi layak ke pertandingan anjuran Fujisoft Inc itu selepas pasukannya dinobatkan sebagai pasukan terbaik negara pada Kejohanan Robot Sumo Dunia dan Terbuka Malaysia di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

“Pada waktu itu saya bertanding dalam kategori Robot Sumo Autonomous. Ibu dan ayah pula menjadi pembantu dan pengurus pasukan sepanjang kejohanan itu,” katanya.

Mengulas mengenai robot sumo ciptaannya itu, Amer berkata dia mengambil tempoh sebulan untuk menyiapkan dengan bantuan bapanya yang juga seorang jurutera.

Katanya, antara cabaran utama menyiapkan robot tersebut adalah memastikan semua komponen dipasang dengan betul.

“Saya selalu jadikan Youtube sebagai rujukan untuk mendapat idea sebelum membuat pengubahsuaian sendiri.

“Saya memang tidak meletakkan harapan ketika pertandingan di Tokyo itu namun kami nekad melakukan yang terbaik untuk negara dan akhirnya berjaya memenangi pertandingan itu,” katanya.

Gambar kenangan Amer ketika menyertai Pertandingan Robot Sumo Terbuka Jepun di Tokyo.

Menurut Amer, kemenangannya pada Pertandingan Robotik Antarabangsa Kahramanmaras pada Mei turut melayakkan dia membawa pulang piala dan wang tunai 5,000 lira (RM3,372).

Pelajar ini bersyukur kerana dapat mengharumkan nama negara dalam pertandingan bertaraf antarabangsa.

“Demi pertandingan ini, saya pernah minta menunda tarikh peperiksaan pertengahan tahun dan ternyata semuanya berbaloi,” katanya.

Amer berkata, buat masa ini dia memberi tumpuan kepada peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) selain persediaan bagi menyertai Kejohanan Antarabangsa Robot Sumo Penang pada Julai depan.

“Kejayaan dalam setiap pertandingan adalah pembakar semangat untuk saya berusaha. Saya juga perlu beri fokus supaya mendapat keputusan cemerlang pada PT3 pada Ogos depan,” katanya.

Zulkarnain sentiasa memberi galakan kepada Amer untuk terus berjaya dalam bidang robotik.

Artikel menarik:

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

Pelajar kelas belakang... cikgu ini kongsi enam kelebihan ajar mereka

Seronok rupanya kaedah 'Filipped Classroom' - Untung budak sekarang

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

'Segala-galanya penuh dengan warna-warni' - Cikgu Nurul imbau kenangan manis sewaktu mengajar di MTD