KUALA LUMPUR - Pada umur 73 tahun, Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz masih aktif menyampaikan kuliah dan ceramah di seluruh negara.

Walaupun usia dan kudrat semakin lemah, ia tidak menghalang Allahyarham terus cekal menjalankan kerja dakwah hingga ke penghujung usianya.

Malam kelmarin, kuliah yang bertajuk ‘Andainya ini Ramadan Terakhir’ adalah kuliah Maghrib terakhir disampaikan Allahyarham.

Menurut anak sulungnya Mohamad Yusri Abu Hassan, 45, pada kebiasaan ayahnya akan bermalam di kawasan tempat ceramah, namun malam kelmarin, Allahyarham pulang ke rumah bersama ibunya kerana perlu menghadiri satu lagi sesi ceramah di Ipoh, Perak pagi semalam.

Mohamad Yusri

Reda dengan pemergian ayahnya, Mohamad Yusri berkata, tahap kesihatan Allahyarham berada dalam keadaan kurang baik selepas doktor mengesahkan paru-parunya berair.

“Kalau ikut sejarah kesihatan, ayah pernah buat pembedahan pintasan jantung sekitar 20 tahun lalu. Sebulan sekali ayah buat pemeriksaan kesihatan.

“Cuma ketika paru-paru berair doktor nasihatkan jaga makan dan minum,” katanya ditemui dirumahnya di Kampung Batu Muda di sini semalam.

Melihat susuk tubuh dan penampilan Allahyarham yang sentiasa ceria, ramai tidak menyangka Allahyarham kurang sihat.

Anggota keluarga dan kenalan mengaminkan bacaan doa selepas menunaikan Solat Jenazah bagi Allahyarham Abu Hassan di Masjid Saidina Hamzah Taman Batu Muda, semalam.

Mohamad Yusri turut memberitahu, walaupun mempunyai masalah jantung, paru-paru berair dan terkini buah pinggang kurang berfungsi, Allahyarham masih aktif menyampaikan kuliah mahupun ceramah di serata negeri.

Menceritakan detik Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya, Mohamad Yusri berkata, ketika itu Allahyarham sedang bersiap untuk ke Ipoh bagi sesi ceramah tengah hari semalam.

“Masa tu lepas solat Subuh. Ayah rebah. Ibu telefon bagi tahu keadaan ayah sebab ibu pun tak tau nak buat apa. Saya minta dua adik saya tengokkan keadaan ayah sebab saya tak tinggal sekali dengan ayah.

“Pernafasan ayah lemah dan mukanya dah pucat sewaktu berada di rumah lagi. Ambulans datang ke rumah dan bawa ayah ke hospital. Masa di rumah, doktor buat bantuan kecemasan (CPR). Dalam ambulans pun buat, di hospital pun buat.

“Sampai di ICU (unit rawatan rapi) Hospital Kuala Lumpur, doktor cuba sedaya mungkin bantu ayah.

“Kami tengok maklumat pada mesin tu, kami reda sewaktu doktor maklumkan denyutan nadi telah berhenti ketika ayah sampai di hospital,” katanya.

Rosbi (duduk, tengah), bersama anggota keluarganya sebak ketika melihat jenazah sebelum disembahyangkan di Masjid Saidina Hamzah di Taman Batu Muda.

Sebagai anak sulung, Mohamad Yusri turut memohon maaf kepada mana-mana pihak seandainya ada yang tersinggung dengan Allahyarham ayahnya.

Bekas Penasihat Agama Istana Negara itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7.30 pagi semalam ketika bersiap untuk menghadiri program di Maahad Tahfiz di Kota Raja, Ipoh yang dijadual pada sebelah tengah harinya.

Namun, Allahyarham dikatakan rebah sewaktu sedang bersiap dan tidak sedarkan diri. Allahyarham Abu Hassan meninggalkan seorang balu, Datin Seri Rosbi Shabudin dan tujuh anak serta 13 cucu.

Allahyarham juga merupakan adik kepada dua pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Dr Haron Din dan Allahyarham Ishak Din. 

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma di Arau, Perlis kemudian di Sekolah Menengah Agama Arab Alawiyah sebelum melanjutkan pelajaran di Mesir.

Allahyarham mula bertugas di Pusat Islam pada 1976 sebelum berkhidmat di Masjid Negara pada tahun berikutnya sehingga memangku jawatan Imam Besar.

Anggota keluarga dan kenalan hadir menziarah jenazah Allahyarham tokoh agamawan negara dan pendakwah terkenal Abu Hassan di kediamannya di Batu Muda.

Jenazah Allahyarham tokoh agamawan negara dan pendakwah terkenal Abu Hassan diusung keluar dari van jenazah untuk dimandikan serta disolatkan di Masjid Saidina Hamzah di
Kampung Batu Muda.

Artikel berkaitan:

'Saya ingin menyambung legasi beliau dalam bidang agama ini' - Pelajar MATIN yang juga cucu Allahyarham Abu Hassan

'Saya berdepan cabaran besar untuk teruskan legasi' - Pengetua bekas sekolah Allahyarham Abu Hassan